Membaca Al-Fatihah itu adalah satu rukun dalam solat. Meninggalkannya bermaksud meninggalkan rukun dan batallah solat. Inilah mengikut mazhab Syafie. Namun, ada mazhab lain berpandangan bila kita bersolat pada waktu yang dibenarkan menjahar suara (nyaring), iaitu subuh, maghrib dan isyak; 2 rakaat pertama itu tidak perlu membaca Al-Fatihah. Cukup sahaja kita mendengar bacaan Fatihah daripada Imam dan fatihah kita ditanggung imam. Sedangkan bagi Mazhab Syafie, 2 rakaat pertama itu perlu kita dengar dahulu bacaan Fatihah Imam tetapi selesai Imam habis membacanya, mestilah kita selesaikan bacaan fatihah kita pula.
Dalam Al-Fatihah, Bismillah..(hingga selesai) itu adalah termasuk daripada Al-Fatihah dan wajiblah membacanya. Meninggalkannya bererti cacatlah Al-Fatihah kita dan ternafilah rukun membaca Al-Fatihah tersebut. Dalam solat berjemaah, tidak boleh kita mengikut imam yang padanya tidak wajib membaca Bismillah, seperti yang kita sedia maklum ada mazhab selain Syafie yang tidak memberatkan bacaan Bismillah dalam Al-Fatihah.
Al-Fatihah ini termasuk Bismillah mengandungi 7 ayat maka sebaik-baiknya dibaca dalam 7 waqaf yakni 7 kali berhenti. Ini yang dianjurkan oleh Rasulullah dan pada tiap-tiap berhenti itu kita mengambil nafas baru. Bacaan untuk setiap ayat, hendaklah dilakukan secara muwalat atau berturut-turut, dan tidak bolehlah kita berhenti terlalu lama pada tempat waqaf itu. Juga, hendaklah kita betul-betul menjaga makhraj sebutan serta tajwidnya agar bacaan Fatihah kita sempurna. Jika kita solat sendirian atau menjadi makmum, bacalah ia dengan kadar suara yang kita boleh dengar sendiri, namun tidaklah terlalu kuat hingga menganggu ahli jemaah lain.
Perhatikan di waktu solat berjemaah, apabila kita masuk saf dan bertakbiratul ihram sebaik sahaja imam bertakbiratul ihram, maka kita mempunyai masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah. Jika imam kemudian rukuk dan kita belum selesai membaca Al-Fatihah, hendaklah kita selesaikan fatihah kita itu. Tempoh untuk kita menyelesaikannya adalah 3 rukun yang panjang (rukun perbuatan), iaitu rukuk, sujud pertama dan sujud kedua. Jika kita masih tidak sempat menyelesaikan Fatihah dalam tempoh tersebut; gugurlah rakaat kita itu bersama imam dan tidak dikira sebagai satu rakaat. Begitulah pada rakaat seterusnya
Jika kita masuk saf dan bertakbiratul ihram dalam keadaan jemaah sedang berlangsung, yakni imam sudah lama bertakbiratul ihram; maka kita dikira masbuq. Oleh itu, teruslah membaca al-fatihah sebaik sahaja bertakbiratul ihram. Tidak perlu dilengahkan dengan membaca doa iftitah lagi. Bacalah Al-Fatihah itu dan berhentilah serta-merta sebaik imam rukuk, biarpun tidak sempat kita menghabiskan Fatihah kita. Di waktu itu, kita kena turut rukuk dan fatihah kita ditanggung imam. Samalah juga jika sebaik bertakbiratul ihram, tiba-tiba kita dapati imam terus rukuk, maka tinggalkan al-fatihah itu, teruslah rukuk mengikut imam. Kita dikira mendapat rakaat jika kita dapat rukuk bersama-sama Imam sekira-kira tukmaninah (sekadar masa bacaan subhanaAllah). Pada rakaat seterusnya, hendaklah kita menyelesaikan Al-Fatihah kita itu biarpun terlewat daripada Imam tetapi kadarnya tidak melebihi 3 rukun panjang.
Jika kita selesai membaca Al-Fatihah, kemudian Imam rukuk, janganlah disengajakan melewat-lewatkan rukuk dengan diam atau membaca surah. Sedangkan syarat menjadi makmum itu adalah mengikut imam dan tidak boleh ketinggalan dengan sengaja oleh makmum daripada Imam melebihi 2 rukun perbuatan.
Walaupun sudah mengetahui hal-hal di atas, namun tidak cukup rasanya jika sekadar membaca tanpa diusahakan memahami bacaan Al-Fatihah tersebut. Faham apa yang kita baca itu boleh membantu kita mendapat khusyuk. Sedangkan, khusyuk itu adalah roh atau nyawa kepada solat. Solat tanpa khusyuk umpama solat yang tidak bernyawa atau dalam ertikata lain, solat bangkai.