Saturday, April 03, 2010

Aurat Wanita Islam Dengan Wanita Bukan Islam

Bertanya anda tentang aurat anda selaku wanita Islam di hadapan wanita bukan Islam, maka dijawab seperti berikut:

Tersebut di dalam kitab fiqh Mazhab Syafie, Fathul Muin yang menyatakan wajib bagi wanita Islam menutup diri dari wanita kafir demikian pula dari wanita fasik.

1. Adapun bila dikatakan wajib, bermakna jika tidak menutup di hadapan wanita bukan Islam maka jadi haram. Dimaksudkan dengan wanita fasik di sini adalah seperti wanita pelaku zina dan lesbian.

2. Menutup ini ada tiga pendapat:

2.1. Menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan

2.2. Menutup seluruh badan kecuali apa yang boleh dinampakkan sewaktu bekerja seperti leher, kepala, lengan tangan dan betis kaki.

2.3 Menutup antara pusat dan lutut.

3. Pendapat (2.2) adalah pendapat yang dimenangkan dalam Mazhab Syafie.

4. Yang terbaik dan lebih berhati-hati ialah memilih pendapat (2.1) , iaitu menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Sekian.

Tuesday, March 09, 2010

Niat Pada Mandi Wajib

Bertanya anda tentang niat pada mandi wajib, maka dijawab:

Hukum tempat niat pada mandi wajib itu sama seperti wudhuk dan solat. Iaitu tempat niat itu adalah beriringan atau serentak dengan rukun ibadat yang pertama. Dicontohkan wudhuk, maka tempat niat pada wudhuk adalah beriringan dengan rukun wudhuk yang pertama iaitu membasuh muka. Maka tempat berniatnya ialah pada membasuh muka. Atau lebih tepat lagi berniat apabila air sampai pada muka pada basuhan pertama. Dicontohkan solat, maka tempat niat pada solat adalah beriringan dengan rukun solat yang pertama iaitu sewaktu menyebut takbiratul ihram. Sewaktu melafazkan takbiratul ihram, maka sewaktu itu serentak berniat di dalam hati. Ada yang mengatakan niat itu rukun ibadat yang pertama. Maka selepasnya itu adalah rukun ibadat yang kedua. Namun lupakan sahaja perbezaan pendapat itu, yang pastinya, ia tidak boleh terpisah tetapi hendaklah dilakukan secara beriringan dan bergandingan. Mendahului atau mengemudiankan niat akan menjadikan ibadah itu sia-sia. Melainkan puasa maka dibolehkan berniat sebelum lagi masuk waktu fajar yang menandakan mula puasa. Ini adalah khusus pada bab puasa atas kerana kesukaran dalam meletakkan niat sekali dengan waktu mula berpuasa.

Ketahuilah rukun mandi itu ada dua, dan yang pertama itu niat, yang kedua itu menyampaikan air ke seluruh badan. Makanya tidaklah niat itu didahulukan daripada mandi sepertimana puasa. Yang pasti tempat niat pada mandi itu adalah beriringan dengan sampainya air pada badan. Maksudnya serentak air itu kena pada badan, maka waktu itu mula berniat. Jika didahulukan, maka tidak sah mandi itu kerana salah dalam meletakkan tempat niat. Jika dikemudiankan niat seperti sudah lama air itu dicurahkan pada badan, sudah merata pada badan, kemudian baru berniat. Nescaya yang diratakan air pada badan sebelum niat itu tidak terpakai. Maksudnya, bila mula berniat, maka barulah bermula diiktiraf sah mandi itu pada sewaktu berniat dan sesudahnya. Apa-apa yang sebelumnya, mandi itu tidak sah. Dikira sebagai mandi biasa, bukan mandi wajib. Jika berlaku terlupa niat atau terlewat niat sesudah lama membasuh anggota badan, maka mana-mana anggota badan yang sudah dibasuh sebelum berniat itu, hendaklah diulangi membasuhnya selepas daripada memulakan niat.

Afdhalnya mandi wajib itu dimulakan dengan membasuh kepala, maka sewaktu air pertama membasahi kepala, sewaktu itulah dimulakan niat di dalam hati. Apa-apa yang dilafazkan atau yang disebut oleh mulut itu hanya sunat sahaja, dan tidak dikira sebagai niat. Kerana sunat lafaz itu hanya untuk membantu hati berniat. Atau dalam ertikata lain hendak menetapkan hati untuk berniat. Agar hati tidak berpaling dalam berniat. Kerana niat yang sebenar-benarnya adalah tugasan hati. Tempatnya di hati dan serentak dilakukan pada rukun ibadat yang pertama. Dikatakan pada rukun ibadat, kerana ada yang menyalah tafsir, tempat niat itu pada yang sunat. Sehinggakan ada yang berwudhuk, berniat sewaktu membasuh kedua tapak tangan. Dikira itu sudah memadai sebagai niat, sedangkan membasuh kedua tapak tangan itu hanya sunat sahaja.

Sekian.

Wednesday, February 17, 2010

Keraguan Hendaklah Dihilangkan

Persoalan:
Apa yang harus dilakukan jika berlaku syak atau ragu dalam solat atau wudhuk?

i. Seseorang yang solat, contohnya ragu samada sudah melakukan rukun solat seperti Fatihah atau belum. Apakah diulang semula atau diteruskan sahaja dengan meninggalkan keraguan tersebut?

ii. Seorang yang sedang hampir menyempurnakan wudhuknya, kemudian ragu samada sudah membasuh kepala atau belum. Apakah perlu kembali kepada membasuh kepala atau diteruskan sahaja menyempurnakan wudhuknya itu?

Jawapan:
Dalam soal keraguan ibadah seperti solat dan wudhuk, ia adalah pertembungan antara dua, iaitu yang asal dan yang mendatang. Seperti seorang ragu samada sudah membaca Fatihah atau belum. Ia ada asal dan ada yang mendatang, yang asalnya dia belum membaca, yang mendatang pula adalah membaca Fatihah tersebut . Atau dalam contoh wudhuk tadi, yang asal ialah dia belum membasuh kepala dan yang mendatang ialah dia sudah membasuhnya.

Prinsip asasnya, bila ada pertembungan seperti itu, hendaklah dikembalikan kepada asal. Jadi bila kembali kepada asal, atau ambil yang asal, maksudnya yang asal itu dilakukan, yang mendatang itu ditinggalkan. Boleh terjadi juga, yang asal itu didahulukan dan yang mendatang itu dikemudiankan.

Jadi dalam contoh seorang sedang solat samada sudah membaca Fatihah atau belum, maka asalnya ialah dia belum lagi membaca Fatihah. Maka untuk itu, jika dia belum rukuk, maka dia memulai membaca Fatihah tersebut. Jika sudah rukuk, rukuk itu tidak terpakai dan dia kena kembali bangun berdiri untuk membaca Fatihah. Selesai membaca Fatihah itu, barulah rukuk semula.

Dalam contoh seorang sedang berwudhuk dan ragu samada sudah menyapu kepala atau belum, sedangkan menyapu kepala dengan air itu wajib. Maka asalnya, selepas dia membasuh tangan, dia belum membasuh kepala. Maka dia perlu kembali kepada keadaan dia seperti baru selesai membasuh kedua tangannya. Lalu disapu kepalanya, kemudian mengikut tertib sehingga selesai membasuh kaki.

Contoh-contoh lain:

1. Seorang yang sudah berwudhuk, ragu samada masih dalam wudhuk atau tidak. Dalam hal ini, asalnya ialah dia masih berwudhuk. Yang mendatang ialah melakukan perkara yang batalkan wudhuk. Maka dia menetapkan yang asal iaitu dia masih lagi dalam wudhuk.

2. Seorang yang sedang solat, ragu samada dalam rakaat kedua atau ketiga. Dalam hal ini, asalnya dia belum lagi melakukan rakaat ketiga, maka dia mengambil ketetapan yang rakaat yang dia berada sekarang adalah rakaat kedua.

3. Seorang yang sedang solat, ragu samada tempat solatnya bernajis atau tidak. Jadi dalam hal ini, najis itu adalah perkara mendatang. Maka asalnya tiada najis, dihilangkan keraguan itu dan boleh teruskan sahaja solat.

Pengecualian:

1. Bilamana datang yakin, maka yakin itu lebih kuat daripada ragu. Atau yakin itu dengan sendirinya melenyapkan keraguan. Maka apa yang dibincangkan di atas sudah tidak relevan lagi. Contoh yakin tempat solatnya itu bernajis dan mengenai dirinya, justeru diberhentikan sahaja solat dan mengulanginya di tempat yang suci.

2. Ragu yang datang setelah selesai melaksanakan ibadah seperti solat atau wudhuk, maka ragu tersebut sudah tidak relevan lagi. Contoh selesai daripada salam, datang ragu samada sudah membaca Fatihah atau belum, sedangkan Fatihah itu rukun. Justeru ragu itu tidak mempengaruhi. Tidak perlu mengulangi solat atau mengulangi melakukan rukun tersebut. Sama seperti dalam wudhuk, jika wudhuk sudah selesai, datang ragu samada sudah membasuh kepada atau belum, justeru ragu itu tidak mempengaruhi. Namun khusus dalam hal niat, apabila ragu samada sudah berniat atau belum, maka solat atau wudhuk tersebut perlu diulangi. Tidak kira samada masih mengerjakannya atau sudah selesai.

Sekian.

Monday, December 14, 2009

Persoalan Najis: Bulu

Bulu haiwan sekiranya dibawa dalam sembahyang perlu dilihat, samada ianya bernajis atau tidak. Ini kerana jika ia adalah bulu yang dikategorikan sebagai najis, maka tidak sah dibawa dalam sembahyang. Mari kita perincikan persoalan ini, moga-moga ia menambah pengetahuan kita dalam hal yang sangat berkait dengan sembahyang kita.


1. Bulu yang dicabut / tercabut sewaktu haiwan itu hidup :

a) Jika daripada haiwan yang halal dimakan seperti ayam - Tidak Najis

b) Jika daripada haiwan yang haram dimakan seperti kucing - Najis


2. Bulu yang dicabut / tercabut sewaktu haiwan itu mati :

a) Jika daripada haiwan yang halal dimakan & mati kerana sembelihan - Tidak Najis

b) Jika daripada haiwan yang halal dimakan & mati bukan kerana sembelihan - Najis

c) Jika daripada haiwan yang haram dimakan - Najis

Monday, November 30, 2009

Wasilah Dalam Sembahyang

1. Wasilah dengan Rasulullah

Bertawasul dengan Rasulullah dengan membanyakkan selawat sebelum sembahyang. Moga-moga berkat selawat dengan kekasih Tuhan ini, kita dapat menghayati bacaan sembahyang, dapat khusyuk dalam sembahyang dan seterusnya sembahyang kita diterima Tuhan. Sebab itu kita perhatikan ada pihak yang mengalunkan selawat badawi 15-30 minit sebelum masuk waktu sembahyang sebagai satu kaedah tawasul dengan Rasulullah. Berkat daripada bertawasul dengan Rasulullah ini juga moga-moga kita dapat bersembahyang sepertimana Rasulullah sembahyang mengikut adab-adab lahir dan batinnya.

2. Wasilah dengan Mursyid atau Guru

Bertawasul dengan mursyid atau guru kita dengan memanggil-manggil guru sebelum sembahyang seperti: "Wahai tuan guru syeikh polan bin polan, bantulah aku menghayati sembahyangku ini." Atau boleh sahaja, seperti ini: "Ya Allah, dengan berkat guruku syeikh polan bin polan, berikanlah aku khusyuk dalam sembahyang." Berkat daripada bertawasul dengan guru ini juga, moga-moga kita dapat bersembahyang sepertimana guru kita bersembahyang mengikut adab-adab lahir dan batinnya. Moga-moga juga kita dapat mengamalkan segala ajaran guru kita tentang sembahyang.

3. Wasilah dengan ayat-ayat Al-Quran

Mengikut kata Imam Ghazali, iaitu sunat membaca Surah AnNas sebelum sembahyang sebagai pendinding daripada gangguan syaitan dalam sembahyang. Sunat juga membaca taawuz iaitu Auzubillahiminassyaitanirrajim. Dikatakan ada syaitan jenis khanzab yang mengganggu orang sembahyang agar orang itu lalai dalam sembahyangnya.

Monday, October 19, 2009

Hukum Solat Berjemaah

1. Bagi penganut mazhab Syafie, solat berjemaah itu adalah fardhu kifayah. Bukan wajib bagi setiap orang tapi sudah cukup bagi sebilangan orang mengerjakannya dalam satu kampung atau kariah, melepaskan dosa yang lain. Tapi jika yang lain buat juga, maka bagi mereka masing-masing dapat pahala fardhu kifayah. Berbeza dengan Mazhab Hanbali yang mengatakan solat berjemaah itu fardhu ain, wajib bagi setiap orang.

2. Sebahagian ulamak mazhab syafie berkata solat berjemaah itu bukan fardhu kifayah, tetapi sunat muakkad sahaja. Maksudnya bawah sikit tingkatannya daripada fardhu kifayah. Sangat dituntut tetapi bukanlah sampai menjadi dosa jika tidak dilakukan dalam satu kampung atau kariah. Namun yang dipegang oleh kebanyakan ulamak mazhab syafie ialah pada hukum fardhu kifayah.

3. Tercatat dalam kitab Sabilal Muhtadin, bahawa untuk terhasil fardhu kifayah mestilah solat jemaah itu nyata syiarnya. Memahami maksud ini, tidak memadai solat jemaah di rumah pada satu kampung atau kariah, untuk dikira sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Untuk itu, dalam sesuatu kampung atau kariah mesti didirikan samada masjid atau surau agar dapat ditegakkan solat berjemaah. Agar dengan itu nyata syiar Islam bilamana ramai orang mendatangi masjid atau surau untuk mengerjakan solat berjemaah.

Monday, September 28, 2009

Puasa Di Bulan Syawal (2)

(Sambungan daripada artikel 8 Okt 2007)

Maka bagi sesiapa yang ingin berpuasa sunat di bulan Syawal:

1. Jika ada tangunggan puasa qadha, maka lebih utama dilakukan qadhanya. Atau didahulukan qadhanya. Bagi orang yang meninggalkan puasa dengan uzur seperti haid atau sakit, sunat menyegerakan qadha. Berbeza bagi yang meninggalkan puasa tanpa uzur maka wajib baginya menyegerakan qadha.

2. Qiyas pada sembahyang, iaitu haram bagi orang yang meninggalkan sembahyang fardhu tanpa uzur, dia melakukan sembahyang sunat. Melainkan dia dikehendaki qadha sembahyangnya itu terlebih dahulu. Begitu juga puasa, maka haram bagi yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur, dia melakukan puasa sunat. Melainkan dia dikehendaki qadha puasanya itu terlebih dahulu.

3. Bagi mereka yang berpuasa qadha maka memadai dengan niat qadha, dia dikira sudah memenuhi tuntutan puasa 6 di bulan Syawal. Qiyasnya adalah seperti seorang yang masuk masjid, baginya ada tuntutan solat sunat tahiyatul masjid. Tapi dikira sudah memenuhi tuntutan tahiyatul masjid apabila dia hadir di masjid dan solat fardhu berjemaah sedang dilakukan, maka dia terus bertakbiratulihram dan melakukan solat fardhu berjemaah. Biarpun dia hanya berniat fardhu dalam solatnya itu.

4. Pendapat lain menghendaki dia menggabungkan niat puasanya, yakni niat puasa qadha dan puasa sunat. Menurut pendapat ini, jika tidak diniatkan puasa sunat sekali, maka hanya dapat puasa qadha sahaja, tanpa dapat puasa sunatnya. Namun, perlu diingat bahawa niat qadha kena dahulu daripada terbit fajar. Makanya jika digabungkan niat, kerana ada qadha di situ, wajib berniat sebelum terbit fajar. Ini kerana bagi puasa fadhu Ramadhan, qadha dan juga nazar, wajib menetapkan niat sebelum terbit fajar.

5. Bagi isteri-isteri yang mahu berpuasa qadha atau nazar maka tidak perlu minta izin suami untuk berpuasa qadha. Namun, lebih baik dan beradab jika dimaklumkan kepada suami. Berbeza bagi isteri-isteri yang mahu berpuasa sunat, jika suami berada bersama-samanya, maka wajib minta izin. Jika suami berjauhan, tiada wajib. Tapi jika suami balik, sedangkan dia dalam berpuasa sunat, maka ditanya apakah diizinkan terus berpuasa atau berbuka sahaja. Maka atas suami menentukan. Bagi puasa sunat Arafah dan puasa Asyura, maka tidak perlu pada keizinan sama seperti puasa qadha atau nazar.

Wallahua'lam.

Saturday, August 01, 2009

Adab Terhadap Al-Quran

Berikut adalah antara adab-adab dalam menyentuh atau membawa kitab Al-Quran:

Wajib, dengan ada wudhuk,

1. Menyentuh atau membawa kitab Al-Quran termasuk helaian kertasnya biarpun sudah terpisah daripada kitab tersebut.

2. Menyentuh atau membawa rehal yang dikhususkan untuk meletakkan kitab Al-Quran.

3. Menyentuh atau membawa, beg atau sarung yang ada Al-Quran di dalamnya, apabila beg atau sarung itu memang dikhususkan untuk mengisi kitab Al-Quran.

Tidak haram tanpa ada wudhuk,

1. Menyentuh atau membawa kitab Al-Quran yang huruf terjemahannya lebih banyak daripada huruf Al-Quran.

2. Menyentuh atau membawa, beg yang ada Al-Quran di dalamnya, apabila beg itu bukan dikhususkan untuk mengisi kitab Al-Quran. Jika dibawa beg itu, maka diniatkan membawa beg, bukan membawa Al-Quran.

Friday, July 10, 2009

Wanita Haid Masuk Masjid

Soal:
Wanita haid, masuk ke dalam bangunan yang dijadikan masjid atau yang diiktiraf sebagai masjid, maka apakah hukumnya?

Jawab:

1. Maka dihukumkan haram bagi wanita haid (dan juga nifas) masuk ke dalam bangunan dinamakannya sebagai masjid atau diiktiraf sebagai masjid selama mana dia berhenti di dalamnya. Biarpun berhenti itu tidak lama, biarpun sekadar seketika. Ulamak fekah menetapkan maksud seketika itu ialah berhenti sekadar waktu tukmaninah atau waktu melafaz "subhanaAllah".

2. Tidak dihukumkan haram, tetapi makruh jua, bagi wanita haid (dan juga nifas) yang masuk ke dalam masjid tersebut, tetapi tidak berhenti di dalamnya. Iaitu sekadar lalu sahaja, dari satu pintu kepada pintu yang lain.

3. Namun, jikalau dibimbangi akan tercemarnya masjid atas kemungkinan akan keluarnya darah haid (atau nifas), maka jadi haram jua, tidak kira samada berhenti atau lalu sahaja.

(Rujukan: Bughyatul Tullab)

Friday, May 22, 2009

Soal Jawab Tahiyat

Soal:
Bagaimana jika seorang solat seorang diri, kemudian bangun daripada sujud terus berdiri tanpa tahiyat awal?

Jawab:

1. Jika sudah bangun berdiri betul, maka teruskan sahaja membaca fatihah tanpa perlu duduk kembali. Haram lagi batal duduk kembali untuk tahiyat awal. Ditampung kelupaannya itu dengan sujud sahwi pada sebelum salam nanti.
2. Jika baru bangun sedikit sekira-kira belum sampai kadar rukuk atau separuh berdiri, boleh duduk kembali dan tidak perlu sujud sahwi.
3. Jika sudah bangun melampaui kadar rukuk atau separuh berdiri tetapi belum sampai tahap berdiri betul, boleh duduk kembali dan ditampung dengan sujud sahwi pada sebelum salam nanti.

Soal:
Bagaimana jika seorang mengikut imam, kemudian makmum bangun daripada sujud terus berdiri kerana terlupa sedangkan imam tahiyat awal?

Jawab:
Wajib bagi makmum duduk kembali mengikut imam duduk tahiyat awal dan tidak perlu sujud sahwi, biarpun sudah berdiri betul.

Soal:
Bagaimana jika seorang mengikut imam, kemudian imam bangun daripada sujud terus berdiri tanpa tahiyat awal?

Jawab:
Wajib bagi makmum berdiri mengikut imam dan tidak perlu makmum duduk tahiyat awal. Imam menampung kelupaannya dengan sujud sahwi dan wajib bagi makmum mengikut imam sujud sahwi. Jika imam tidak sujud sahwi, makmum sujud sahwi selepas salam imam, dan sebelum salam makmum.

Nota: Sujud sahwi sunat dilakukan oleh imam atau seorang yang solat seorang diri, samada dia lupa atau sengaja meninggalkan tahiyat awal tersebut.

Friday, April 24, 2009

Syarat Sah Bacaan Fatihah

Dalam kitab Fiqhul Manhaji Ala Mazhabil Imam As-Syafie, diterangkan syarat-syarat sah bacaan Fatihah di dalam solat. Salah satu daripadanya dinyatakan:

“Bacaannya mesti dibaca dan disempurnakan ketika dalam keadaan berdiri.”

Keterangan:

1. Keterangan ini menyebut tentang solat Fardhu. Tidak boleh membaca Fatihah itu dalam keadaan duduk kecuali apabila ada keuzuran untuk berdiri. Maka dia membaca dengan duduk. Kecuali ada keuzuran untuk berdiri dan duduk maka dia membaca dalam keadaan berbaring.

2. Masih dikira dalam keadaan berdiri dan sah Fatihah sekiranya sewaktu membaca Fatihah, badan dibongkokkan sedikit.

3. Tidak dikira dalam keadaan berdiri dan tidak sah Fatihah sekiranya sewaktu membaca Fatihah, badan dibongkokkan ke hadapan hingga hujung jari tangan boleh mencapai lutut.

4. Terkecuali bagi orang-orang tua atau sakit yang memang sediakala bongkok, maka sah Fatihahnya dalam keadaan sedemikian.

5. Sekiranya rukuk dalam keadaan Fatihah belum selesai, maka wajib kembali berdiri dan mengulangi bacaan Fatihah semula.

6. Sekiranya bangun daripada sujud atau tasyahud untuk rakaat yang berikutnya, maka tidak sah Fatihah sekiranya membacanya dalam keadaan belum benar-benar berdiri tegak.

7. Sunat antara bacaan Fatihah (ataupun surah) dan rukuk itu diselangi dengan diam seketika dalam keadaan berdiri sekadar waktu membaca subhanaAllah.

Friday, March 27, 2009

Makmum Ikut Imam Dalam Sujud Sahwi

Dalam kitab Matlaul Badrin:

“Seperti sujud sahwi maka wajib ia muwafaqah akan imam pada perbuatannya dan tiada pada meninggalkannya dan jika meninggalkan dia oleh imam, sunat bagi makmum sujud kemudian darpada salam imamnya, dahulu daripada salamnya.”

Keterangan:

1. Jika imam sujud sahwi, makmum wajib “muwafaqat” yakni menyesuaikan diri dengan mengikut imam untuk sujud sahwi biarpun makmum itu tidak mengetahui apa-apa tentang kesalahan imam dalam sembahyang.

2. Biarpun makmum itu makmum masbuk yang masuk kemudian dalam sembahyang imam dan tidak bersamaan rakaat dengan imam. Maka mengikut sekali imam tersebut, dan selesai imam memberi kedua salam, maka bangun ia menyempurnakan rakaatnya.

3. Makmum sujud sahwi tanpa perlu niat sujud sahwi kerana niat itu sudah ditanggung oleh imam.

4. Jika imam itu samada sengaja atau tidak sengaja, meninggalkan sujud sahwi, dan makmum mengetahui ada keperluan untuk sujud sahwi, maka selepas salam kedua imam, sunat bagi makmum untuk sujud dengan niat sujud sahwi. Kemudian daripada itu barulah makmum memberi salam. Tiada wajib seketika itu untuk makmum mengikut imam memberi salam, tetapi jika mengikut juga, tidaklah mengapa.

5. Duduk tahiyat akhir yang selepasnya akan diikuti oleh sujud sahwi ialah duduk iftirasy seperti duduk pada tahiyat awal. Maka duduk yang selepasnya akan diikuti oleh salam ialah duduk tawaruk seperti duduk pada tahiyat akhir yang kebiasaannya.

Tuesday, February 10, 2009

Sunat Lebih Utama Daripada Wajib

Dikatakan oleh Imam Suyuthi ada beberapa perkara sunat itu lebih utama daripada wajib. Imam Suyuthi mengambil wudhuk sebagai salah satu contohnya.

Keterangan:
Berwudhuk apabila masuk waktu solat adalah wajib bagi orang yang wajib baginya mengerjakan solat. Sekiranya berwudhuk sebelum masuk waktu, ia hanyalah sunat sahaja. Tetapi yang utamanya adalah berwudhuk sebelum masuk waktu. Ini kerana apabila berwudhuk sebelum masuk waktu, seseorang itu boleh menunggu-nunggu waktu solat di atas tikar sembahyang dalam keadaan berwudhuk. Di samping boleh berzikir atau berselawat atau membaca Al-Quran dalam keadaan yang suci. Lebih-lebih lagi dalam kebaikan itu menunggu-nunggu di dalam masjid dalam keadaan berwudhuk sedangkan berada dalam masjid tanpa wudhuk itu makruh hukumnya. Apabila masuk sahaja waktu, seseorang itu akan dapat melaungkan azan atau menjawab azan dalam keadaan berwudhuk. Seseorang itu juga akan dapat menggunakan masa antara azan dan iqamah untuk bersolat sunat rawatib. Seseorang yang sudah ada wudhuknya, apabila iqamah dilaungkan, maka dia akan dapat mendirikan solat berjemaah dalam keadaan tenang, tidak tergesa-gesa. Berbanding orang yang baru mengambil wudhuknya sewaktu azan dilaungkan, kemungkinan sewaktu iqamah itu dia baru selesai wudhuknya dan sudah pasti tergesa-gesa untuk berada dalam saf. Sudah pasti juga, orang yang berwudhuk sebelum waktunya lagi, yang dalam keadaan menunggu masuk waktu solat, akan melakukan solat pada awal waktu. Rasulullah ada menyatakan solat pada awal waktu itu sebagai amalan yang utama.

Pengecualian:

Bagi orang yang dia itu "daimul hadas" iaitu terkena penyakit hadas yang berterusan seperti kencing tidak tus atau istihadhah, maka dia kena ambil wudhuk apabila masuk waktunya. Biarpun dia sudah ada wudhuk sebelum waktu lagi, wudhuk itu tidak terpakai dan tidak boleh digunakan untuk solat fardhunya. Dia berkehendakkan pada wudhuk yang baru dalam waktu sebagai syarat sah wudhuknya itu untuk solatnya.

Thursday, November 20, 2008

Tanya Jawab Solat Rawatib

Tanya:

Ada solat sunat rawatib yang sangat dituntut untuk dikerjakan mengiringi solat fardhu, minta diterangkan ia dengan lebih lanjut.

Jawab:

Solat sunat rawatib yang sangat-sangat dituntut mengerjakannya ialah solat sunat subuh. Kemudian daripada itu ada 4 tempat lagi ianya menjadi muakkad atau dituntut. Iaitu solat sunat sebelum zohor, solat sunat selepas zohor, solat sunat selepas maghrib dan solat sunat selepas Isyak.

Tanya:

Jika mahu seorang itu mengerjakan 4 rakaat sebelum zohor, bagaimana, apakah dibolehkan?

Jawab:

Boleh sahaja dikerjakan 4 rakaat itu samada sebelum zohor atau selepasnya. 2 yang muakkad dan lagi 2 itu ghairu muakkad (bukan dituntut). Yang sunnahnya, jika dilakukan 4 rakaat, mesti dilakukan 2 rakaat, 2 rakaat. Bukan dilakukan sekaligus dengan satu salam.

Tanya:

Sesetengah orang mengatakan tidak ada solat sunat sebelum Maghrib dan sebelum Isyak, maka mereka terus-terus sahaja iqamah selepas azan?

Jawab:

Tidak begitu. Memang dibolehkan mengerjakan solat tersebut tapi ianya tidak muakkad. Ini bersandarkan kepada hadis, Rasulullah s.a.w menyebut: “Di antara azan dan iqamah, ada sembahyang bagi sesiapa yang ingin melakukannya.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Tanya:

Jika seorang tidak sempat kerjakan solat sunat subuh atas kesuntukan masa lebih-lebih lagi jemaah sudah didirikan, apakah boleh melakukan selepasnya?

Jawab:

Jika bukan kerana disengajakan, maka boleh sahaja terus solat sunat subuh itu dilakukan selepas solat fardhunya. Ia masih lagi dikira sebagai solat tunai, bukan qadha selama dalam waktunya. Tiada masalah dengan solat selepas fardhu subuh itu kerana yang dimakruhkan mendirikan solat selepas solat fardhu subuh adalah solat sunat yang tidak terikat dengan keperluan sebelumnya seperti solat sunat istikharah, solat sunat hajat dan solat sunat mutlak.

Monday, November 03, 2008

Ketinggalan Solat Jumaat

Berikut adalah keadaan solat kepada makmum yang ketinggalan dengan imam dan tidak sempat bertakbiratul ihram pada rakaat pertama solat Jumaat:

1) Makmum takbiratul ihram pada rakaat kedua imam sewaktu berdiri imam membaca fatihah atau surah: Selepas imam memberi salam kedua, maka makmum hendaklah segera bangun kemudian menyempurnakan baki 1 rakaat lagi.

2) Makmum takbiratulihram pada rakaat kedua imam sewaktu imam rukuk dan sempat rukuk bersama imam: Selepas imam memberi salam kedua, maka makmum hendaklah segera bangun kemudian menyempurnakan baki 1 rakaat lagi.

3) Makmum takbiratul ihram pada rakaat kedua imam tetapi tidak sempat rukuk bersama imam: Selepas imam memberi salam kedua, maka makmum hendaklah segera bangun kemudian menyempurnakan baki 4 rakaat. Solat makmum jadi solat zohor. Apakah perlu berniat zohor sewaktu takbiratul ihram? Ada dua pendapat. Pendapat pertama, Memadai dengan niat Jumaat. Pendapat kedua, diniatkan Zohor.

Wallahua’lam.

Tuesday, October 14, 2008

Kaifiyat Sujud Syukur

Berikut adalah diterangkan secara ringkas kaifiyat sujud syukur. Untuk pengetahuan, kaifiyat sujud syukur adalah sama dengan kaifiyat sujud tilawah di luar sembahyang. Makanya dibentangkan di sini kaifiyat sujud syukur dengan merujuk kepada kaifiyat sujud tilawah di dalam kitab At-Tibyan Fi Hamalatil Quran, karangan Imam Nawawi.

Hukum Sujud syukur sama dengan hukum sembahyang sunat dalam pensyaratan suci dari hadas dan najis, menghadap kiblat dan menutup aurat. Maka haram Sujud syukur pada orang yang di badan atau bajunya terdapat najis yang tidak dapat dimaafkan. Dan haram atas orang yang berhadas, kecuali jika dia bertayamum di suatu tempat yang diharuskan bertayamum. Diharamkan pula menghadap selain kiblat, kecuali dalam perjalanan di mana boleh menghadap selain kiblat dalam sembahyang nafilah. Semua ini dipersetujui oleh para ulamak.

Apabila hendak sujud, niatkan sujud syukur dan melakukan takbiratul ihram dan mengangkat kedua tangan sejajar dengan kedua bahunya sebagaimana dia melakukan takbiratul ihram untuk sembahyang. Kemudian dia takbir lagi untuk sujud syukur tanpa mengangkat tangan. Takbir yang kedua ini dianjurkan, bukan syarat, seperti takbir hendak sujud di dalam sembahyang.

Sementara takbir yang pertama, iaitu takbiratul ihram, maka ada tiga pendapat. Pendapat pertama, takbir yang pertama (takbiratul ihram) merupakan rukun dan tidak sah sujud syukur kecuali dengannya. Pendapat kedua adalah ianya tidak wajib, hanya dianjurkan. Sekiranya takbir itu ditinggalkan sujudnya tetap sah. Ia adalah pendapat Al-Juwaini. Pendapat ketiga mengatakan, ianya tidak dianjurkan.

Kemudian, jika orang yang ingin sujud itu dalam keadaan berdiri, dia pun mengucapkan takbiratul ihram, kemudian takbir untuk sujud ketika merebahkan diri ke tempat sujud.

Kemudian ketika sujud dia mesti memperhatikan adab-adab sujud sama seperti sujud di dalam sembahyang Sementara tasbih di dalam sujud, hendaklah bertasbih seperti bertasbih dalam sujud sembahyang iaitu diucapkannya di dalam arabnya “Subhana Rabbiyal A’la wabihamdih” sebanyak tiga kali.

Ada ucapan tambahan dalam bahasa arabnya: “Allahumma laka sajadtu, wabika amantu walaka aslamtu sajada wajhiyalillazi halaqohu wasowwarahu wasyakkahu sama’hu wabasorahu bihaulihi waquwwatihi tabarakallahu ahsanul hooliqiin.” (Dapatkan teks dalam bahasa arabnya)

Juga dengan ucapan tambahan di dalam arabnya: “Subbuhun quddusan rabbuna warabbul malaikatu warruh.”

Berkata Imam Nawawi: “Maka disunahkan menggabungkan antara dzikir-dzikir ini seluruhnya dan berdoa berkenaan dengan urusan-urusan akhirat dan dunia yang diinginkannya. Jika dia batasi pada sebagiannya, sudah cukup bacaan tasbihnya. Sekiranya tidak bertasbih dengan sesuatu apa pun, tercapailah sujudnya seperti halnya sujud dalam sembahyang. Kemudian ketika selesai dari bertasbih dan berdoa, dia angkat kepalanya sambil bertakbir.”

Apakah sujud syukur memerlukan salam? Terdapat dua pendapat. Pendapat pertama ialah ia memerlukan salam kerana memerlukan takbiratul ihram dan menjadi seperti sembahyang jenazah. Pendapat kedua mengatakan, tidak memerlukan salam kerana hal itu tidak dinukil dari pada Nabi saw.

Sunday, September 21, 2008

Perihal Zakat Fitrah

Sabda Rasulullah s.a.w : "Amalan Puasa Ramadhan seseorang itu tergantung antara langit dan bumi, sehinggalah dibayar olehnya zakat fitrah." (Kitab Jamius Soghir)

Beberapa keterangan tentang zakat fitrah:

1. Sebaiknya zakat fitrah itu dibayar sebelum didirikan sembahyang raya biarpun waktu membayarnya masih ada sehinggalah terbenam matahari berakhirnya 1 syawal.

2. Orang yang tidak membayarnya, sehingga melepasi waktu membayarnya, wajib qadha.

3. Hanya sanya yang wajib membayarnya adalah orang yang berkesempatan hidup daripada hujung bulan Ramadhan hinggalah melepasi maghrib bermulanya 1 Syawal. Bayaran tersebut adalah tanggungjawab kepada yang menanggung nafkah sekiranya keperluan asasi diri dan tanggungan nafkahnya seperti makanan & pakaian mencukupi untuk 1 Syawal.

4. Membayar zakat fitrah dengan wang adalah taklid kepada mazhab Hanafi sebagai kemudahan kita dan juga penerima zakat. Sedangkan dalam Mazhab Syafie, ditetapkan dengan makanan asasi setempat, contoh beras.

5. Wajib niat dalam hati sewaktu membayar zakat atau sebelumnya lagi sewaktu mengasingkan wang tersebut untuk zakat.

6. Wang zakat itu dibayar di daerah tempat kita tinggal dan haram memindahkan bayarannya ke tempat lain. Kecuali dibolehkan juga di daerah yang berdekatan, kata sesetengah ulamak.

Thursday, September 11, 2008

Tips Buka Puasa

1. Sebaiknya 10 minit sebelum berbuka, kita bersiap diri dengan pakaian sembahyang dan berwudhuk.

2. Apabila masuk waktu Maghrib, maka sunat untuk kita melaungkan azan. Jika sudah ada orang lain yang melaungkan azan, maka sunat kita menjawab azan.

3. Selesai azan, kita membaca doa azan, kemudian barulah kita membaca doa berbuka puasa dan doa makan. Maksud sabda Rasulullah s.a.w: “Setiap orang yang berpuasa mempunyai doa yang dikabuli di waktu berbukanya.” (Riwayat Hakim)

4. Berbuka dengan mendahulukan makan kurma dan sebaiknya makan ia dengan bilangan yang ganjil; 1, 3 atau 5 biji.

5. Dalam hadis, Rasulullah menganjurkan berbuka dengan kurma, dan jika tiada kurma, maka mulakan berbuka itu dengan minum air. Air itu ialah air tawar dan jika tiada air tawar bolehlah dengan air yang manis. Sesetengah ulamak berpendapat, boleh makan makanan yang manis sebagai ganti ketiadaan kurma.

6. Sunat menyegerakan berbuka puasa dan tidak melambat-lambatkannya secara sengaja. Sebaiknya berbuka ringan sekadar mengalas perut untuk segera menunaikan sembahyang Maghrib.

7. Orang yang berbuka dengan sangkaan waktu maghrib sudah masuk kemudian ternyata belum lagi waktu maghrib, puasanya pada hari itu jadi batal. Wajib qadha puasa.

Tips Makan Sahur

1. Maksud Sabda Rasulullah: “Makan sahur adalah berkat, maka janganlah kamu tinggalkan sekalipun hanya dengan meminum seteguk air.” (Riwayat Ahmad)

2. Sunat melewatkan waktu sahur, sekira-kira sempat berhenti makan sahur itu pada waktu imsak.

3. Dianjurkan mematuhi waktu imsak sebagai langkah berhati-hati. Waktu imsak ialah waktu sebelum masuk waktu subuh dan tempohnya lebih kurang membaca 50 ayat Al-Quran secara sederhana. Dinilai tempoh waktu menghabiskan surah Al-Mursalat itu memadai kerana surah itu mengandungi 50 ayat. Pendapat lain, cukup dengan nilaian 10 minit sebagai tempoh waktu imsak.

4. Sunat makan sahur dengan kurma sepertimana yang dianjurkan Rasulullah, “sebaik-baik makanan sahurmu adalah kurma.”

5. Niat makan sahur belum memadai sebagai niat puasa makanya orang yang belum berniat puasa, wajib niat pada waktu sahur dengan niat puasa. Sekurang-kurang niat, adalah “sahaja aku puasa Ramadhan”.

Thursday, September 04, 2008

Termasuk Air Sewaktu Mandi Di Bulan Puasa

Anda bertanya:

Bagaimana jika termasuk air ke dalam telinga sewaktu mandi wajib pada hari berpuasa?

Saya menjawab:

Di hari berpuasa, sunat mandi wajib itu disegerakan sebelum fajar. Jika mandi wajib selepas fajar, dan berlaku termasuk air ke dalam telinga, atau ke dalam mulut sewaktu berkumur atau melepasi pangkal hidung sewaktu memasukkan air ke dalam hidung; semuanya itu dimaafkan atas kerana mandi wajib tadi.

Tidak dimaafkan jika mandi itu berlebih-lebihan sehingga membazirkan air, dan berkali-kali mandinya atau basuhan pada anggotanya. Tidak dimaafkan juga jika mandi itu mandi sunat dan mandi harus. Berbeza pendapat sesetengah ulamak yang mengatakan dimaafkan juga pada mandi sunat. Mandi sunat itu ialah seperti mandi pada hari jumaat dan mandi sesudah memandikan mayat.

Mandi wajib atau sunat atau harus di bulan puasa dengan cara menyelam membatalkan puasa sekiranya termasuk air seperti yang yang disebutkan. Untuk itu, tidak dianjurkan untuk menyelam sewaktu berpuasa.