Monday, August 30, 2010

Kekeliruan Dalam Niat

Sering berlaku di kalangan kita yang terkeliru antara lafaz niat dan niat itu sendiri. Lafaz niat ialah apa yang kita ucapkan, yang kita boleh dengar sendiri. Sedangkan niat itu adalah di dalam hati. Dibawakan beberapa contoh kekeliruan tersebut agar kita dapat fahami yang sebenarnya:

1. Lafaz niat puasa itu adalah "nawaitu saumaghadin...." seperti yang biasa diucapkan oleh kita bila selesai solat sunat terawih. Tapi yang itu hanya sunat sahaja, memang elok dilakukan. Namun perlu disertai dengan hak yang wajib, iaitu niat di dalam hati, bahawa kita hendak berpuasa fardhu Ramadhan pada esok hari kerana Allah.

2. Dalam mengeluarkan zakat, terutama di bulan puasa ini ialah zakat fitrah, maka satu daripada syarat sah zakat itu adalah niat. Makanya bila kita menyebut kepada amil, "inilah zakat fitrahku...", itu adalah lafaz yang sunat. Maka yang wajibnya ialah menyertakan niat dalam hati bahawa kita membayar zakat fitrah kita untuk tahun ini.

Seperkara lagi yang perlu disebutkan di sini ialah tentang membatalkan niat dalam ibadah. Maka dibawa contoh seperti berikut:

1. Membatalkan niat di dalam ibadah sembahyang, maka sembahyang otomatik jadi batal. Jika di dalam sembahyang, kita berniat untuk memberhentikan sembahyang atau keluar daripada sembahyang, maknanya kita tidak boleh teruskan sembahyang lagi. Sebab niat keluar daripada sembahyang itu membatalkan niat sembahyang yang kita lakukan di dalam takbiratul ihram.

2. Berbeza dengan sembahyang, membatalkan niat sewaktu di dalam puasa, tidak membatalkan puasa. Puasa hanya jadi batal bila kita melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Sekian. Moga ada manfaatnya untuk kita bersama.

Friday, August 27, 2010

Zakat Fitrah & Hutang

Soalan:

Apakah saya masih wajib membayar zakat fitrah sedangkan saya dibebani dengan hutang?

Jawab:

1.Asasnya, bayaran zakat fitrah adalah wajib kepada yang menanggung nafkah sekiranya ada lebihan daripada mencukupkan keperluan asasi diri dan tanggungan nafkahnya seperti makanan & pakaian untuk 1 Syawal.

2. Apa yang dimuktamadkan oleh Imam Nawawi, zakat fitrah itu masih wajib biarpun ada hutang. Pendapat inilah yang dipegangi biarpun ada satu pendapat lain yang mengatakan tidak wajib atas kerana ada hutang.

3. Tiada halangan kepada orang lain seperti isterinya atau anak dewasanya atau kawannya membantu membayarkan zakat bagi pihak dirinya. Namun dengan syarat mestilah mendapat keizinan dan diniatkan oleh tuanpunya diri.

Wallahua'lam.

Friday, August 20, 2010

Pertanyaan Tentang Puasa (2)

Soal:
Apakah muntah itu membatalkan puasa?

Jawab:
Perlu dilihat muntah yang bagaimana. Jika muntah itu berlaku secara tiba-tiba tanpa disengajakan, maka tidak batal.

Soal:
Bolehkan menggunakan ubat gigi sewaktu memberus gigi dalam berpuasa?

Jawab:
Boleh dengan penuh hati-hati. Kerana jika ditelan air yang mengandungi ubat gigi itu secara sengaja atau tidak sengaja, maka batal puasa.

Soal:
Batalkah puasa bila termasuk air dalam telinga sewaktu mandi?

Jawab:
Jika termasuk air dalam telinga sewaktu mandi wajib, itu dimaafkan & tidak membatalkan puasa. Pendapat lain mengatakan dimaafkan juga dalam mandi sunat.

Thursday, August 12, 2010

Pertanyaan Tentang Puasa

Soal:
Apakah boleh merasa makanan sewaktu berpuasa?

Jawab:
Umumnya, adalah makruh untuk merasa makanan dengan lidah, kerana dibimbangi akan masuk ianya ke dalam kerongkong. Satu pendapat mengatakan bahawa tidak makruh bagi orang yang khusus bekerja dalam bidang masakan kerana merasa makanan itu adalah keperluan pekerjaan.

Soal:
Benarkah kita tidak boleh memakai minyak wangi sewaktu berpuasa?

Jawab:
Satu pendapat mengatakan makruh memakai minyak wangi sewaktu berpuasa dan pendapat Imam Nawawi mengatakan tidak makruh.

Soal:
Benarkah makruh untuk kita berus gigi sewaktu berpuasa?

Jawab:
Hanya yang dimakruhkan itu adalah selepas gelincir matahari atau selepas waktu zohor. Namun pendapat Imam Ramli mengatakan tidak makruh jika berubah bau mulut seperti tidur sekalipun selepas gelincir matahari.

Wallahua'lam.