Saturday, July 25, 2015

Larangan Berpuasa Sewaktu Suami Di Sisi

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Janganlah seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya ada di sisi kecuali dengan keizinannya" (HR Bukhari, Muslim)

"Tidak dibolehkan berpuasa bagi seorang wanita sewaktu suaminya ada di sisi kecuali dengan keizinannya, selain puasa Ramadhan" (HR Abu Daud)

Keterangan:

1. Imam Nawawi menyatakan larangan ini bersifat haram dan sebab pengharaman tersebut kerana suami memiliki hak untuk bersenang-senang bersama dengan isterinya. Maka, tidak boleh hak tersebut terhalang atas kerana puasa si isteri.  

2. Imam Nawawi menjelaskan lagi, yang dimaksudkan puasa tersebut adalah puasa sunat yang tidak terikat dengan waktu atau puasa wajib (qadha atau nazar) yang masih boleh dilewatkan menunaikannya.

3. Tidak perlu kepada keizinan dalam puasa sunat yang terikat dengan waktu khusus seperti puasa Asyura dan puasa Arafah.

4. Disebutkan perlu juga minta izin dalam puasa qadha muwassa' yakni yang masih luas waktunya. Iaitu yang masih panjang waktunya untuk mengqadha sebelum datang Ramadhan yang akan datang. Sebagai contoh mengqadha puasa di bulan Syawal atau Zulhijjah, dikira sebagai muwassa' sedangkan jarak masa ke Ramadhan akan datang masih panjang lagi bagi isteri untuk mengqadhanya.

5. Minta izin itu ialah apabila suami ada di sisi, tetapi jika suami bermusafir di luar kawasan, maka tiada perlu lagi kepada keizinannya dalam hal ini. Sekiranya suami kembali ke rumah daripada musafir dan kebetulan berpuasa pada siang hari itu, maka bolehlah meneruskan dengan izinnya atau membatalkan sahaja puasa tersebut.

Wallahua'lam.

Friday, July 03, 2015

Persoalan Tempat Dikeluarkan Zakat Fitrah

Di mana sepatutnya seseorang yang wajib fitrah bagi diri dan tanggungannya mengeluarkan zakat fitrah?

1. Waktu wajib bagi seseorang mengeluarkan zakat fitrah ialah bermula pada masuk maghrib 1 Syawal yakni pada malam Hari Raya Aidil Fitri.

2.  Menurut pendapat yang sahih, tempat seseorang membayar zakat fitrah ialah tempat di mana dia berada pada masuk waktu wajib tersebut.

3. Sekiranya di waktu tersebut, tiada yang berhak menerima zakat di tempatnya, maka boleh memindahkan zakat tersebut di tempat berdekatan, yakni daerah atau negeri bersebelahan.

4. Dibolehkan yakni diharuskan bagi seseorang mendahulukan membayar zakat fitrahnya lebih awal daripada masuk 1 Syawal, iaitu bermula daripada masuk 1 Ramadhan tahun tersebut.

5. Itupun sekiranya dia meyakini yang dia akan tetap berada di tempat tersebut sehinggalah pada masuk 1 Syawal. Jika dia bermusafir, maka sebaiknya ditangguh, sehinggalah dia sampai di tempat yang berbetulan masuknya 1 Syawal. 

6. Sekiranya dia telah membayar awal tetapi di tempat yang bukan dia berada pada 1 Syawal, menurut satu pendapat, dia kena bayar sekali lagi di tempat yang memang dia berada pada 1 Syawal.

7. Hanya sanya dia tidak perlu membayar sekali lagi, sekiranya di tempat dia berada pada 1 Syawal itu memang kebetulan tidak ada mereka yang berhak menerima zakat dan tempat yang dia mendahulukan zakat tersebut berdekatan dengan tempat dia berada pada 1 Syawal.

Wallahua'lam.