Thursday, September 04, 2008

Termasuk Air Sewaktu Mandi Di Bulan Puasa

Anda bertanya:

Bagaimana jika termasuk air ke dalam telinga sewaktu mandi wajib pada hari berpuasa?

Saya menjawab:

Di hari berpuasa, sunat mandi wajib itu disegerakan sebelum fajar. Jika mandi wajib selepas fajar, dan berlaku termasuk air ke dalam telinga, atau ke dalam mulut sewaktu berkumur atau melepasi pangkal hidung sewaktu memasukkan air ke dalam hidung; semuanya itu dimaafkan atas kerana mandi wajib tadi.

Tidak dimaafkan jika mandi itu berlebih-lebihan sehingga membazirkan air, dan berkali-kali mandinya atau basuhan pada anggotanya. Tidak dimaafkan juga jika mandi itu mandi sunat dan mandi harus. Berbeza pendapat sesetengah ulamak yang mengatakan dimaafkan juga pada mandi sunat. Mandi sunat itu ialah seperti mandi pada hari jumaat dan mandi sesudah memandikan mayat.

Mandi wajib atau sunat atau harus di bulan puasa dengan cara menyelam membatalkan puasa sekiranya termasuk air seperti yang yang disebutkan. Untuk itu, tidak dianjurkan untuk menyelam sewaktu berpuasa.

Friday, August 15, 2008

Berpuasa Pada Separuh Bulan Syaaban

Maksud sabda Rasulullah:
"Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa." (Riwayat Abu Daud)

1. Hadis ini menerangkan tentang haram bagi kita berpuasa apabila masuk separuh kedua bulan Syaaban. Kiraannya adalah bermula daripada 16 Syaaban hinggalah 29 atau 30 Syaaban.

2. Haram di sini adalah untuk puasa sunat bukan puasa qadha atau puasa nazar atau kifarat.

3. Tidak haram juga untuk orang yang berpuasa sunat yang sudah memulai puasa sunatnya sejak sebelum masuk separuh bulan Syaaban, contoh memulai pada 1 syaaban atau pada 15 Syaaban dan ingin meneruskan puasanya bila masuk 16 Syaaban.

4. Tidak haram bagi orang yang kebiasaan baginya berpuasa sunat Isnin dan Khamis, maka dia boleh teruskan puasa sunatnya itu pada hari Isnin dan Khamis dalam bulan Syaaban.

Tuesday, July 29, 2008

Bilakah Boleh Solat Duduk?

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka dalam keadaan duduk.” (Riwayat Bukhari)

Daripada hadis ini, dapatlah kita fahami bahawa tidak boleh kita solat dalam keadaan duduk, melainkan dalam keadaan kita tidak mampu atau tidak berupaya untuk berdiri.

Perinciannya seperti berikut:

1. Yang dikatakan solat dalam hadis tersebut, adalah solat fardhu.

2. Sekiranya seorang itu sakit, dan sakit itu memampukan dia berdiri sepanjang solatnya, batal solatnya dengan sengaja duduk menggantikan berdiri. Bahkan dia wajib berdiri menunaikan solatnya.

3. Sekiranya seorang itu sakit, dan sakit itu tidak memampukan dia berdiri sepanjang solatnya tetapi boleh pada sebahagian solatnya, maka dia berdiri sekadar kemampuannya. Kemudian, dia boleh duduk bagi menyelesaikan solatnya.

4. Sekiranya seorang itu sakit, dia perlu melihat apakah dia boleh berdiri sepanjang solat atau tidak. Sekiranya dia rasa mampu berdiri sepanjang solatnya, dia solat berdiri. Kemudian jika tiba-tiba dia jadi tidak mampu, maka dia boleh terus duduk seketika itu juga.

5. Sekiranya dia memang lemah atau tidak mampu untuk berdiri pada sebelum takbiratul ihram lagi, maka dia memulakan solatnya dengan duduk sehinggalah selesai solat.

6. Semua jenis solat sunat, boleh dilakukan dalam keadaan duduk, samada seorang itu mampu ataupun tidak. Namun, dianjurkan berdiri bagi yang mampu kerana dalam hadis yang lain, Rasulullah memberitahu, “dan sesiapa yang solat dalam keadaan duduk, baginya separuh pahala daripada orang yang berdiri.”

Saturday, July 12, 2008

Aurat Wanita Di Dalam Sembahyang

1. Ulamak Mazhab Syafie sepakat, aurat wanita di dalam sembahyang, wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tiada terkecuali biarpun sembahyangnya seorang diri di tempat gelap atau di dalam khemah.

2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahinya, atas pendapat banyak ulamak. Satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.

3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud, maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian, dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan daripada keliling.

4. Syarat aurat itu juga ialah kain yang dipakainya mestilah tidak nipis sampai menampakkan warna kulit atau warna rambut.

5. Bila aurat itu terbuka kerana ditiup angin, tidak membatalkan solat dengan syarat ditutup dengan segera dan terbuka itu tidak melebihi kadar waktu melafazkan subhanaAllah.

Friday, July 04, 2008

Panduan Bersuci Orang Istihadhah Dan Seumpamanya

Ini adalah tatacara bersuci dan solat bagi orang yang berpenyakit istihadhah, kencing tak tus, kentut terus-terusan dan yang seumpamanya. Diniatkan melakukan tatacara ini atas sebab dia itu berpenyakit yang tidak boleh mengikut kaedah bersuci biasa.

(Apabila masuk waktu)
Tidak berwudhuk orang ini melainkan setelah masuk waktu. Jika ada wudhuk sebelum masuk waktu, maka diulangi wudhuknya. Sebelum berwudhuk maka hendaklah dihilangkan segala najis yang ada padanya. Bagi yang berpenyakit istihadhah, dibersihkan darah tersebut. Bagi yang kencing tak tus, dibersihkan air kencingnya. Setelah itu diikatkan atau diletakkan pelekat agar tiada mengalir keluar najis selepas dibersihkan. Jikapun mengalir keluar selepas ini, maka tiada mempengaruhi apa-apa.

(Sewaktu wudhuk)
Diniatkan wudhuknya untuk mengharuskan solat. Tidak sah niatnya untuk mengangkat atau menghilangkan hadas kerana hadas orang ini tidak terangkat dengan wudhuknya.

(Selesai wudhuk)
Sebaik selesai wudhuk, maka orang ini tidak boleh melambat-lambatkan solatnya. Hendaklah dia terus sahaja bersolat. Tetapi dimaafkan jika lambatnya itu adalah kerana menunggu bilal qamat, imam menyusun saf atau berjalan daripada tempat wudhuk ke dewan solat.

(Solat)
Wudhuknya itu adalah untuk satu solat fardhu sahaja. Sekiranya dia ingin melakukan solat fardhu yang lain, contoh solat qadha, maka dikehendaki ulang wudhuk. Tetapi tiada halangan baginya melakukan solat-solat sunat dengan wudhuknya yang satu itu.

Saturday, June 21, 2008

Pengulangan Solat (I'adah)

Dibenarkan untuk anda mengulangi solat fardhu anda dalam keadaan berikut:

1. Sebaik anda selesai solat sendirian, kemudian datang seorang mengajak anda menemaninya melakukan solat jemaah.

2. Sebaik anda selesai solat sendirian, kemudian datang beberapa orang melakukan solat jemaah.

3. Sebaik anda selesai solat berjemaah, kemudian datang seorang mengajak anda menemaninya melakukan solat jemaah.

(Kaedah)
- Sekiranya anda sudah selesai sempurnakan solat fardhu dengan yakin, secara sendirian atau secara jemaah, kemudian hendak mengulangi solat maka solat kedua anda itu hendaklah dilakukan secara jemaah dan mestilah anda kekal dalam jemaah itu daripada awal takbiratulihram hingga salam.

- Niat untuk solat kedua anda itu tidak berubah iaitu mestilah sama dengan niat solat pertama.

- Tiada pengulangan solat untuk yang ketiga kalinya.

(Cabang)
Bagi anda yang sedang solat fardhu sendirian, dan mendapati ada jemaah didirikan; maka dibolehkan anda meringkaskan solat anda bagi mendapatkan jemaah tersebut. Diniatkan solat anda itu sebagai solat sunat sahaja.

Friday, June 13, 2008

Perihal Doa Iftitah

1. Sunat membaca doa iftitah pada semua solat fardhu dan sunat, meninggalkannya tiada perlu kepada sujud sahwi. Tiada dibaca pada solat jenazah.

2. Doa iftitah dibaca sejurus selepas takbiratul ihram dan sebelum dibaca taawuz (Auzubillah..) dan Al-Fatihah.

2. Sunat berhenti sebentar (saktah) dalam keadaan diam, sekira-kira tempoh masa minimum mengucapkan subhanAllah, antara takbiratul ihram dan doa iftitah dan antara doa iftitah dan taawuz.

3. Terlanjur membaca taawuz atau Al-Fatihah sejurus selepas takbiratul ihram, maknanya luput kesunnahan membaca doa iftitah. Maka, teruskan sahaja dengan apa yang dibaca tanpa perlu berhenti untuk kembali kepada doa iftitah.

4. Luput juga kesunnahan membaca doa iftitah bagi makmum masbuk yang selepas takbiratulihram terus duduk mengikut imam tahiyat samada tahiyat awal atau tahiyat akhir.

5. Bagi makmum masbuk yang meyakini tiada cukup waktu membaca Al-Fatihah bersama imam, maka teruskan sahaja membaca Al-Fatihah selepas takbiratul ihram tanpa perlu kepada doa iftitah. Ini kerana keutamaannya dalam suasana ini adalah pada yang fardhu.

Sunday, June 08, 2008

Sutrah Dalam Sembahyang

Sunat meletakkan sutrah menandakan sebagai had kawasan bagi orang sembahyang. Diletakkan tongkat seperti kayu atau pengganti tongkat di hadapan orang sembahyang, sekira-kira jaraknya 3 hasta daripada tumit kaki. Tidak diletakkan betul-betul berhadapan di tempat sujud tetapi di sebelah kanan atau kiri sebagai penanda. Jika tiada tongkat sekalipun, cukuplah sejadah yang dibentangkan itu sebagai sutrah, sekira-kira sejadah itu berukuran 3 hasta jua.

Apabila sutrah sudah diletakkan, maka haramlah seseorang itu melintas dalam kawasan sutrah orang sembahyang. Tidak mengapa di luar daripada sutrah tersebut. Jika melintas juga dalam kawasan tersebut, maka orang sembahyang boleh menolaknya atau menghalangkannya.

Jika tiada sutrah diletakkan, maka tiada haram melintas di hadapan orang sembahyang tapi tetap makruh. Iaitu dalam kawasan 3 hasta jua. Tidak mengapa yakni tiada makruh melalui hadapan orang sembahyang yang tiada sutrah, melangkaui 3 hasta tersebut atau sekira-kira melangkaui had sujudnya. Biarpun tiada sutrah, sekiranya di hadapan orang sembahyang itu ada imam, berhadapan betul; atau ada makmum dalam solat jemaah, maka imam atau makmum tadi adalah sutrah juga bagi orang sembahyang. Makanya jadi haram melintas dalam kawasan sutrah tersebut.

Wednesday, May 28, 2008

Antara Berwudhuk & Azan

Ini suatu fasal pada menyatakan seorang yang bertemu pada dua keadaan iaitu menjawab azan dan berwudhuk.

(Pertama) Apabila kamu hendak berwudhuk dan pada masa yang sama azan dilaungkan, maka hendaklah kamu tangguhkan wudhuk kamu dahulu. Dianjurkan kamu menjawab azan tesebut hingga selesai azan, berdoa, kemudian daripada itu, barulah kamu mulakan berwudhuk.

(Kedua) Jika azan dilaungkan sedang kamu dalam berwudhuk, maka teruskan wudhuk kamu tanpa perlu menjawab azan. Selesai doa wudhuk kamu: Sekiranya azan masih berkumandang, maka jawab azan dan ditutup dengan doa azan; sekirannya azan sudah selesai berkumandang, maka hanya berdoa azan sahaja.

(Ketiga) Jika azan selesai serentak dengan selesai wudhuk, maka yang mana hendak didahulukan, doa azan atau doa wudhuk? Didahulukan doa wudhuk, kemudian barulah doa azan.

(Cabang)
Apabila azan dilaungkan, maka dianjurkan kamu tumpukan pada perkara menjawab azan tersebut. Tidak bercakap-cakap kerana bercakap sewaktu azan boleh menjadi sebab mati suul khatimah, demikian kata Imam Suyuthi. Ditangguhkan masuk bilik air atau tandas sekira-kira tidak memudharatkan. Ditangguhkan makan jika belum makan. Ditangguhkan ceramah, jika belum memberi ceramah. Ditangguhkan solat, sunat tahiyatul masjid umpamanya, jika belum takbiratul ihram. Jikalau sedang membaca Al-Quran sekalipun, maka dihentikan seketika.

Wednesday, May 21, 2008

Persoalan Makmum Dalam Musafir

Makmum musafir hendak solat qasar berjemaah, maka dalam mengikut imam hendaklah dipastikan benar-benar imam itu solat qasar atau solat tamam (solat penuh).

Perinciannya begini:

Sebelum solat, jika dia ragu-ragu imamnya qasar atau tamam, maka hendaklah dia solat tamam dan tidak boleh dia mengqasar solatnya. Biarpun selepas itu didapatinya imam itu solat qasar, maka diteruskan solatnya sebagai tamam.

Jika dia yakin yang imamnya tamam, maka hendaklah dia solat tamam dan tidak boleh mengqasar. Biarpun selepas itu didapatinya imam itu solat qasar, maka diteruskan solatnya sebagai tamam.

Jika dia yakin yang imamnya qasar, maka dibolehkan dia mengqasar. Seandainya imam itu tidak qasar, maka dalam hal ini, hendaklah dia ikut tamam. Tidak perlu mufaraqah, biarpun pada awalnya dia berniat qasar.

Jika dia menyengajakan dirinya solat qasar dengan mengikut imam yang tamam, maka solatnya tidak sah.

Thursday, May 15, 2008

Beberapa Perkara Mengenai Qamat

1. Orang yang selayaknya qamat ialah orang yang sebelumnya melakukan azan. Dia berdiri untuk qamat di tempat yang lain daripada tempat dia berdiri untuk azan.
2. Orang yang qamat tidak menyebut "saf" kerana urusan saf ialah urusan imam.
3. Ahli jemaah yang duduk di saf hadapan atau dekat dengannya, menunggu sehingga selesai qamat diperdengarkan, kemudian barulah berdiri untuk menyusun saf.
4. Jarak waktu antara azan dan qamat hendaklah sekira-kira membolehkan seseorang itu mengerjakan solat sunat 2 rakaat yang ringkas.
5. Jarak waktu antara qamat dan takbiratulihram hendaklah ringkas sekira-kira membolehkan saf-saf disusun rapat dan lurus. Jika terlalu lama, maka kena diulangi qamat.

Sunday, May 04, 2008

Syarat Wajib Solat: Berakal

Salah satu syarat wajib solat ialah berakal. Maksudnya tidak wajib solat bagi orang yang tidak berakal. Contoh hilang akal ialah seperti mabuk, gila, pitam dan pengsan. Tidur tidak termasuk dalam kategori hilang akal. Jika masuk waktu solat itu dia hilang akal, maka tidak wajib solat baginya hinggalah dia sembuh. Jika dia sembuh dalam waktu, maka baginya wajib solat itu. Jika tidak sembuh-sembuh hingga luput waktu, maka tidak wajib baginya solat untuk waktu tersebut dan tidak wajib qadha.

Namun, wajib atau tidak qadha tadi, bergantung pada keadaan berikut:
1. Tidak wajib qadha, jika hilang akal itu berlaku dengan sendirinya, tanpa diusahakan atau disengajakan seperti sakit atau gangguan sihir.
2. Wajib qadha jika hilang akal itu berlaku kerana diusahakan atau disengajakan oleh empunya diri seperti minum arak atau makan ubat yang diketahui kesannya sampingannya.

Seseorang yang bila masuk waktu tidak terus sembahyang tetapi menangguhkannya pada pertengahan atau akhir waktu, kemudian tiba-tiba berlaku hilang akal yang tidak disengajakan sebelum sempat dia menunaikan solat, maka hukum wajib solat pada waktu tersebut masih berlaku atasnya. Ini kerana dia dikira mempunyai cukup waktu untuk membolehkan dia bersembahyang pada waktu tersebut. Makanya, dia wajib qadha solat untuk waktu tersebut bila sembuh.

Wednesday, April 30, 2008

Membasuh tengkuk dalam wudhuk

Adapun membasuh tengkuk di dalam wudhuk tidak diterangkan dalam tatacara berwudhuk pada kebanyakan kitab-kitab fekah. Sehinggakan ada juga pendapat mengatakan yang ianya bidaah. Namun, jika diteliti perkara ini ada dinyatakan dalam kitab ihya' ulumuddin, karangan Imam Ghazali. Dibawakan maksud hadis, yang membasuh tengkuk itu dapat membebaskan seseorang itu daripada belenggu di hari Akhirat.

Kaedahnya, selepas membasuh telinga, maka diambil air baharu dengan kedua tapak tangan dan disapukan pada belakang leher yakni tengkuk. Diulangkan seperti itu sebanyak 3 kali dan sewaktu menyapu air tersebut, sebaiknya berdoa, "Ya Allah, lepaskan aku daripada belenggu di hari Akhirat."

Saturday, April 05, 2008

Pandangan Mata Dalam Solat

Maksud hadis: Allah akan sentiasa memandang hamba Allah yang bersolat selagi hamba itu tidak berpaling pandangannya.

Apa yang difahami, jika seorang itu bersolat maka dia akan sentiasa mendapat pandangan Allah selagi mana dia menghadap ke kiblat. Iaitu, wajahnya hendaklah dihadapkan ke kiblat dan di waktu yang sama matanya terbuka menghalakan pandangan ke tempat sujud yakni tempat dia meletakkan dahinya sewaktu sujud. Pandangan sebegitu hendaklah dikekalkan daripada bermula takbiratulihram sehingga selesai tahiyat akhir, sebelum salam. Termasuk mengekalkannya itu adalah sewaktu rukuk dan sujud. Khusus dalam tahiyyat, sewaktu mengangkat telunjuk jari kanan, sunat seketika itu untuk memandang kepada jari tersebut.

Makruh, jika seseorang menutup mata di dalam solat tanpa sebab. Kecuali dia mempunyai sebab tersendiri seperti didapatinya tempat sujudnya dialas dengan sejadah yang bergambar dan gambar tersebut boleh mengganggu solatnya. Maka dibolehkan untuk memejamkan matanya jika itu dapat membantu dia menumpukan solatnya. Sebaiknya bagi seseorang yang solat, alas tempat sujudnya adalah kain putih atau sejadah yang bebas daripada gambar.

Sunat bagi orang yang solat berjemaah sentiasa memastikan safnya lurus dengan matanya memerhatikan susunan saf sewaktu bangun berdiri untuk rakaat seterusnya. Di waktu ini, seseorang itu hendaklah melihat kakinya dan dirapatkan kembali jika tidak rapat dan diluruskan kembali jika tidak lurus. Rapat diukur mengikut bertemunya jari kelingking kaki seorang dengan seorang yang lain. Lurus diukur mengikut selarinya tumit seorang dengan seorang yang lain. Kemudian daripada itu, hendaklah dihalakan kembali pandangan matanya ke tempat sujud.

Tuesday, March 11, 2008

Bacaan Wajib Didengar Sendiri

Inilah bacaan di dalam solat yang wajib dibaca dan didengari oleh diri kita sendiri, membawa erti ia tidak sah jika sekadar membacanya di dalam hati, iaitu:

1. Takbiratul ihram

2. Al-Fatihah termasuk Bismillah.

3. Tahiyyat Akhir termasuk selawat nabi

4. Salam yang pertama

Yang lain-lain seperti, doa iftitah, bacaan surah, takbir perpindahan rukun dan tahiyat awal, adalah sunat didengari oleh diri sendiri, dan tidaklah wajib.

Saturday, March 01, 2008

Kedudukan Imam Selepas Salam

Imam selesai daripada solat, memberi salam dan menyapu daripada atas kepala ke wajahnya dengan tapak tangan. Kemudian, hendaklah memusingkan badannya ke kanan sekira-kira sisi kanannya itu menghadap makmum dan sisi kirinya itu menghadap kiblat. Hingga tampak jelas seluruh pipi kanannya itu pada pandangan makmum. Berbeza pandangan Imam Ghazali yang menyatakan imam itu hendaklah selesai salam, berhadapan betul-betul dengan makmum. Dikekalkan kedudukan tersebut sehingga selesai berzikir dan doa. Biarpun ada yang berpendapat lain, iaitu bila berdoa hendaklah imam itu kembali menghadap ke kiblat.

Sunday, January 27, 2008

Solat Sunat Tahiyatul Masjid

Bertanya anda tentang solat sunat tahiyatul masjid, maka dijawab: Adalah solat itu solat sunat 2 rakaat seperti solat sunat yang lainnya, hanya sanya diniatkan sunat tahiyatul masjid. Dilakukan untuk menghormati masjid, bila masuk sahaja ke dalam masjid sebelum duduk.

Bagaimana jika masuk itu terus duduk, masih bolehkan melakukannya?
Jika duduk itu dengan sengaja, maka tiada lagi disunatkan solat itu. Jika duduk itu dengan terlupa ada 2 keadaan. Terlupa yang sekejap kemudian ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat. Jika terlupa yang panjang waktunya, kemudian teringat, tiadalah lagi dibolehkan bangun bersolat. Adapun bagi orang yang tidak dapat mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid disebabkan dia telah duduk atau dia sekadar masuk sebentar untuk sesuatu keperluan, maka dianjurkan membaca: (Subhanallah Walhamdulillah Walailahailallah Wallahu Akbar) sebanyak 4 kali.

Jika masuk ke dalam masjid dan didapati azan sudah berkumandang, bagaimana?
Bila azan sudah berkumandang, maka berdiri ia menjawab azan tersebut, kemudian melakukan solat sunat rawatib. Solat sunat rawatib itu dikira sudah memadai sebagai memenuhi tuntutan solat sunat tahiyatul masjid.

Jika masuk ke dalam masjid dan didapati jemaah solat sudah didirikan, bagaimana?
Tiada perlu lagi solat sunat tahiyatul masjid atau solat sunat yang lainnya. Jika didirikan, jadi makruh. Terus sahaja mengikut jemaah tersebut untuk solat fardhu. Ia sudah dikira memadai memenuhi tuntutan solat sunat tahiyatul masjid.

Apakah bacaannya yang mengiringi surah Al-Fatihah?
Dibaca apa-apa surah yang ringan dan kebiasaan yang dilakukan adalah pada rakaat pertama, surah Al-Kafirun, dan rakaat kedua, surah Al-Ikhlas.

Bolehkah dilakukan solat sunat tahiyatul masjid ini di tempat lain daripada masjid?
Tiadalah dibolehkan yang demikian seperti surau atau musolla (bilik solat). Hanya sanya yang dituntut untuk solat tersebut adalah pada bangunan yang dibina khusus sebagai masjid.

Thursday, December 27, 2007

Persoalan Ziarah Kubur

Timbul persoalan anda tentang ziarah kubur, hukumnya bagaimana?

Saya menjawab, bahawa ziarah kubur itu sunat bagi lelaki. Tiada sunat bagi perempuan dan dihukumkan makruh.

Anda berkata, jika makruh maka tiadalah bagi perempuan itu ziarah kubur.

Saya menjawab, dibolehkan ziarah oleh perempuan itu akan kubur nabi-nabi, sahabat dan wali-wali Allah. Yang itu sebagai mengambil berkat dan mendapat manfaat yang besar.

Anda berkata, bagaimana yang menghukumkan haram?

Saya menjawab, jadi haram bila perempuan itu pergi ke kubur dan meratap serta meraung. Juga jadi haram, dengan perginya perempuan itu boleh membawa fitnah. Bagaimana fitnah itu? Iaitu bila wajahnya yang cantik itu boleh menarik pandangan kaum lelaki. Juga, bilamana perginya dengan berhias, bercantik-cantik serta memakai bau-bauan.

Anda berkata, ada yang mengatakan haram berjalan di kuburan?

Saya menjawab, tidak begitu. Yang sebenarnya jadi haram, bila melepaskan hajat yakni buang air kecil atau besar di atas kuburan. Bahkan jadi haram, dengan sembahyang di atas kubur itu. Sekadar berjalan-jalan memijak atas kuburan tidaklah haram, tetapi makruh yang mendekati haram. Termasuk juga duduk-duduk atas kubur itu makruh.

Anda bertanya, apa yang baik-baik diperbuat oleh mereka yang menziarahi kuburan?

Saya menjawab, banyak yang baik-baik boleh dilakukan. Bila masuk di kawasan kuburan, sunat memberi salam kepada ahli kuburan. Kemudian, di atas kuburan itu, letakkan pelepah tamar atau seumpamanya dan jiruslah air. Kesemua itu memberi manfaat kepada si mati. Tersebut dalam banyak kitab yang bermazhabkan Syafie, sunat membaca apa-apa ayat daripada Al-Quran di kubur dan niatkanlah pahalanya kepada ahli kubur itu. Malah, aku bawakan di sini hadis, yang mana Rasulullah menyebut, “sesiapa masuk ke kubur lalu membaca surah Al-Ikhlas 11x dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati, maka diberi pahala sebanyak bilangan pahala orang yang mati tersebut.” Juga, berdoalah di kubur itu untuk si mati, moga-moga ada manfaatnya kepada si mati.

Anda bertanya lagi, apakah ada hari tertentu yang dikhususkan menziarahi kuburan?

Saya menjawab, tiada hari tertentu yang dikhususkan untuknya. Tinggal lagi sebaik-baik hari itu ialah hari Jumaat. Juga hari-hari pada bulan Ramadhan, hari raya Aidil Fitri dan hari raya Aidil Adha.

Sekian.

Friday, December 14, 2007

Niat dalam Solat

Inilah ringkasan bicara tentang niat dalam solat fardhu:

1. Dilafazkan dahulu niat itu sebelum takbiratul ihram sebagai membantu melakukan niat. Lafaz niat adalah dalam bahasa Arab. Hukum lafaz niat ini adalah sunat.

2. Waktu berniat adalah mengiringi takbiratulihram, dalam tempoh waktu mengucapkan "Allahu Akbar". Tidak boleh sebelumnya, atau sesudahnya. Dinyatakan dalam hati, niat sama sepertimana yang telah dilafazkan sebelumnya tadi. Tinggal lagi, lafaz itu ucapan lidah, dan niat itu ucapan hati. Hukum niat adalah wajib.

3. Perlu dinyatakan dalam niat itu, qasad mengerjakan solat yang biasa disebut sebagai "usolli", kefardhuan solat iaitu fardhu dan waktu solat seperti subuh dan sebagainya mengikut waktu yang telah ditentukan. Jika solat berjemaah, maka dinyatakan menjadi imam atau mengikut imam. Sebaik-baiknya ditambah dalam niat itu bilangan rakaat dan "lillahi taala".

Tuesday, December 04, 2007

Memberi salam mengakhiri solat

Memberi salam itu dengan ucapan "Assalamualaikum" dan sebaik-baiknya ditambah dengan "warahmatullah". Tiada dengan "wabarakatuh". Diucapkan "Assalamualaikum" itu dengan wajah menghadap ke kiblat kemudian mengucapkan "warahmatullah" sambil memalingkan wajah ke sebelah kanan, sekira-kira pipi kanan itu boleh dilihat oleh orang di belakangnya. Niatkan memberi salam itu untuk mukminin, mukminat, muslimin dan muslimat serta para malaikat yang di sebelah kanan. Diucapkan pula "Assalamualaikum warahmatullah" sambil memalingkan wajah ke sebelah kiri, sekira-kira pipi kiri itu boleh dilihat oleh orang di belakangnya. Niatkan memberi salam itu untuk mukminin, mukminat, muslimin dan muslimat serta para malaikat yang di sebelah kiri pula.

Kemudian diambil tangan kanan dan disapukan ia daripada atas kepalanya dan membawa tangan tersebut menyapu keseluruhan muka. Sebaik-baiknya disertakan doa. (Rujuk doa menyapu muka dalam kitab-kitab fekah, contoh: munyatul musolli)

Dalam solat berjemaah, makruh makmum serentak mengiringi Imam dalam memberi salam malah boleh menghilangkan kelebihan berjemaah. Tetapi batal solat jika mendahului imam dalam memberi salam.

Sunnat bagi orang yang masbuk, untuk menyelesaikan baki rakaatnya, bangun selepas imam selesai memberi kedua-dua salam. Bangunnya itu hendaklah disegerakan dan tidaklah boleh dia sengaja duduk dengan kadar yang lama jika duduknya itu bukan dalam tasyahudnya yang sebenar. Bangunnya makmum itu hendaklah diucapkan takbir intiqalat jika dia bangun pada rakaat yang sepatutnya dia bangun daripada tasyahud awal. Jika tidak, tidak perlu baginya takbir intiqalat.