Tuesday, October 14, 2008

Kaifiyat Sujud Syukur

Berikut adalah diterangkan secara ringkas kaifiyat sujud syukur. Untuk pengetahuan, kaifiyat sujud syukur adalah sama dengan kaifiyat sujud tilawah di luar sembahyang. Makanya dibentangkan di sini kaifiyat sujud syukur dengan merujuk kepada kaifiyat sujud tilawah di dalam kitab At-Tibyan Fi Hamalatil Quran, karangan Imam Nawawi.

Hukum Sujud syukur sama dengan hukum sembahyang sunat dalam pensyaratan suci dari hadas dan najis, menghadap kiblat dan menutup aurat. Maka haram Sujud syukur pada orang yang di badan atau bajunya terdapat najis yang tidak dapat dimaafkan. Dan haram atas orang yang berhadas, kecuali jika dia bertayamum di suatu tempat yang diharuskan bertayamum. Diharamkan pula menghadap selain kiblat, kecuali dalam perjalanan di mana boleh menghadap selain kiblat dalam sembahyang nafilah. Semua ini dipersetujui oleh para ulamak.

Apabila hendak sujud, niatkan sujud syukur dan melakukan takbiratul ihram dan mengangkat kedua tangan sejajar dengan kedua bahunya sebagaimana dia melakukan takbiratul ihram untuk sembahyang. Kemudian dia takbir lagi untuk sujud syukur tanpa mengangkat tangan. Takbir yang kedua ini dianjurkan, bukan syarat, seperti takbir hendak sujud di dalam sembahyang.

Sementara takbir yang pertama, iaitu takbiratul ihram, maka ada tiga pendapat. Pendapat pertama, takbir yang pertama (takbiratul ihram) merupakan rukun dan tidak sah sujud syukur kecuali dengannya. Pendapat kedua adalah ianya tidak wajib, hanya dianjurkan. Sekiranya takbir itu ditinggalkan sujudnya tetap sah. Ia adalah pendapat Al-Juwaini. Pendapat ketiga mengatakan, ianya tidak dianjurkan.

Kemudian, jika orang yang ingin sujud itu dalam keadaan berdiri, dia pun mengucapkan takbiratul ihram, kemudian takbir untuk sujud ketika merebahkan diri ke tempat sujud.

Kemudian ketika sujud dia mesti memperhatikan adab-adab sujud sama seperti sujud di dalam sembahyang Sementara tasbih di dalam sujud, hendaklah bertasbih seperti bertasbih dalam sujud sembahyang iaitu diucapkannya di dalam arabnya “Subhana Rabbiyal A’la wabihamdih” sebanyak tiga kali.

Ada ucapan tambahan dalam bahasa arabnya: “Allahumma laka sajadtu, wabika amantu walaka aslamtu sajada wajhiyalillazi halaqohu wasowwarahu wasyakkahu sama’hu wabasorahu bihaulihi waquwwatihi tabarakallahu ahsanul hooliqiin.” (Dapatkan teks dalam bahasa arabnya)

Juga dengan ucapan tambahan di dalam arabnya: “Subbuhun quddusan rabbuna warabbul malaikatu warruh.”

Berkata Imam Nawawi: “Maka disunahkan menggabungkan antara dzikir-dzikir ini seluruhnya dan berdoa berkenaan dengan urusan-urusan akhirat dan dunia yang diinginkannya. Jika dia batasi pada sebagiannya, sudah cukup bacaan tasbihnya. Sekiranya tidak bertasbih dengan sesuatu apa pun, tercapailah sujudnya seperti halnya sujud dalam sembahyang. Kemudian ketika selesai dari bertasbih dan berdoa, dia angkat kepalanya sambil bertakbir.”

Apakah sujud syukur memerlukan salam? Terdapat dua pendapat. Pendapat pertama ialah ia memerlukan salam kerana memerlukan takbiratul ihram dan menjadi seperti sembahyang jenazah. Pendapat kedua mengatakan, tidak memerlukan salam kerana hal itu tidak dinukil dari pada Nabi saw.

5 comments:

  1. Kita biasa melihat sujud syukur yang di lakukan oleh pemain bola sepak atau ahli ahli sukan yang lain di atas padang permainan.Tentu nya haram. Lebih lebih lagi pemain memakai seluar pendek.

    ReplyDelete
  2. betul tu.nampaknya umat islam hari ini sudah ketandusan ilmu2 sebegini.. mazhab lain kot. wlam.

    ReplyDelete
  3. Salam Ustaz,
    Jika kita membaca sujud tilawah dalam sujud syukur ni bolih ke?
    Saya kekadang membaca doa baginda Rasulullah Sallallahu 'Alyhi Wasalam "Allahumaj'alni minaz zakirin waj'alni minasy syakirin" - apakah bolih kita baca apa2 doa yang berbentuk kesyukuran?
    Saya tidak melakukan sujud syukur ini semasa di masjid sebab khuatir ada yang tidak faham/tahu lalu timbul fitnah - apakah perbuatan saya itu patut?
    Wallahu'alam
    Wabillahi Nasta'in
    Wasalam

    ReplyDelete
  4. Boleh membaca apa2 doa tetapi eloklah diambil apa yg Rasulullah baca swkt sujud syukur itu. Rasanya tiadalah org hendak fitnahkan di wkt ini krn ramai yg sdh tahu ilmu sujud syukur itu. Jd tdk mengapa berbuatnya di masjid malah lebih afdhal di rumah Allah itu.

    ReplyDelete
  5. salam ya syeikh... sujud 1 kali ke 2 kali? tq...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.