Tuesday, March 09, 2010

Niat Pada Mandi Wajib

Bertanya anda tentang niat pada mandi wajib, maka dijawab:

Hukum tempat niat pada mandi wajib itu sama seperti wudhuk dan solat. Iaitu tempat niat itu adalah beriringan atau serentak dengan rukun ibadat yang pertama. Dicontohkan wudhuk, maka tempat niat pada wudhuk adalah beriringan dengan rukun wudhuk yang pertama iaitu membasuh muka. Maka tempat berniatnya ialah pada membasuh muka. Atau lebih tepat lagi berniat apabila air sampai pada muka pada basuhan pertama. Dicontohkan solat, maka tempat niat pada solat adalah beriringan dengan rukun solat yang pertama iaitu sewaktu menyebut takbiratul ihram. Sewaktu melafazkan takbiratul ihram, maka sewaktu itu serentak berniat di dalam hati. Ada yang mengatakan niat itu rukun ibadat yang pertama. Maka selepasnya itu adalah rukun ibadat yang kedua. Namun lupakan sahaja perbezaan pendapat itu, yang pastinya, ia tidak boleh terpisah tetapi hendaklah dilakukan secara beriringan dan bergandingan. Mendahului atau mengemudiankan niat akan menjadikan ibadah itu sia-sia. Melainkan puasa maka dibolehkan berniat sebelum lagi masuk waktu fajar yang menandakan mula puasa. Ini adalah khusus pada bab puasa atas kerana kesukaran dalam meletakkan niat sekali dengan waktu mula berpuasa.

Ketahuilah rukun mandi itu ada dua, dan yang pertama itu niat, yang kedua itu menyampaikan air ke seluruh badan. Makanya tidaklah niat itu didahulukan daripada mandi sepertimana puasa. Yang pasti tempat niat pada mandi itu adalah beriringan dengan sampainya air pada badan. Maksudnya serentak air itu kena pada badan, maka waktu itu mula berniat. Jika didahulukan, maka tidak sah mandi itu kerana salah dalam meletakkan tempat niat. Jika dikemudiankan niat seperti sudah lama air itu dicurahkan pada badan, sudah merata pada badan, kemudian baru berniat. Nescaya yang diratakan air pada badan sebelum niat itu tidak terpakai. Maksudnya, bila mula berniat, maka barulah bermula diiktiraf sah mandi itu pada sewaktu berniat dan sesudahnya. Apa-apa yang sebelumnya, mandi itu tidak sah. Dikira sebagai mandi biasa, bukan mandi wajib. Jika berlaku terlupa niat atau terlewat niat sesudah lama membasuh anggota badan, maka mana-mana anggota badan yang sudah dibasuh sebelum berniat itu, hendaklah diulangi membasuhnya selepas daripada memulakan niat.

Afdhalnya mandi wajib itu dimulakan dengan membasuh kepala, maka sewaktu air pertama membasahi kepala, sewaktu itulah dimulakan niat di dalam hati. Apa-apa yang dilafazkan atau yang disebut oleh mulut itu hanya sunat sahaja, dan tidak dikira sebagai niat. Kerana sunat lafaz itu hanya untuk membantu hati berniat. Atau dalam ertikata lain hendak menetapkan hati untuk berniat. Agar hati tidak berpaling dalam berniat. Kerana niat yang sebenar-benarnya adalah tugasan hati. Tempatnya di hati dan serentak dilakukan pada rukun ibadat yang pertama. Dikatakan pada rukun ibadat, kerana ada yang menyalah tafsir, tempat niat itu pada yang sunat. Sehinggakan ada yang berwudhuk, berniat sewaktu membasuh kedua tapak tangan. Dikira itu sudah memadai sebagai niat, sedangkan membasuh kedua tapak tangan itu hanya sunat sahaja.

Sekian.

4 comments:

  1. salam,,,,
    kalo airnya belum sampe kebawah sah gk

    ReplyDelete
  2. salam,,,, kalo gk wudhu sah gk

    ReplyDelete
  3. salam,,,,
    apa mndi wjib hrus dilakukan pda pagi hari

    ReplyDelete
  4. Menjawab soalan, tidak mengapa tidak wudhuk sewaktu mandi wajib atau selepasnya, kerana wudhuk itu hanya sunat sahaja. Untuk melakukan solat, cukup dengan mengangkat hadas besar, maka terangkat sekali hadas kecil. Dengan syarat tidaklah berlaku perkara-perkara yang membatalkan wudhuk sewaktu mandi tadi. Berkenaan dengan waktu mandi, maka diwajibkan mandi di saat berlaku perkara yang mewajibkan mandi dan waktunya di saat kita hendak bersembahyang.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.