Sunday, July 06, 2014

Rapat dan Luruskan Saf

Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Luruskan saf-saf kalian, kerana sesungguhnya meluruskan saf termasuk daripada menegakkan sembahyang." (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat yang lain disebut dengan: "....termasuk daripada kesempurnaan sembahyang."                              
Lagi hadis Rasulullah: "Barangsiapa yang menyambung saf, nescaya Allah akan menyambungnya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskannya. (Riwayat Abu Daud)

Keterangan:

1. Merapat dan meluruskan saf adalah termasuk daripada kesempurnaan sembahyang berjemaah. Ianya juga menjadi sebab untuk kita mendapat rahmat daripada Allah. 

2. Adalah menjadi tugas imam, sebelum masuk sembahyang, untuk melihat-lihat kepada kedudukan saf makmum sambil menyeru agar dirapat dan diluruskan saf. 

3. Makmum pula hendaklah turut sama melihat di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya agar dapat dirapat dan diluruskan saf tersebut sebelum masuk sembahyang. Ini mestilah juga berlaku setiap kali bangun berdiri untuk rakaat kedua dan seterusnya dimana masing-masing makmum membuat penyelarasan untuk memastikan saf itu rapat dan lurus.

4. Yang dikatakan rapat itu syaratnya adalah kaki bertemu kaki, iaitu ada sentuhan jari kelingking kaki sesama makmum. Juga, sedapat mungkin mengusahakan bahu bertemu bahu. Manakala yang dikatakan lurus itu ada dua kaedah memastikannya. Pertama, diikut daripada belakang dengan selarikan tumit kaki makmum. Kedua, diikut daripada hadapan dengan selarikan jari-jari kaki makmum.

5. Moga-moga dengan mengikut aturan rapat dan luruskan saf dalam sembahyang jemaah, sepertimana yang dibuat dan dianjurkan oleh Rasulullah, hati-hati kita akan bersatu diikat dengan kasih sayang sesama. 

Friday, April 18, 2014

Kenapa Kita Perlu Bermazhab?

Akhir-akhir ini ada segelintir pihak yang seolah mahu memecah tradisi bermazhab dan menyatakan kita terus sahaja berpegang dengan Al-Quran dan sunnah. Kata  mereka antara lain membawa maksud tak perlu bermazhab, cukup dengan Al-Quran dan Sunnah. Jadinya, dalam hal fekah ini mereka tidak lagi berpegang pada mazhab yang 4. Mereka mengenepikan terus fatwa dan pandangan mazhab Syafie, Hanafi, Hambali & Maliki. Ini satu perbahasan yang panjang. Saya ringkaskan di sini beberapa sebab kenapa kita perlu pada mazhab:

1. Kita adalah orang awam yang serba-serbi kurang dalam ilmu agama. Kita tidak menguasai ilmu bahasa Arab seperti nahu dan saraf. Kita tiada ilmu mustolah hadis dan tidak jauh mendalami hadis dalam “sunnan sittah” seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim & Sahih Tarmizi. Juga cetek ilmu Al-Quran, tafsir dan nasikh mansukh. Kalaupun kita sudah mempunya beberapa ilmu agama seperti bahasa Arab, hadis & tafsir, kita tidak mempunyai kemahiran berijtihad dan berfatwa. Kerana banyak perkara dalam hal fekah ini perlu kepada ijtihad  dan fatwa.

2. Mazhab yang 4 ini mereka hidup mendekati kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Jikalau kita mengatakan kita mengikut Al-Quran dan hadis, makanya contoh teladan kita ialah Rasulullah dan para sahabat.  Selepas mereka sudah semestinya tabiin dan tabiut tabiin. Jelas,  4 orang mazhab ini berguru dengan guru-guru yang berguru pada sahabat Rasulullah. Mereka mendapat ilmu yang jelas sanadnya dan sampai kepada Rasulullah dan para sahabat. Mereka hidup dalam lingkungan 300 tahun yang disebut Rasulullah kurun yang baik atau era salafussoleh. Jadinya, sudah pasti ilmu yang mereka dapat itu masih segar dan tidak bercampur aduk berbanding kita yang sudah 1400 tahun jauh daripada zaman Rasulullah dan para sahabat.

3. Bila dikaji, terbukti  ulamak-ulamak  terdahulu biarpun punyai ilmu agama yang tinggi seperti ilmu Al-Quran & Ilmu Hadis, namun mereka diketahui tetap berpegang pada mazhab.  Contoh periwayat Hadis seperti  Imam Bukhari & Imam Muslim, mereka berpegang pada mazhab Syafie. Juga ulamak seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi & Imam Suyuthi juga berpegang pada mazhab Syafie. Contoh lain, Ibnu Qudamah pada mazhab Hanbali,  Qadi Iyadh pada mazhab Maliki & Yusof Kandahlawi  pada Mazhab Hanafi.  

Thursday, March 06, 2014

Perihal Haid

Berikut ialah beberapa perkara yang perlu diketahui berkaitan dengan haid:

1. Syarat menjadi haid ialah darah keluar sekurang-kurang masa 24 jam

Maksudnya jika keluar darah kurang daripada 24 jam atau sehari semalam secara terus-menerus, maka tidak dikira sebagai haid. Jika darah keluar sekejap-sekejap dalam tempoh 15 hari dan bila dikumpulkan waktu itu memenuhi 24 jam maka tempoh masa tersebut dikira sebagai haid.

2. Sudah tidak dianggap haid apabila darah itu melebihi  15 hari

Maksudnya selagi darah itu berterusan keluar dalam tempoh masa 15 hari, maka dikira sebagai haid. Darah yang melebihi tempoh tersebut, tidak lagi dianggap sebagai haid tetapi dihukumkan sebagai darah istihadhah. Makanya masa haid wanita itu adalah dengan dibezakan warna darah atau jika tidak dapat dibezakan warnanya maka dilihat pada tempoh kebiasaan haidnya sebelum ini.

3. Waktu suci ialah sekurang-kurangnya 15 hari

Maksudnya tidak dihukumkan haid jika tempoh suci kurang daripada 15 hari. Dikira sebagai haid itu mestilah apabila darah itu keluar selepas daripada 15 hari daripada hari tamat haid yang sebelumnya.

4. Minimum umur keluar haid ialah 9 tahun

Maksudnya jika keluar darah sebelum daripada umur tersebut, ia bukan haid. Lebih tepat lagi, ulamak menentukan keluarnya darah secara terus menerus 24 jam dalam tempoh masa 16 hari sebelum 9 tahun dihukumkan juga sebagai haid.

Sunday, February 16, 2014

Aturan Saf Kanak-Kanak (3)

Diringkaskan di sini pendapat dalam Bughyatul Mustarsyidin:

1. Terputus saf dan berkuranglah fadhilat berjemaah bagi orang yang sembahyang jemaah bilamana pada saf yang sebaris dengannya atau di hadapannya; bukan di belakangnya; terdapat orang yang tidak sah sembahyangnya seperti kanak-kanak yang belum berkhatan. 

2. Namun ianya terjadi jikalau mengetahui dia dengan yakin perihal tidak sahnya kanak-kanak itu dan dia tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki saf tersebut. Sedangkan dia mampu mengasingkan atau mengeluarkan kanak-kanak itu tanpa rasa takut dan ragu.

3. Tidaklah ianya terjadi jikalau kanak-kanak itu sudah masuk ke dalam saf dan dia tidak mengetahui perihal kanak-kanak itu, ataupun dia hanya bersangka-sangka sahaja perihal kanak-kanak itu, lagi tidak mampu dia mengasingkan atau mengeluarkan kanak-kanak itu. 

Wallahua'lam.

Tuesday, February 04, 2014

Aturan Saf Kanak-Kanak (2)

Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Sabilal Muhtadin ada keterangannya:

1. Sunat apabila berbilang saf makmum bahawa berdiri di belakang imam itu sekelian lelaki yang baligh. Kemudian jika sudah penuh berisi saf lelaki itu maka berdiri di saf belakang mereka itu sekelian kanak-kanak. Tetapi jika terdahulu kanak-kanak kepada saf pertama maka tidaklah diundurkan mereka itu kepada saf yang di belakang, dari kerana kanak-kanak itu sejenis dengan lelaki yang baligh. Bersalahan jika terdahulu khunsa atau perempuan pada saf pertama, maka diundurkan dia kepada saf yang di belakang.
 
2. Jika tidak penuh saf lelaki yang baligh itu maka dipenuhkan ia dengan kanak-kanak. Kemudian maka bersaf di belakang kanak-kanak itu sekelian khunsa kemudian berdiri di belakang khunsa itu sekelian perempuan. Maka apabila disalahi tertib yang tersebut itu maka ianya makruh. Demikian lagi tiap-tiap sunat yang berkaitan dengan tempat perdirian jamaah, makruh menyalahinya lagi meluputkan fadhilat jamaah.

Friday, January 31, 2014

Aturan Saf Kanak-Kanak (1)

Adalah di sini diberi penjelasan terhadap aturan saf bagi kanak-kanak yang bersembahyang bersama orang dewasa. Dimaksudkan dengan kanak-kanak; adalah kanak-kanak mumayyiz yang belum baligh. Biarpun belum baligh, dianggap sah sembahyangnya jika menepati syarat rukun sembahyang.

Dari Abu Mas’ud, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, kemudian mereka yang berikutnya.” (HR. Muslim)

Difahami daripada hadis ini, yang patut didahulukan dalam saf adalah orang dewasa, dan kemudiannya barulah yang bukan dewasa iaitu kanak-kanak. Selagi ada orang dewasa, maka dipenuhkan saf pertama itu dengan orang dewasa terlebih dahulu. Begitulah saf kedua dan ketiga seterusnya diberi keutamaan kepada orang dewasa terlebih dahulu.

Dari Anas bin Malik, katanya:
“Aku dan seorang anak yatim solat bersama-sama di rumah kami, di belakang Nabi s.a.w. Sedangkan ibuku, Ummu Sulaim, di belakang kami.” (HR. Bukhari)

Hadis ini memberi petunjuk yang membolehkan kanak-kanak berdiri satu saf dengan orang dewasa. Malah dalam hadis lain ada keterangan menujukkan Ibnu Abbas bersembahyang bersama-sama orang dewasa dalam satu saf, dan tiada yang menegurnya sedangkan dia waktu itu belum baligh lagi. Ini membawa maksud tidak ada masalah kanak-kanak bersembahyang satu saf dengan orang dewasa jika sudah tiada lagi orang dewasa untuk memenuhkan saf. Ia juga memberi faham kepada kita yang kanak-kanak didahulukan daripada perempuan dalam aturan saf.

Monday, January 27, 2014

Bersegeralah Solat Maghrib

Masuk waktu Maghrib mengikut pendapat Imam Syafie ialah bila terbenam seluruh matahari. Tempoh masanya waktu Maghrib ini, sebaik masuk waktu, ialah seperti berikut:

1.       Berwudhuk 
2.       Azan 
3.       Iqamat
4.       Meluruskan dan merapatkan saf (bagi solat berjemaah) 
5.       Solat Fardhu Maghrib 
6.       Solat Sunat Selepas Maghrib (Ba’diyah) atau solat Isyak jamak taqdim bagi yang musafir
7.       Didahului dengan berbuka yang ringan bagi yang berpuasa

Iaitu sebaik selesai mengerjakan perihal no. 1 hingga 7, waktu Maghrib pun berakhir. Maksudnya secukup waktu yang diberikan itu, selepas daripada itu tiada lagi waktu Maghrib. Namun tidak bererti menandakan sudah masuk Isyak. Kerana Isyak itu hanya masuk bila hilang cahaya atau mega merah di kaki langit.  Jika dikaitkan dengan waktu di Malaysia sekarang, jika masuk Maghrib 7.00 malam, maka selesai Maghrib itu ialah pada jam 7.20 malam. Dan bagi yang berpuasa itu pada jam 7.30 malam. Iaitu dalam anggaran kiraan masa 20 minit sahaja bagi yang tidak berpuasa dan 30 minit sahaja bagi yang berpuasa.

Persoalan:
Bagaimana pula dengan pendapat dari Imam Syafie juga yang menyatakan waktu Maghrib berakhir bila hilang cahaya mega merah di kaki langit, tanda masuknya waktu Isyak?

Ulamak membenarkan kita berpegang pada pendapat lama Imam Syafie ini dan inilah yang menjadi amalan kebanyakan daripada umat Islam yang bermazhab Syafie hari ini. Sedangkan yang dibincangkan di atas adalah pendapat yang diperbaharui Imam Syafie di akhir hayat beliau. Sebaiknya sebagai jalan keluar dan mengambil manfaat solat di awal waktu, maka jika berkelapangan dan tiada keuzuran, maka sebaiknya mengambil kita akan pendapat baru ini. Bersegera solat Maghrib di awal waktu, iaitu dalam 20 minit pertama waktunya dan tidak melengah-lengahkan melebihi daripada waktu tersebut. Sebaliknya jika ada keuzuran atau ada halangan yang mendatang, maka berpeganglah pada pendapat lama ini yang membolehkan kita solat Maghrib selagi tidak masuk waktu Isyak.

Thursday, January 16, 2014

Bilakah Boleh Solat Duduk (2) ?

Pertanyaan dari seseorang, yang dia itu mengalami kesakitan yang tidak membolehkan dia sujud di dalam sembahyang. Apa yang dia mampu lakukan hanya berdiri dan rukuk. Jadi bagaimana sepatutnya kaedah sembahyangnya dalam keadaan seperti ini?:

Jawabannya merujuk kepada catatan di dalam Kitab Sabilal Muhtadin:
"Jikalau dia boleh rukuk, tidak sujud, hendaklah dia tunduk dua kali, sekali
untuk rukuk dan sekali untuk sujudnya. Jika dia kuasa melebihkan tunduk
daripada had sempurna rukuk wajiblah dia melebihkan tunduk bagi sujud kerana
membezakan rukuk dan sujud." (Syeikh Arsyad Banjari)

*Dalam masalah ini, Ulamak berpendapat duduk antara dua sujud dan duduk tahiyatnya adalah dengan duduk di atas kerusi.

Wallahua'lam.

Tuesday, December 17, 2013

Memberi & Menjawab Salam Kepada Orang Bukan Islam

Bertanya seorang tentang bagaimana menjawab salam daripada orang bukan Islam?

Maka dijawab:
Jika mereka memberi salam dengan lafaz "assalamualaikum", kita jawab "waalaikum". 

Keterangan:
Salam itu adalah doa keselamatan. Bila kita memberi salam, bermaksud kita mendoakan keselamatan seseorang. Maka bila orang mendoakan kita, maka kita mendoakan kembali orang tersebut. Inilah adab dalam memberi dan menjawab salam. Tapi adab ini hanya terpakai untuk orang Islam. Orang bukan Islam, tidaklah ada kewajiban malah tidak boleh samasekali kita mendoakan keselamatan bagi mereka. Apa yang boleh hanya mendoakan mereka mendapat hidayah. Itu sebab kita tidak boleh memberi salam atau mengucapkan keselamatan seperti "selamat sejahtera" kepada orang bukan Islam. Dan bila mereka memberi salam kepada kita, maka tidaklah perlu kita menjawabnya atau merujuk kepada keterangan hadis, dijawab dengan "waalaikum".



Wednesday, December 04, 2013

Membaca Ummul Kitab Sewaktu Berhadas Besar

Soalan:
Apakah seorang wanita yang berada dalam keadaan hadas besar boleh membaca Ummul Kitab? Sebab kebiasaan dalam satu majlis ilmu, selalunya akan dimulakan dengan Al-Fatihah.

Jawaban:
Lelaki atau wanita, jika berada dalam keadaan hadas besar, haram baginya membaca Al-Quran dengan berlafaz walau sedikit. Ini termasuklah membaca Ummul Kitab iaitu Al-Fatihah.  Namun jika membacanya itu dengan niat zikir, bukan niat membaca atau disebut sebagai tilawah, maka ianya dibolehkan. Dan boleh juga dengan niat zikir, doa atau zikir pada keadaan tertentu yang berkehendakkan kepada membaca petikan ayat Al-Quran seperti doa menaiki kenderaan, bacaan 3 Qul sebelum tidur, bacaan ayatul kursi sewaktu keluar rumah dan doa "Innalillahi wainna ilahi rajiun" sewaktu menghadapi musibah. 

Wallahua'lam.

Wednesday, August 22, 2012

Puasa 6

Dianjurkan untuk berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal setelah mengerjakan sebulan puasa Ramadhan. Tersebut dalam hadis, orang yang seperti ini mendapat pahala puasa sepanjang tahun. Berikut beberapa tips berpuasa di bulan Syawal:

1. Bagi mereka yang ada tertinggal puasa di bulan Ramadhan tanpa disengajakan atas alasan uzur syarie, maka sunat menyegerakan qadha puasanya. Keutamaan baginya berpuasa qadha daripada berpuasa sunat.

2. Bagi yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhannya tanpa ada apa-apa alasan uzur syarie, maka wajib padanya menyegerakan qadha puasa. Tidak boleh baginya puasa sunat melainkan setelah selesai qadha tersebut.

3. Untuk yang mengqadha puasa di bulan Syawal, berniat qadha di malam hari sebelum terbit fajar. Tidak perlu menggabungkan niat puasa sunat dan puasa qadha biarpun ada pendapat yang membolehkannya. Orang yang berpuasa qadha di dalam bulan Syawal, dikira telah menyelesaikan tuntutan berpuasa sunat di bulan Syawal.

4. Kepada yang mampu, maka dibolehkan untuk mereka menyambung puasa sunat di bulan Syawal, setelah disempurnakan hari-hari puasa qadhanya.

5. Digalakkan berpuasa sunat itu bermula pada hari ke-2 bulan Syawal, dengan berturut-turut sehingga hari ke-7 bagi mencukupkan 6 hari. Namun, bagi mereka yang disibukkan dengan menziarahi keluarga, teman dan sanak-saudara, tidak mengapa jika diselang-selikan harinya. Atau dilewatkan mula berpuasanya kerana keutamaan itu pada menyambung silaturrahim dan menggembirakan mereka.

Sekian.

(Artikel 8 Oktober 2007 ini diulang siar sebagai ingatan kita bersama, harap maklum)

Monday, July 11, 2011

Soal Jawab Agama

InsyaAllah, sebarang kemusykilan agama berkaitan fekah ibadah akan diusahakan jawab:

1. Melalui blog ini ruangan comment / shoutbox

2. Melalui twitter @muhdfadhil313

3. Melalui email mohdfazel@yahoo.com

Tuesday, June 21, 2011

Puasa Jumaat, Sabtu & Ahad

Bertanya anda tentang puasa hari Jumaat..yang dikatakan makruh itu?

Dijawab:
Makruh puasa hari Jumaat sahaja, atau hari Sabtu sahaja atau Ahad sahaja. Kecuali hendaklah dikampilkan dengan puasa pada hari yang sebelumnya atau sesudahnya. Dan jatuh makruh itu jika puasa sunat, tiada puasa qadha. Namun sebaiknya puasa qadha itu jika luas masanya dilakukan pada hari-hari yang disukai oleh Rasulullah untuk berpuasa iaitu Isnin & Khamis. Dan tiada mengapa puasa pada hari-hari yang dimakruhkan tersebut jika berbetulan ia dengan peristiwa yang disunatkan berpuasa seperti puasa Arafah 9 Zulhijjah atau puasa Asyura 10 Muharam.

Monday, May 16, 2011

I'tidal yang perlu diketahui

I'tidal salah satu rukun daripada sembahyang. Ada beberapa perkara penting tentangnya yang perlu diketahui:

1. Bangkit daripada rukuk dengan berdiri tegak sambil membaca "samiAllahu liman hamidah", dibaca juga biarpun sebagai makmum.

2. Waktu berdiri tegak itu dibaca "rabbana lakalhamd" atau "rabbana walakalhamd".

3. Waktu berdiri tegak itu, sebelum bergerak untuk sujud, wajib ada tukmaninah iaitu berhenti gerakan anggota badan yang besar seperti tangan, kaki dan kepala sekadar waktu membaca "subhanaAllah".

4. Maksudnya di sini, perlu dipastikan anggota badan terutamanya tangan tidak berhayun atau bergerak sewaktu i'tidal.

5. Jikapun tangan terhayun atau tergerak, janganlah melebihi 2 gerakan. Jika melebihi 2 gerakan jadi batal solat. Sebelah tangan terhayun itu mewakili 1 gerakan. 2 belah tangan itu mewakili 2 gerakan.

6. Sewaktu i'tidal ini, kepala ditundukkan sambil mata memandang ke tempat sujud.

7. Bagi makmum, waktu bangkit daripada rukuk untuk melakukan i'tidal ialah setelah sempurna berdiri tegak imamnya. Cara mudah untuk mengetahuinya ialah dengan mendengar imam selesai sempurna membaca "samiAllahu liman hamidah".

Tuesday, January 18, 2011

Wajib dalam Takbiratul Ihram

Soal:

Apakah yang wajib dalam rukun takbiratul ihram?

Jawab:

Yang wajib dalam takbiratul ihram itu ada 3, iaitu;

1) Membaca Allahu Akbar

2) Memperdengarkan bacaan itu pada diri sendiri

3) Membacanya dalam keadaan berdiri selagi mampu.

Monday, October 11, 2010

Berhati-hati Dalam Membuat Korban

Setiap amal ibadah yang ingin kita lakukan perlu kita ada ilmunya dahulu sebelum boleh kita amalkan. Bahkan kebanyakan ulamak berfatwa dengan tidak sah bagi sesuatu amalan yang dikerjakan tanpa ilmu. Oleh itu wajib kita menuntut ilmu sebelum kita mahu mengamalkannya. Tidak boleh kita hanya bertaklid atau ikut-ikut sahaja, sedangkan kita tidak mengetahui hukum dan kaifiyat tentang amalan tersebut. Ini termasuk dalam hal ibadah korban.

Bermula hukum ibadah korban adalah sunat muakkad. Berikut adalah beberapa perkara penting yang wajib kita ketahui dalam kita melaksanakan ibadah korban tersebut:

1. Wajib niat korban bagi orang yang berkorban atau boleh sahaja wakilnya itu niatkan bagi pihak dirinya. Waktunya ialah pada bila-bila masa sebelum binatang korban itu disembelih. Namun niat & sembelihan itu mestilah dalam tempoh waktu penyembelihan iaitu, sekira-kira selesai solat sunat berserta khutbah Aidil Adha pada 10 Zulhijjah dan sebelum berakhirnya waktu Asar pada hari akhir tasyrik 13 Zulhijjah. Niat itu pula mestilah dita’yinkan (ditentukan) sebagai korban sunat, bukan semata-mata korban.

2. Korban sunat tadi akan menjadi korban wajib bilamana seorang menyatakan dengan lafaz “ini korban saya” atau menjawab sebegitu bilamana ditanya. Biarpun ia terjadi sebelum lagi masuk waktu penyembelihan. Walhal jika korban sunat, hendaklah dinyatakan bahawa “ini korban sunat saya”. Bilamana korban jadi wajib, semua bahagiannya, tidak terkecuali satu pun, wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan daging mentah.

3. Berbeza dengan korban sunat, hanya wajib disedekahkan sebahagian daripadanya kepada fakir miskin dalam keadaan daging mentah. Yang terbaik ialah diambil sepertiga (1/3) daripadanya untuk fakir miskin, dan dua pertiga (2/3) daripadanya bolehlah untuk dimasak atau dihadiahkan kepada selain fakir miskin.

4. Diharuskan bagi orang yang berkorban mengambil bahagiannya bagi korban sunat tetapi haram jika korban itu korban nazar atau korban wajib.

5. Haram mengagihkan daging korban kepada orang bukan Islam.

6. Haram memindahkan daging korban semuanya itu ke luar daerah tempat binatang itu disembelih kerana padanya ada hak fakir miskin di tempat tersebut.

Sekian.

Friday, October 01, 2010

Najis Mukhaffafah

Ditanya:
Bagaimana ditilik najis itu sebagai mukhaffafah?

Dijawab:
Diketahui dengannya najis mukhaffafah bila memiliki tanda-tanda berikut;

1. Mestilah bayi itu daripada bayi lelaki, bukan bayi perempuan

2. Umurnya tidak melebihi 2 tahun

3. Yang ia tidak memakan atau meminum "untuk tujuan mengenyangkan" selain susu badan iaitu susu ibu.

Ditanya:
Bagaimana membersihkan najis mukhaffafah, apakah cukup memercikkan air di kawasan najis sedangkan masih ada warna atau baunya?

Dijawab:
Memadai memercikkan air di kawasan najis biarpun tidak hilang bau, rasa atau warna najis; itu kata umum ulamak fekah. Sebahagiannya mengkhususkan lagi dengan mengatakan tidak memadai sebegitu. Maknanya, kena memercikkan air di kawasan najis sehingga hilang bau, rasa dan warna najis.

Saturday, September 18, 2010

Syarat Qabul Sembahyang

Dinyatakan dalam kitab Sulamuttaufiq:

“Dan disyaratkan berserta dengan syarat-syarat yang lain untuk diterima sembahyang di sisi Allah, bahawa niat sembahyang itu tiada lain kerana Allah sahaja, dan adalah makanannya, pakaiannya dan tempat sembahyangnya itu halal, dan hadir hatinya dalam sembahyang, tiada apa-apa dari sembahyangnya kecuali yang difikirkan adalah sembahyangnya, dan tiada ia ujub tentangnya.”

Keterangan:

Di sini pengarang kitab menerangkan kepada kita bahawa selain ada syarat sah sembahyang dan syarat wajib sembahyang berserta dengan rukun-rukunnya, ada satu lagi syarat untuk sembahyang kita diterima Tuhan. Atau dalam ertikata lain dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Bila kita sudah memenuhi syarat wajib, syarat sah dan rukun sembahyang, lahirnya sembahyang kita sudah selesai. Namun, bila dibawa kepada Tuhan, selagi syarat-syarat tambahan itu tidak dipenuhi, maka sembahyang kita itu seperti tiada nilainya. Tuhan tak pandang sembahyang kita. Makanya sembahyang kita adalah tertolak.

Syarat-syarat tambahan ini disebut sebagai syarat qabul dan ia adalah seperti berikut:

1. Niat kerana Allah – Menetapakan yang niat kita bersembahyang itu benar-benar kerana kita cinta dan takutkan Allah. Benar-benar untuk mendapat keredhaan Allah dan bukan selainNya. Dikekalkan niat kerana Allah itu dari sebelum sembahyang hingga kepada selesai sembahyang.

2. Makanan halal – Maksudnya kita menjaga agar sebarang makanan yang masuk ke dalam perut kita adalah halal. Di sini ada dua pengertian, a) Bahan makanan itu halal, suci dan bersih b) Sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan halal itu bukan dari sumber yang haram. Maksud Firman Allah: Makanlah oleh kamu daripada makanan yang baik (halal) dan perbuat olehmu akan amal yang soleh. (Al-Mukminun: 51)

3. Pakaian halal – Biarpun sah sembahyang kita dengan pakaian yang dicuri atau pakaian yang dibeli daripada hasil yang haram, tetapi hakikatnya Allah tidak menerima sembahyang kita itu. Sabda Rasululllah: “Barangsiapa yang bersembahyang mengenakan pakaian yang diperolehi dengan 10 dirham, sedangkan ada 1 dirham daripadanya adalah haram, maka tiadalah Allah menerima sembahyangnya” (Riwayat Ahmad).

4. Tempat sembahyang halal – Sumber pendapatan dalam membina tempat sembahyang seperti masjid dan surau mesti halal. Maksud Firman Allah: “Sesungguhnya masjid yang berasaskan taqwa dari permulaan hari berdirinya, lebih baik bagi engkau mendirikan sembahyang di dalamnya” (At-Taubah:108).

5. Hadir hati dalam sembahyang – Membawa pengertian khusyuk. Iaitu kita mengetahui, memahami justeru menghayati setiap pergerakan dan bacaan dalam sembahyang. Sehingga dapat merasa-rasa dengan Tuhan dalam sembahyang seperti rasa takut, rasa cinta, rasa hina diri dan rasa gementar.

6. Tiada ujub – Janganlah sampai kita bangga dengan bacaan kita atau dengan sembahyang kita. Hingga sampai membawa rasa diri hebat, rasa diri baik dan rasa diri itu sudah istimewa di sisi Tuhan. Patutnya kesan daripada sembahyang lebih menajamkan rasa hamba dalam diri seperti rasa berdosa dan rasa takut dengan Tuhan.

7. Imam yang alim lagi warak – Ini satu perkara yang tidak disebutkan dalam kitab tersebut. Tapi adalah sangat penting bagi kita dalam bersembahyang jemaah, maka imam yang mengimami sembahyang kita adalah orang alim (berilmu) lagi warak (yang takutkan Tuhan). Ini seperti yang disabdakan Rasulullah: ”Jika kamu gembira untuk sembahyang kamu diterima, hendaklah mengimami sembahyang kamu itu orang yang baik (alim & warak), kerana dia adalah penghubung kamu dengan Tuhan kamu (Riwayat Thabrani).

Taqaballahu minna wa minkum - Moga-moga Allah menerima segala amalan kita.

Sekian.

Friday, September 03, 2010

Orang Bukan Islam Masuk Masjid

Dalam Mazhab kita, orang bukan Islam dibenarkan masuk ke dalam masjid dengan syarat berikut:

1. Ada keperluan atau hajat syarie

2. Ada keizinan penguasa masjid atau wakilnya

3. Bukan Masjidil Haram

Setelah memenuhi syarat-syarat di atas, walau yang bukan Islam itu dalam keadaan junub, maka tidaklah haram baginya masuk atau berhenti di dalam masjid. Termasuk bagi wanita bukan Islam yang dalam keadaan haid atau nifas, jika tidak dibimbangkan menitik darahnya. Namun, ada pendapat yang mengatakan ditegah kepada wanita bukan Islam yang haid atau nifas memasuki masjid kerana besar hadasnya.

(Rujukan: Sabilal Muhtadin)

Monday, August 30, 2010

Kekeliruan Dalam Niat

Sering berlaku di kalangan kita yang terkeliru antara lafaz niat dan niat itu sendiri. Lafaz niat ialah apa yang kita ucapkan, yang kita boleh dengar sendiri. Sedangkan niat itu adalah di dalam hati. Dibawakan beberapa contoh kekeliruan tersebut agar kita dapat fahami yang sebenarnya:

1. Lafaz niat puasa itu adalah "nawaitu saumaghadin...." seperti yang biasa diucapkan oleh kita bila selesai solat sunat terawih. Tapi yang itu hanya sunat sahaja, memang elok dilakukan. Namun perlu disertai dengan hak yang wajib, iaitu niat di dalam hati, bahawa kita hendak berpuasa fardhu Ramadhan pada esok hari kerana Allah.

2. Dalam mengeluarkan zakat, terutama di bulan puasa ini ialah zakat fitrah, maka satu daripada syarat sah zakat itu adalah niat. Makanya bila kita menyebut kepada amil, "inilah zakat fitrahku...", itu adalah lafaz yang sunat. Maka yang wajibnya ialah menyertakan niat dalam hati bahawa kita membayar zakat fitrah kita untuk tahun ini.

Seperkara lagi yang perlu disebutkan di sini ialah tentang membatalkan niat dalam ibadah. Maka dibawa contoh seperti berikut:

1. Membatalkan niat di dalam ibadah sembahyang, maka sembahyang otomatik jadi batal. Jika di dalam sembahyang, kita berniat untuk memberhentikan sembahyang atau keluar daripada sembahyang, maknanya kita tidak boleh teruskan sembahyang lagi. Sebab niat keluar daripada sembahyang itu membatalkan niat sembahyang yang kita lakukan di dalam takbiratul ihram.

2. Berbeza dengan sembahyang, membatalkan niat sewaktu di dalam puasa, tidak membatalkan puasa. Puasa hanya jadi batal bila kita melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Sekian. Moga ada manfaatnya untuk kita bersama.