Friday, May 22, 2009

Soal Jawab Tahiyat

Soal:
Bagaimana jika seorang solat seorang diri, kemudian bangun daripada sujud terus berdiri tanpa tahiyat awal?

Jawab:

1. Jika sudah bangun berdiri betul, maka teruskan sahaja membaca fatihah tanpa perlu duduk kembali. Haram lagi batal duduk kembali untuk tahiyat awal. Ditampung kelupaannya itu dengan sujud sahwi pada sebelum salam nanti.
2. Jika baru bangun sedikit sekira-kira belum sampai kadar rukuk atau separuh berdiri, boleh duduk kembali dan tidak perlu sujud sahwi.
3. Jika sudah bangun melampaui kadar rukuk atau separuh berdiri tetapi belum sampai tahap berdiri betul, boleh duduk kembali dan ditampung dengan sujud sahwi pada sebelum salam nanti.

Soal:
Bagaimana jika seorang mengikut imam, kemudian makmum bangun daripada sujud terus berdiri kerana terlupa sedangkan imam tahiyat awal?

Jawab:
Wajib bagi makmum duduk kembali mengikut imam duduk tahiyat awal dan tidak perlu sujud sahwi, biarpun sudah berdiri betul.

Soal:
Bagaimana jika seorang mengikut imam, kemudian imam bangun daripada sujud terus berdiri tanpa tahiyat awal?

Jawab:
Wajib bagi makmum berdiri mengikut imam dan tidak perlu makmum duduk tahiyat awal. Imam menampung kelupaannya dengan sujud sahwi dan wajib bagi makmum mengikut imam sujud sahwi. Jika imam tidak sujud sahwi, makmum sujud sahwi selepas salam imam, dan sebelum salam makmum.

Nota: Sujud sahwi sunat dilakukan oleh imam atau seorang yang solat seorang diri, samada dia lupa atau sengaja meninggalkan tahiyat awal tersebut.

Friday, April 24, 2009

Syarat Sah Bacaan Fatihah

Dalam kitab Fiqhul Manhaji Ala Mazhabil Imam As-Syafie, diterangkan syarat-syarat sah bacaan Fatihah di dalam solat. Salah satu daripadanya dinyatakan:

“Bacaannya mesti dibaca dan disempurnakan ketika dalam keadaan berdiri.”

Keterangan:

1. Keterangan ini menyebut tentang solat Fardhu. Tidak boleh membaca Fatihah itu dalam keadaan duduk kecuali apabila ada keuzuran untuk berdiri. Maka dia membaca dengan duduk. Kecuali ada keuzuran untuk berdiri dan duduk maka dia membaca dalam keadaan berbaring.

2. Masih dikira dalam keadaan berdiri dan sah Fatihah sekiranya sewaktu membaca Fatihah, badan dibongkokkan sedikit.

3. Tidak dikira dalam keadaan berdiri dan tidak sah Fatihah sekiranya sewaktu membaca Fatihah, badan dibongkokkan ke hadapan hingga hujung jari tangan boleh mencapai lutut.

4. Terkecuali bagi orang-orang tua atau sakit yang memang sediakala bongkok, maka sah Fatihahnya dalam keadaan sedemikian.

5. Sekiranya rukuk dalam keadaan Fatihah belum selesai, maka wajib kembali berdiri dan mengulangi bacaan Fatihah semula.

6. Sekiranya bangun daripada sujud atau tasyahud untuk rakaat yang berikutnya, maka tidak sah Fatihah sekiranya membacanya dalam keadaan belum benar-benar berdiri tegak.

7. Sunat antara bacaan Fatihah (ataupun surah) dan rukuk itu diselangi dengan diam seketika dalam keadaan berdiri sekadar waktu membaca subhanaAllah.

Friday, March 27, 2009

Makmum Ikut Imam Dalam Sujud Sahwi

Dalam kitab Matlaul Badrin:

“Seperti sujud sahwi maka wajib ia muwafaqah akan imam pada perbuatannya dan tiada pada meninggalkannya dan jika meninggalkan dia oleh imam, sunat bagi makmum sujud kemudian darpada salam imamnya, dahulu daripada salamnya.”

Keterangan:

1. Jika imam sujud sahwi, makmum wajib “muwafaqat” yakni menyesuaikan diri dengan mengikut imam untuk sujud sahwi biarpun makmum itu tidak mengetahui apa-apa tentang kesalahan imam dalam sembahyang.

2. Biarpun makmum itu makmum masbuk yang masuk kemudian dalam sembahyang imam dan tidak bersamaan rakaat dengan imam. Maka mengikut sekali imam tersebut, dan selesai imam memberi kedua salam, maka bangun ia menyempurnakan rakaatnya.

3. Makmum sujud sahwi tanpa perlu niat sujud sahwi kerana niat itu sudah ditanggung oleh imam.

4. Jika imam itu samada sengaja atau tidak sengaja, meninggalkan sujud sahwi, dan makmum mengetahui ada keperluan untuk sujud sahwi, maka selepas salam kedua imam, sunat bagi makmum untuk sujud dengan niat sujud sahwi. Kemudian daripada itu barulah makmum memberi salam. Tiada wajib seketika itu untuk makmum mengikut imam memberi salam, tetapi jika mengikut juga, tidaklah mengapa.

5. Duduk tahiyat akhir yang selepasnya akan diikuti oleh sujud sahwi ialah duduk iftirasy seperti duduk pada tahiyat awal. Maka duduk yang selepasnya akan diikuti oleh salam ialah duduk tawaruk seperti duduk pada tahiyat akhir yang kebiasaannya.

Tuesday, February 10, 2009

Sunat Lebih Utama Daripada Wajib

Dikatakan oleh Imam Suyuthi ada beberapa perkara sunat itu lebih utama daripada wajib. Imam Suyuthi mengambil wudhuk sebagai salah satu contohnya.

Keterangan:
Berwudhuk apabila masuk waktu solat adalah wajib bagi orang yang wajib baginya mengerjakan solat. Sekiranya berwudhuk sebelum masuk waktu, ia hanyalah sunat sahaja. Tetapi yang utamanya adalah berwudhuk sebelum masuk waktu. Ini kerana apabila berwudhuk sebelum masuk waktu, seseorang itu boleh menunggu-nunggu waktu solat di atas tikar sembahyang dalam keadaan berwudhuk. Di samping boleh berzikir atau berselawat atau membaca Al-Quran dalam keadaan yang suci. Lebih-lebih lagi dalam kebaikan itu menunggu-nunggu di dalam masjid dalam keadaan berwudhuk sedangkan berada dalam masjid tanpa wudhuk itu makruh hukumnya. Apabila masuk sahaja waktu, seseorang itu akan dapat melaungkan azan atau menjawab azan dalam keadaan berwudhuk. Seseorang itu juga akan dapat menggunakan masa antara azan dan iqamah untuk bersolat sunat rawatib. Seseorang yang sudah ada wudhuknya, apabila iqamah dilaungkan, maka dia akan dapat mendirikan solat berjemaah dalam keadaan tenang, tidak tergesa-gesa. Berbanding orang yang baru mengambil wudhuknya sewaktu azan dilaungkan, kemungkinan sewaktu iqamah itu dia baru selesai wudhuknya dan sudah pasti tergesa-gesa untuk berada dalam saf. Sudah pasti juga, orang yang berwudhuk sebelum waktunya lagi, yang dalam keadaan menunggu masuk waktu solat, akan melakukan solat pada awal waktu. Rasulullah ada menyatakan solat pada awal waktu itu sebagai amalan yang utama.

Pengecualian:

Bagi orang yang dia itu "daimul hadas" iaitu terkena penyakit hadas yang berterusan seperti kencing tidak tus atau istihadhah, maka dia kena ambil wudhuk apabila masuk waktunya. Biarpun dia sudah ada wudhuk sebelum waktu lagi, wudhuk itu tidak terpakai dan tidak boleh digunakan untuk solat fardhunya. Dia berkehendakkan pada wudhuk yang baru dalam waktu sebagai syarat sah wudhuknya itu untuk solatnya.

Thursday, November 20, 2008

Tanya Jawab Solat Rawatib

Tanya:

Ada solat sunat rawatib yang sangat dituntut untuk dikerjakan mengiringi solat fardhu, minta diterangkan ia dengan lebih lanjut.

Jawab:

Solat sunat rawatib yang sangat-sangat dituntut mengerjakannya ialah solat sunat subuh. Kemudian daripada itu ada 4 tempat lagi ianya menjadi muakkad atau dituntut. Iaitu solat sunat sebelum zohor, solat sunat selepas zohor, solat sunat selepas maghrib dan solat sunat selepas Isyak.

Tanya:

Jika mahu seorang itu mengerjakan 4 rakaat sebelum zohor, bagaimana, apakah dibolehkan?

Jawab:

Boleh sahaja dikerjakan 4 rakaat itu samada sebelum zohor atau selepasnya. 2 yang muakkad dan lagi 2 itu ghairu muakkad (bukan dituntut). Yang sunnahnya, jika dilakukan 4 rakaat, mesti dilakukan 2 rakaat, 2 rakaat. Bukan dilakukan sekaligus dengan satu salam.

Tanya:

Sesetengah orang mengatakan tidak ada solat sunat sebelum Maghrib dan sebelum Isyak, maka mereka terus-terus sahaja iqamah selepas azan?

Jawab:

Tidak begitu. Memang dibolehkan mengerjakan solat tersebut tapi ianya tidak muakkad. Ini bersandarkan kepada hadis, Rasulullah s.a.w menyebut: “Di antara azan dan iqamah, ada sembahyang bagi sesiapa yang ingin melakukannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Tanya:

Jika seorang tidak sempat kerjakan solat sunat subuh atas kesuntukan masa lebih-lebih lagi jemaah sudah didirikan, apakah boleh melakukan selepasnya?

Jawab:

Jika bukan kerana disengajakan, maka boleh sahaja terus solat sunat subuh itu dilakukan selepas solat fardhunya. Ia masih lagi dikira sebagai solat tunai, bukan qadha selama dalam waktunya. Tiada masalah dengan solat selepas fardhu subuh itu kerana yang dimakruhkan mendirikan solat selepas solat fardhu subuh adalah solat sunat yang tidak terikat dengan keperluan sebelumnya seperti solat sunat istikharah, solat sunat hajat dan solat sunat mutlak.

Monday, November 03, 2008

Ketinggalan Solat Jumaat

Berikut adalah keadaan solat kepada makmum yang ketinggalan dengan imam dan tidak sempat bertakbiratul ihram pada rakaat pertama solat Jumaat:

1) Makmum takbiratul ihram pada rakaat kedua imam sewaktu berdiri imam membaca fatihah atau surah: Selepas imam memberi salam kedua, maka makmum hendaklah segera bangun kemudian menyempurnakan baki 1 rakaat lagi.

2) Makmum takbiratulihram pada rakaat kedua imam sewaktu imam rukuk dan sempat rukuk bersama imam: Selepas imam memberi salam kedua, maka makmum hendaklah segera bangun kemudian menyempurnakan baki 1 rakaat lagi.

3) Makmum takbiratul ihram pada rakaat kedua imam tetapi tidak sempat rukuk bersama imam: Selepas imam memberi salam kedua, maka makmum hendaklah segera bangun kemudian menyempurnakan baki 4 rakaat. Solat makmum jadi solat zohor. Apakah perlu berniat zohor sewaktu takbiratul ihram? Ada dua pendapat. Pendapat pertama, Memadai dengan niat Jumaat. Pendapat kedua, diniatkan Zohor.

Wallahua’lam.

Tuesday, October 14, 2008

Kaifiyat Sujud Syukur

Berikut adalah diterangkan secara ringkas kaifiyat sujud syukur. Untuk pengetahuan, kaifiyat sujud syukur adalah sama dengan kaifiyat sujud tilawah di luar sembahyang. Makanya dibentangkan di sini kaifiyat sujud syukur dengan merujuk kepada kaifiyat sujud tilawah di dalam kitab At-Tibyan Fi Hamalatil Quran, karangan Imam Nawawi.

Hukum Sujud syukur sama dengan hukum sembahyang sunat dalam pensyaratan suci dari hadas dan najis, menghadap kiblat dan menutup aurat. Maka haram Sujud syukur pada orang yang di badan atau bajunya terdapat najis yang tidak dapat dimaafkan. Dan haram atas orang yang berhadas, kecuali jika dia bertayamum di suatu tempat yang diharuskan bertayamum. Diharamkan pula menghadap selain kiblat, kecuali dalam perjalanan di mana boleh menghadap selain kiblat dalam sembahyang nafilah. Semua ini dipersetujui oleh para ulamak.

Apabila hendak sujud, niatkan sujud syukur dan melakukan takbiratul ihram dan mengangkat kedua tangan sejajar dengan kedua bahunya sebagaimana dia melakukan takbiratul ihram untuk sembahyang. Kemudian dia takbir lagi untuk sujud syukur tanpa mengangkat tangan. Takbir yang kedua ini dianjurkan, bukan syarat, seperti takbir hendak sujud di dalam sembahyang.

Sementara takbir yang pertama, iaitu takbiratul ihram, maka ada tiga pendapat. Pendapat pertama, takbir yang pertama (takbiratul ihram) merupakan rukun dan tidak sah sujud syukur kecuali dengannya. Pendapat kedua adalah ianya tidak wajib, hanya dianjurkan. Sekiranya takbir itu ditinggalkan sujudnya tetap sah. Ia adalah pendapat Al-Juwaini. Pendapat ketiga mengatakan, ianya tidak dianjurkan.

Kemudian, jika orang yang ingin sujud itu dalam keadaan berdiri, dia pun mengucapkan takbiratul ihram, kemudian takbir untuk sujud ketika merebahkan diri ke tempat sujud.

Kemudian ketika sujud dia mesti memperhatikan adab-adab sujud sama seperti sujud di dalam sembahyang Sementara tasbih di dalam sujud, hendaklah bertasbih seperti bertasbih dalam sujud sembahyang iaitu diucapkannya di dalam arabnya “Subhana Rabbiyal A’la wabihamdih” sebanyak tiga kali.

Ada ucapan tambahan dalam bahasa arabnya: “Allahumma laka sajadtu, wabika amantu walaka aslamtu sajada wajhiyalillazi halaqohu wasowwarahu wasyakkahu sama’hu wabasorahu bihaulihi waquwwatihi tabarakallahu ahsanul hooliqiin.” (Dapatkan teks dalam bahasa arabnya)

Juga dengan ucapan tambahan di dalam arabnya: “Subbuhun quddusan rabbuna warabbul malaikatu warruh.”

Berkata Imam Nawawi: “Maka disunahkan menggabungkan antara dzikir-dzikir ini seluruhnya dan berdoa berkenaan dengan urusan-urusan akhirat dan dunia yang diinginkannya. Jika dia batasi pada sebagiannya, sudah cukup bacaan tasbihnya. Sekiranya tidak bertasbih dengan sesuatu apa pun, tercapailah sujudnya seperti halnya sujud dalam sembahyang. Kemudian ketika selesai dari bertasbih dan berdoa, dia angkat kepalanya sambil bertakbir.”

Apakah sujud syukur memerlukan salam? Terdapat dua pendapat. Pendapat pertama ialah ia memerlukan salam kerana memerlukan takbiratul ihram dan menjadi seperti sembahyang jenazah. Pendapat kedua mengatakan, tidak memerlukan salam kerana hal itu tidak dinukil dari pada Nabi saw.

Sunday, September 21, 2008

Perihal Zakat Fitrah

Sabda Rasulullah s.a.w : "Amalan Puasa Ramadhan seseorang itu tergantung antara langit dan bumi, sehinggalah dibayar olehnya zakat fitrah." (Kitab Jamius Soghir)

Beberapa keterangan tentang zakat fitrah:

1. Sebaiknya zakat fitrah itu dibayar sebelum didirikan sembahyang raya biarpun waktu membayarnya masih ada sehinggalah terbenam matahari berakhirnya 1 syawal.

2. Orang yang tidak membayarnya, sehingga melepasi waktu membayarnya, wajib qadha.

3. Hanya sanya yang wajib membayarnya adalah orang yang berkesempatan hidup daripada hujung bulan Ramadhan hinggalah melepasi maghrib bermulanya 1 Syawal. Bayaran tersebut adalah tanggungjawab kepada yang menanggung nafkah sekiranya keperluan asasi diri dan tanggungan nafkahnya seperti makanan & pakaian mencukupi untuk 1 Syawal.

4. Membayar zakat fitrah dengan wang adalah taklid kepada mazhab Hanafi sebagai kemudahan kita dan juga penerima zakat. Sedangkan dalam Mazhab Syafie, ditetapkan dengan makanan asasi setempat, contoh beras.

5. Wajib niat dalam hati sewaktu membayar zakat atau sebelumnya lagi sewaktu mengasingkan wang tersebut untuk zakat.

6. Wang zakat itu dibayar di daerah tempat kita tinggal dan haram memindahkan bayarannya ke tempat lain. Kecuali dibolehkan juga di daerah yang berdekatan, kata sesetengah ulamak.

Thursday, September 11, 2008

Tips Buka Puasa

1. Sebaiknya 10 minit sebelum berbuka, kita bersiap diri dengan pakaian sembahyang dan berwudhuk.

2. Apabila masuk waktu Maghrib, maka sunat untuk kita melaungkan azan. Jika sudah ada orang lain yang melaungkan azan, maka sunat kita menjawab azan.

3. Selesai azan, kita membaca doa azan, kemudian barulah kita membaca doa berbuka puasa dan doa makan. Maksud sabda Rasulullah s.a.w: “Setiap orang yang berpuasa mempunyai doa yang dikabuli di waktu berbukanya.” (Riwayat Hakim)

4. Berbuka dengan mendahulukan makan kurma dan sebaiknya makan ia dengan bilangan yang ganjil; 1, 3 atau 5 biji.

5. Dalam hadis, Rasulullah menganjurkan berbuka dengan kurma, dan jika tiada kurma, maka mulakan berbuka itu dengan minum air. Air itu ialah air tawar dan jika tiada air tawar bolehlah dengan air yang manis. Sesetengah ulamak berpendapat, boleh makan makanan yang manis sebagai ganti ketiadaan kurma.

6. Sunat menyegerakan berbuka puasa dan tidak melambat-lambatkannya secara sengaja. Sebaiknya berbuka ringan sekadar mengalas perut untuk segera menunaikan sembahyang Maghrib.

7. Orang yang berbuka dengan sangkaan waktu maghrib sudah masuk kemudian ternyata belum lagi waktu maghrib, puasanya pada hari itu jadi batal. Wajib qadha puasa.

Tips Makan Sahur

1. Maksud Sabda Rasulullah: “Makan sahur adalah berkat, maka janganlah kamu tinggalkan sekalipun hanya dengan meminum seteguk air.” (Riwayat Ahmad)

2. Sunat melewatkan waktu sahur, sekira-kira sempat berhenti makan sahur itu pada waktu imsak.

3. Dianjurkan mematuhi waktu imsak sebagai langkah berhati-hati. Waktu imsak ialah waktu sebelum masuk waktu subuh dan tempohnya lebih kurang membaca 50 ayat Al-Quran secara sederhana. Dinilai tempoh waktu menghabiskan surah Al-Mursalat itu memadai kerana surah itu mengandungi 50 ayat. Pendapat lain, cukup dengan nilaian 10 minit sebagai tempoh waktu imsak.

4. Sunat makan sahur dengan kurma sepertimana yang dianjurkan Rasulullah, “sebaik-baik makanan sahurmu adalah kurma.”

5. Niat makan sahur belum memadai sebagai niat puasa makanya orang yang belum berniat puasa, wajib niat pada waktu sahur dengan niat puasa. Sekurang-kurang niat, adalah “sahaja aku puasa Ramadhan”.

Thursday, September 04, 2008

Termasuk Air Sewaktu Mandi Di Bulan Puasa

Anda bertanya:

Bagaimana jika termasuk air ke dalam telinga sewaktu mandi wajib pada hari berpuasa?

Saya menjawab:

Di hari berpuasa, sunat mandi wajib itu disegerakan sebelum fajar. Jika mandi wajib selepas fajar, dan berlaku termasuk air ke dalam telinga, atau ke dalam mulut sewaktu berkumur atau melepasi pangkal hidung sewaktu memasukkan air ke dalam hidung; semuanya itu dimaafkan atas kerana mandi wajib tadi.

Tidak dimaafkan jika mandi itu berlebih-lebihan sehingga membazirkan air, dan berkali-kali mandinya atau basuhan pada anggotanya. Tidak dimaafkan juga jika mandi itu mandi sunat dan mandi harus. Berbeza pendapat sesetengah ulamak yang mengatakan dimaafkan juga pada mandi sunat. Mandi sunat itu ialah seperti mandi pada hari jumaat dan mandi sesudah memandikan mayat.

Mandi wajib atau sunat atau harus di bulan puasa dengan cara menyelam membatalkan puasa sekiranya termasuk air seperti yang yang disebutkan. Untuk itu, tidak dianjurkan untuk menyelam sewaktu berpuasa.

Friday, August 15, 2008

Berpuasa Pada Separuh Bulan Syaaban

Maksud sabda Rasulullah:
"Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa." (Riwayat Abu Daud)

1. Hadis ini menerangkan tentang haram bagi kita berpuasa apabila masuk separuh kedua bulan Syaaban. Kiraannya adalah bermula daripada 16 Syaaban hinggalah 29 atau 30 Syaaban.

2. Haram di sini adalah untuk puasa sunat bukan puasa qadha atau puasa nazar atau kifarat.

3. Tidak haram juga untuk orang yang berpuasa sunat yang sudah memulai puasa sunatnya sejak sebelum masuk separuh bulan Syaaban, contoh memulai pada 1 syaaban atau pada 15 Syaaban dan ingin meneruskan puasanya bila masuk 16 Syaaban.

4. Tidak haram bagi orang yang kebiasaan baginya berpuasa sunat Isnin dan Khamis, maka dia boleh teruskan puasa sunatnya itu pada hari Isnin dan Khamis dalam bulan Syaaban.

Tuesday, July 29, 2008

Bilakah Boleh Solat Duduk?

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
“Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka dalam keadaan duduk.” (Riwayat Bukhari)

Daripada hadis ini, dapatlah kita fahami bahawa tidak boleh kita solat dalam keadaan duduk, melainkan dalam keadaan kita tidak mampu atau tidak berupaya untuk berdiri.

Perinciannya seperti berikut:

1. Yang dikatakan solat dalam hadis tersebut, adalah solat fardhu.

2. Sekiranya seorang itu sakit, dan sakit itu memampukan dia berdiri sepanjang solatnya, batal solatnya dengan sengaja duduk menggantikan berdiri. Bahkan dia wajib berdiri menunaikan solatnya.

3. Sekiranya seorang itu sakit, dan sakit itu tidak memampukan dia berdiri sepanjang solatnya tetapi boleh pada sebahagian solatnya, maka dia berdiri sekadar kemampuannya. Kemudian, dia boleh duduk bagi menyelesaikan solatnya.

4. Sekiranya seorang itu sakit, dia perlu melihat apakah dia boleh berdiri sepanjang solat atau tidak. Sekiranya dia rasa mampu berdiri sepanjang solatnya, dia solat berdiri. Kemudian jika tiba-tiba dia jadi tidak mampu, maka dia boleh terus duduk seketika itu juga.

5. Sekiranya dia memang lemah atau tidak mampu untuk berdiri pada sebelum takbiratul ihram lagi, maka dia memulakan solatnya dengan duduk sehinggalah selesai solat.

6. Semua jenis solat sunat, boleh dilakukan dalam keadaan duduk, samada seorang itu mampu ataupun tidak. Namun, dianjurkan berdiri bagi yang mampu kerana dalam hadis yang lain, Rasulullah memberitahu, “dan sesiapa yang solat dalam keadaan duduk, baginya separuh pahala daripada orang yang berdiri.”

Saturday, July 12, 2008

Aurat Wanita Di Dalam Sembahyang

1. Ulamak Mazhab Syafie sepakat, aurat wanita di dalam sembahyang, wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tiada terkecuali biarpun sembahyangnya seorang diri di tempat gelap atau di dalam khemah.

2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahinya, atas pendapat banyak ulamak. Satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.

3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud, maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian, dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan daripada keliling.

4. Syarat aurat itu juga ialah kain yang dipakainya mestilah tidak nipis sampai menampakkan warna kulit atau warna rambut.

5. Bila aurat itu terbuka kerana ditiup angin, tidak membatalkan solat dengan syarat ditutup dengan segera dan terbuka itu tidak melebihi kadar waktu melafazkan subhanaAllah.

Friday, July 04, 2008

Panduan Bersuci Orang Istihadhah Dan Seumpamanya

Ini adalah tatacara bersuci dan solat bagi orang yang berpenyakit istihadhah, kencing tak tus, kentut terus-terusan dan yang seumpamanya. Diniatkan melakukan tatacara ini atas sebab dia itu berpenyakit yang tidak boleh mengikut kaedah bersuci biasa.

(Apabila masuk waktu)
Tidak berwudhuk orang ini melainkan setelah masuk waktu. Jika ada wudhuk sebelum masuk waktu, maka diulangi wudhuknya. Sebelum berwudhuk maka hendaklah dihilangkan segala najis yang ada padanya. Bagi yang berpenyakit istihadhah, dibersihkan darah tersebut. Bagi yang kencing tak tus, dibersihkan air kencingnya. Setelah itu diikatkan atau diletakkan pelekat agar tiada mengalir keluar najis selepas dibersihkan. Jikapun mengalir keluar selepas ini, maka tiada mempengaruhi apa-apa.

(Sewaktu wudhuk)
Diniatkan wudhuknya untuk mengharuskan solat. Tidak sah niatnya untuk mengangkat atau menghilangkan hadas kerana hadas orang ini tidak terangkat dengan wudhuknya.

(Selesai wudhuk)
Sebaik selesai wudhuk, maka orang ini tidak boleh melambat-lambatkan solatnya. Hendaklah dia terus sahaja bersolat. Tetapi dimaafkan jika lambatnya itu adalah kerana menunggu bilal qamat, imam menyusun saf atau berjalan daripada tempat wudhuk ke dewan solat.

(Solat)
Wudhuknya itu adalah untuk satu solat fardhu sahaja. Sekiranya dia ingin melakukan solat fardhu yang lain, contoh solat qadha, maka dikehendaki ulang wudhuk. Tetapi tiada halangan baginya melakukan solat-solat sunat dengan wudhuknya yang satu itu.

Saturday, June 21, 2008

Pengulangan Solat (I'adah)

Dibenarkan untuk anda mengulangi solat fardhu anda dalam keadaan berikut:

1. Sebaik anda selesai solat sendirian, kemudian datang seorang mengajak anda menemaninya melakukan solat jemaah.

2. Sebaik anda selesai solat sendirian, kemudian datang beberapa orang melakukan solat jemaah.

3. Sebaik anda selesai solat berjemaah, kemudian datang seorang mengajak anda menemaninya melakukan solat jemaah.

(Kaedah)
- Sekiranya anda sudah selesai sempurnakan solat fardhu dengan yakin, secara sendirian atau secara jemaah, kemudian hendak mengulangi solat maka solat kedua anda itu hendaklah dilakukan secara jemaah dan mestilah anda kekal dalam jemaah itu daripada awal takbiratulihram hingga salam.

- Niat untuk solat kedua anda itu tidak berubah iaitu mestilah sama dengan niat solat pertama.

- Tiada pengulangan solat untuk yang ketiga kalinya.

(Cabang)
Bagi anda yang sedang solat fardhu sendirian, dan mendapati ada jemaah didirikan; maka dibolehkan anda meringkaskan solat anda bagi mendapatkan jemaah tersebut. Diniatkan solat anda itu sebagai solat sunat sahaja.

Friday, June 13, 2008

Perihal Doa Iftitah

1. Sunat membaca doa iftitah pada semua solat fardhu dan sunat, meninggalkannya tiada perlu kepada sujud sahwi. Tiada dibaca pada solat jenazah.

2. Doa iftitah dibaca sejurus selepas takbiratul ihram dan sebelum dibaca taawuz (Auzubillah..) dan Al-Fatihah.

2. Sunat berhenti sebentar (saktah) dalam keadaan diam, sekira-kira tempoh masa minimum mengucapkan subhanAllah, antara takbiratul ihram dan doa iftitah dan antara doa iftitah dan taawuz.

3. Terlanjur membaca taawuz atau Al-Fatihah sejurus selepas takbiratul ihram, maknanya luput kesunnahan membaca doa iftitah. Maka, teruskan sahaja dengan apa yang dibaca tanpa perlu berhenti untuk kembali kepada doa iftitah.

4. Luput juga kesunnahan membaca doa iftitah bagi makmum masbuk yang selepas takbiratulihram terus duduk mengikut imam tahiyat samada tahiyat awal atau tahiyat akhir.

5. Bagi makmum masbuk yang meyakini tiada cukup waktu membaca Al-Fatihah bersama imam, maka teruskan sahaja membaca Al-Fatihah selepas takbiratul ihram tanpa perlu kepada doa iftitah. Ini kerana keutamaannya dalam suasana ini adalah pada yang fardhu.

Sunday, June 08, 2008

Sutrah Dalam Sembahyang

Sunat meletakkan sutrah menandakan sebagai had kawasan bagi orang sembahyang. Diletakkan tongkat seperti kayu atau pengganti tongkat di hadapan orang sembahyang, sekira-kira jaraknya 3 hasta daripada tumit kaki. Tidak diletakkan betul-betul berhadapan di tempat sujud tetapi di sebelah kanan atau kiri sebagai penanda. Jika tiada tongkat sekalipun, cukuplah sejadah yang dibentangkan itu sebagai sutrah, sekira-kira sejadah itu berukuran 3 hasta jua.

Apabila sutrah sudah diletakkan, maka haramlah seseorang itu melintas dalam kawasan sutrah orang sembahyang. Tidak mengapa di luar daripada sutrah tersebut. Jika melintas juga dalam kawasan tersebut, maka orang sembahyang boleh menolaknya atau menghalangkannya.

Jika tiada sutrah diletakkan, maka tiada haram melintas di hadapan orang sembahyang tapi tetap makruh. Iaitu dalam kawasan 3 hasta jua. Tidak mengapa yakni tiada makruh melalui hadapan orang sembahyang yang tiada sutrah, melangkaui 3 hasta tersebut atau sekira-kira melangkaui had sujudnya. Biarpun tiada sutrah, sekiranya di hadapan orang sembahyang itu ada imam, berhadapan betul; atau ada makmum dalam solat jemaah, maka imam atau makmum tadi adalah sutrah juga bagi orang sembahyang. Makanya jadi haram melintas dalam kawasan sutrah tersebut.

Wednesday, May 28, 2008

Antara Berwudhuk & Azan

Ini suatu fasal pada menyatakan seorang yang bertemu pada dua keadaan iaitu menjawab azan dan berwudhuk.

(Pertama) Apabila kamu hendak berwudhuk dan pada masa yang sama azan dilaungkan, maka hendaklah kamu tangguhkan wudhuk kamu dahulu. Dianjurkan kamu menjawab azan tesebut hingga selesai azan, berdoa, kemudian daripada itu, barulah kamu mulakan berwudhuk.

(Kedua) Jika azan dilaungkan sedang kamu dalam berwudhuk, maka teruskan wudhuk kamu tanpa perlu menjawab azan. Selesai doa wudhuk kamu: Sekiranya azan masih berkumandang, maka jawab azan dan ditutup dengan doa azan; sekirannya azan sudah selesai berkumandang, maka hanya berdoa azan sahaja.

(Ketiga) Jika azan selesai serentak dengan selesai wudhuk, maka yang mana hendak didahulukan, doa azan atau doa wudhuk? Didahulukan doa wudhuk, kemudian barulah doa azan.

(Cabang)
Apabila azan dilaungkan, maka dianjurkan kamu tumpukan pada perkara menjawab azan tersebut. Tidak bercakap-cakap kerana bercakap sewaktu azan boleh menjadi sebab mati suul khatimah, demikian kata Imam Suyuthi. Ditangguhkan masuk bilik air atau tandas sekira-kira tidak memudharatkan. Ditangguhkan makan jika belum makan. Ditangguhkan ceramah, jika belum memberi ceramah. Ditangguhkan solat, sunat tahiyatul masjid umpamanya, jika belum takbiratul ihram. Jikalau sedang membaca Al-Quran sekalipun, maka dihentikan seketika.

Wednesday, May 21, 2008

Persoalan Makmum Dalam Musafir

Makmum musafir hendak solat qasar berjemaah, maka dalam mengikut imam hendaklah dipastikan benar-benar imam itu solat qasar atau solat tamam (solat penuh).

Perinciannya begini:

Sebelum solat, jika dia ragu-ragu imamnya qasar atau tamam, maka hendaklah dia solat tamam dan tidak boleh dia mengqasar solatnya. Biarpun selepas itu didapatinya imam itu solat qasar, maka diteruskan solatnya sebagai tamam.

Jika dia yakin yang imamnya tamam, maka hendaklah dia solat tamam dan tidak boleh mengqasar. Biarpun selepas itu didapatinya imam itu solat qasar, maka diteruskan solatnya sebagai tamam.

Jika dia yakin yang imamnya qasar, maka dibolehkan dia mengqasar. Seandainya imam itu tidak qasar, maka dalam hal ini, hendaklah dia ikut tamam. Tidak perlu mufaraqah, biarpun pada awalnya dia berniat qasar.

Jika dia menyengajakan dirinya solat qasar dengan mengikut imam yang tamam, maka solatnya tidak sah.