Tuesday, September 08, 2015

Sujud lama pada rakaat akhir

Ada isu yang ditimbulkan tentang sujud lama pada rakaat akhir sembahyang. Ada pihak yang membolehkan, ada pula yang seakan melarang, jadi bagaimana?

Dalil daripada hadis, Rasulullah (صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ) menyatakan:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Maksudnya:
"Sehampir-hampir seorang hamba itu dengan Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah doa di waktu itu."
(HR Muslim)

Juga daripada Rasulullah (صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ):
فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ
Maksudnya:
"Adapun pada waktu rukuk maka agungkanlah Tuhan 'azza wajalla, dan pada waktu sujud, bersungguh-sungguhlah berdoa sehingga layaklah ianya dikabulkan untukmu."
(HR Muslim)

Namun, ada beberapa hal yang perlu diberi perhatian:
1. Tidaklah ditentukan sujud tersebut pada rakaat akhir sahaja, bahkan boleh pada rakaat-rakaat yang lainnya
2. Tidaklah menjadi kesalahan jika hendak dilakukan pada sujud terakhir pada rakaat yang terakhir
3. Dianjurkan itu bagi mereka yang solat sendirian, tidak kira samada fardhu ataupun sunat
4. Tidak dianjurkan bagi imam, yang makmum tidak redha dia berbuat demikian
5. Tidak dianjurkan bagi makmum, sedangkan imam sudah duduk tasyahud @ bangun berdiri kerana sifat makmum itu mengikut imam

Moga ada manfaatnya, wallahua'lam.

Saturday, July 25, 2015

Larangan Berpuasa Sewaktu Suami Di Sisi

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Janganlah seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya ada di sisi kecuali dengan keizinannya" (HR Bukhari, Muslim)

"Tidak dibolehkan berpuasa bagi seorang wanita sewaktu suaminya ada di sisi kecuali dengan keizinannya, selain puasa Ramadhan" (HR Abu Daud)

Keterangan:

1. Imam Nawawi menyatakan larangan ini bersifat haram dan sebab pengharaman tersebut kerana suami memiliki hak untuk bersenang-senang bersama dengan isterinya. Maka, tidak boleh hak tersebut terhalang atas kerana puasa si isteri.  

2. Imam Nawawi menjelaskan lagi, yang dimaksudkan puasa tersebut adalah puasa sunat yang tidak terikat dengan waktu atau puasa wajib (qadha atau nazar) yang masih boleh dilewatkan menunaikannya.

3. Tidak perlu kepada keizinan dalam puasa sunat yang terikat dengan waktu khusus seperti puasa Asyura dan puasa Arafah.

4. Disebutkan perlu juga minta izin dalam puasa qadha muwassa' yakni yang masih luas waktunya. Iaitu yang masih panjang waktunya untuk mengqadha sebelum datang Ramadhan yang akan datang. Sebagai contoh mengqadha puasa di bulan Syawal atau Zulhijjah, dikira sebagai muwassa' sedangkan jarak masa ke Ramadhan akan datang masih panjang lagi bagi isteri untuk mengqadhanya.

5. Minta izin itu ialah apabila suami ada di sisi, tetapi jika suami bermusafir di luar kawasan, maka tiada perlu lagi kepada keizinannya dalam hal ini. Sekiranya suami kembali ke rumah daripada musafir dan kebetulan berpuasa pada siang hari itu, maka bolehlah meneruskan dengan izinnya atau membatalkan sahaja puasa tersebut.

Wallahua'lam.

Friday, July 03, 2015

Persoalan Tempat Dikeluarkan Zakat Fitrah

Di mana sepatutnya seseorang yang wajib fitrah bagi diri dan tanggungannya mengeluarkan zakat fitrah?

1. Waktu wajib bagi seseorang mengeluarkan zakat fitrah ialah bermula pada masuk maghrib 1 Syawal yakni pada malam Hari Raya Aidil Fitri.

2.  Menurut pendapat yang sahih, tempat seseorang membayar zakat fitrah ialah tempat di mana dia berada pada masuk waktu wajib tersebut.

3. Sekiranya di waktu tersebut, tiada yang berhak menerima zakat di tempatnya, maka boleh memindahkan zakat tersebut di tempat berdekatan, yakni daerah atau negeri bersebelahan.

4. Dibolehkan yakni diharuskan bagi seseorang mendahulukan membayar zakat fitrahnya lebih awal daripada masuk 1 Syawal, iaitu bermula daripada masuk 1 Ramadhan tahun tersebut.

5. Itupun sekiranya dia meyakini yang dia akan tetap berada di tempat tersebut sehinggalah pada masuk 1 Syawal. Jika dia bermusafir, maka sebaiknya ditangguh, sehinggalah dia sampai di tempat yang berbetulan masuknya 1 Syawal. 

6. Sekiranya dia telah membayar awal tetapi di tempat yang bukan dia berada pada 1 Syawal, menurut satu pendapat, dia kena bayar sekali lagi di tempat yang memang dia berada pada 1 Syawal.

7. Hanya sanya dia tidak perlu membayar sekali lagi, sekiranya di tempat dia berada pada 1 Syawal itu memang kebetulan tidak ada mereka yang berhak menerima zakat dan tempat yang dia mendahulukan zakat tersebut berdekatan dengan tempat dia berada pada 1 Syawal.

Wallahua'lam.

Saturday, January 31, 2015

Hukum Berwudhuk Bagi Wanita Haid

Hukum berwudhuk bagi wanita yang dalam haid atau nifas itu terbahagi kepada dua:

I. Jika darah haid atau nifasnya masih keluar (belum kering)

Tidak disunatkan baginya untuk berwudhuk. Ini adalah kerana wudhu tidak memberi apa-apa kesan pada mengangkat hadas perempuan haid atau nifas yang masih keluar darahnya. Maka tidak sah bersuci daripada hadas ketika darah haid atau nifas masih keluar.

II. Jika darah haid atau nifasnya sudah berhenti (kering) tetapi dia belum mandi wajib

Disunatkan baginya untuk berwudhuk jika dia hendak tidur, makan atau minum. Ini kerana apabila darah haid atau nifas perempuan tersebut sudah berhenti, maka hukumnya adalah seperti orang yang berjunub; iaitu sunat ke atasnya mengambil wudhuk jika dia hendak tidur, makan atau minum kerana ia memberi kesan pada hadasnya (terangkat hadas kecil).

(Sumber: Irsyad Hukum Mufti Brunei)

Tuesday, January 06, 2015

Syarat Sah Bacaan Al-Fatihah

Tentang syarat sah bacaan Al-Fatihah ini, antaranya ialah sepertimana yang disebutkan dalam kitab Minhaj At-Thalibin, oleh Imam Nawawi seperti berikut:

"Wajib susunannya dan muawalatnya. Maka jika diselangi dengan zikir, ia memutuskan. Maka jika zikir itu berkaitan dengan sembahyang seperti ucapan aminnya akan bacaan Imamnya dan mengingatkan bacaan Imam, maka tidak memutuskan, pada yang paling sahih. Memutus oleh diam yang lama. Seperti ini yang sedikit, jika diqasadkan dengan memutuskan bacaan, pada yang paling sahih."

Keterangan:

1. Wajib mengikut tertib susunan ayat demi ayat bacaan Al-Fatihah sepertimana dalam Al-Quran.

2. Muwalat itu bererti berturut-turut atau berterusan membaca ayat-ayatnya tanpa dipisahkan dengan diam yang lama atau zikir yang tidak diberi keuzuran.

3. Ya, sebaiknya pada setiap ayat itu tidak dibaca dengan sambung tetapi diwaqafkan dengan diam seketika. Hanya diam yang dibenarkan antara ayat-ayat tersebut ialah sekadar diam untuk mengambil nafas. Atau diam kerana terlupa, atau untuk mengingatkan ayat yang seterusnya. Bukan diam yang lama dengan disengajakan. Juga bukan diam yang sebentar, tetapi diniatkan untuk memutuskan bacaan.

4. Zikir yang dibenarkan untuk diselangi dalam bacaan Al-Fatihah ialah yang ada kaitan dengan sembahyang seperti mengaminkan bacaan Al-Fatihah Imam. Ataupun mengingatkan bacaan Imam tatkala Imam terdiam kerana terlupa. Tidak boleh jika Imam masih boleh meneruskan bacaan dan kita mengingatkan, maka ianya memutuskan bacaan Fatihah kita. Dan sewaktu mengingatkan itu diniatkan sebagai zikir

5. Zikir yang tidak diberi keuzuran untuk diselangi dalam bacaan Al-Fatihah ialah seperti mengucap "Alhamdulillah" sewaktu bersin, mengucap "SubhanaAllah", atau mengingatkan bacaan selain Imam.

Wallahua'lam.

Rujukan:
- Minhaj At-Thalibin
- Sabilal Muhtadin

Sunday, July 06, 2014

Rapat dan Luruskan Saf

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Luruskan saf-saf kalian, kerana sesungguhnya meluruskan saf termasuk daripada menegakkan sembahyang." (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat yang lain disebut dengan: "....termasuk daripada kesempurnaan sembahyang."                              
Lagi hadis Rasulullah: "Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambungnya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskannya. (Riwayat Abu Daud)

Keterangan:

1. Merapat dan meluruskan saf adalah termasuk daripada kesempurnaan sembahyang berjemaah. Ianya juga menjadi sebab untuk kita mendapat rahmat daripada Allah. 

2. Adalah menjadi tugas imam, sebelum masuk sembahyang, untuk melihat-lihat kepada kedudukan saf makmum sambil menyeru agar dirapat dan diluruskan saf. 

3. Makmum pula hendaklah turut sama melihat di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya agar dapat dirapat dan diluruskan saf tersebut sebelum masuk sembahyang. Ini mestilah juga berlaku setiap kali bangun berdiri untuk rakaat kedua dan seterusnya dimana masing-masing makmum membuat penyelarasan untuk memastikan saf itu rapat dan lurus.

4. Yang dikatakan rapat itu syaratnya adalah kaki bertemu kaki, iaitu ada sentuhan jari kelingking kaki sesama makmum. Juga, sedapat mungkin mengusahakan bahu bertemu bahu. Manakala yang dikatakan lurus itu ada dua kaedah memastikannya. Pertama, diikut daripada belakang dengan selarikan tumit kaki makmum. Kedua, diikut daripada hadapan dengan selarikan jari-jari kaki makmum.

5. Moga-moga dengan mengikut aturan rapat dan luruskan saf dalam sembahyang jemaah, sepertimana yang dibuat dan dianjurkan oleh Rasulullah, hati-hati kita akan bersatu diikat dengan kasih sayang sesama. 

Friday, April 18, 2014

Kenapa Kita Perlu Bermazhab?

Akhir-akhir ini ada segelintir pihak yang seolah mahu memecah tradisi bermazhab dan menyatakan kita terus sahaja berpegang dengan Al-Quran dan sunnah. Kata  mereka antara lain membawa maksud tak perlu bermazhab, cukup dengan Al-Quran dan Sunnah. Jadinya, dalam hal fekah ini mereka tidak lagi berpegang pada mazhab yang 4. Mereka mengenepikan terus fatwa dan pandangan mazhab Syafie, Hanafi, Hambali & Maliki. Ini satu perbahasan yang panjang. Saya ringkaskan di sini beberapa sebab kenapa kita perlu pada mazhab:

1. Kita adalah orang awam yang serba-serbi kurang dalam ilmu agama. Kita tidak menguasai ilmu bahasa Arab seperti nahu dan saraf. Kita tiada ilmu mustolah hadis dan tidak jauh mendalami hadis dalam “sunnan sittah” seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim & Sahih Tarmizi. Juga cetek ilmu Al-Quran, tafsir dan nasikh mansukh. Kalaupun kita sudah mempunya beberapa ilmu agama seperti bahasa Arab, hadis & tafsir, kita tidak mempunyai kemahiran berijtihad dan berfatwa. Kerana banyak perkara dalam hal fekah ini perlu kepada ijtihad  dan fatwa.

2. Mazhab yang 4 ini mereka hidup mendekati kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Jikalau kita mengatakan kita mengikut Al-Quran dan hadis, makanya contoh teladan kita ialah Rasulullah dan para sahabat.  Selepas mereka sudah semestinya tabiin dan tabiut tabiin. Jelas,  4 orang mazhab ini berguru dengan guru-guru yang berguru pada sahabat Rasulullah. Mereka mendapat ilmu yang jelas sanadnya dan sampai kepada Rasulullah dan para sahabat. Mereka hidup dalam lingkungan 300 tahun yang disebut Rasulullah kurun yang baik atau era salafussoleh. Jadinya, sudah pasti ilmu yang mereka dapat itu masih segar dan tidak bercampur aduk berbanding kita yang sudah 1400 tahun jauh daripada zaman Rasulullah dan para sahabat.

3. Bila dikaji, terbukti  ulamak-ulamak  terdahulu biarpun punyai ilmu agama yang tinggi seperti ilmu Al-Quran & Ilmu Hadis, namun mereka diketahui tetap berpegang pada mazhab.  Contoh periwayat Hadis seperti  Imam Bukhari & Imam Muslim, mereka berpegang pada mazhab Syafie. Juga ulamak seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi & Imam Suyuthi juga berpegang pada mazhab Syafie. Contoh lain, Ibnu Qudamah pada mazhab Hanbali,  Qadi Iyadh pada mazhab Maliki & Yusof Kandahlawi  pada Mazhab Hanafi.