Friday, January 31, 2014

Aturan Saf Kanak-Kanak (1)

Adalah di sini diberi penjelasan terhadap aturan saf bagi kanak-kanak yang bersembahyang bersama orang dewasa. Dimaksudkan dengan kanak-kanak; adalah kanak-kanak mumayyiz yang belum baligh. Biarpun belum baligh, dianggap sah sembahyangnya jika menepati syarat rukun sembahyang.

Dari Abu Mas’ud, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, kemudian mereka yang berikutnya.” (HR. Muslim)

Difahami daripada hadis ini, yang patut didahulukan dalam saf adalah orang dewasa, dan kemudiannya barulah yang bukan dewasa iaitu kanak-kanak. Selagi ada orang dewasa, maka dipenuhkan saf pertama itu dengan orang dewasa terlebih dahulu. Begitulah saf kedua dan ketiga seterusnya diberi keutamaan kepada orang dewasa terlebih dahulu.

Dari Anas bin Malik, katanya:
“Aku dan seorang anak yatim solat bersama-sama di rumah kami, di belakang Nabi s.a.w. Sedangkan ibuku, Ummu Sulaim, di belakang kami.” (HR. Bukhari)

Hadis ini memberi petunjuk yang membolehkan kanak-kanak berdiri satu saf dengan orang dewasa. Malah dalam hadis lain ada keterangan menujukkan Ibnu Abbas bersembahyang bersama-sama orang dewasa dalam satu saf, dan tiada yang menegurnya sedangkan dia waktu itu belum baligh lagi. Ini membawa maksud tidak ada masalah kanak-kanak bersembahyang satu saf dengan orang dewasa jika sudah tiada lagi orang dewasa untuk memenuhkan saf. Ia juga memberi faham kepada kita yang kanak-kanak didahulukan daripada perempuan dalam aturan saf.

Monday, January 27, 2014

Bersegeralah Solat Maghrib

Masuk waktu Maghrib mengikut pendapat Imam Syafie ialah bila terbenam seluruh matahari. Tempoh masanya waktu Maghrib ini, sebaik masuk waktu, ialah seperti berikut:

1.       Berwudhuk 
2.       Azan 
3.       Iqamat
4.       Meluruskan dan merapatkan saf (bagi solat berjemaah) 
5.       Solat Fardhu Maghrib 
6.       Solat Sunat Selepas Maghrib (Ba’diyah) atau solat Isyak jamak taqdim bagi yang musafir
7.       Didahului dengan berbuka yang ringan bagi yang berpuasa

Iaitu sebaik selesai mengerjakan perihal no. 1 hingga 7, waktu Maghrib pun berakhir. Maksudnya secukup waktu yang diberikan itu, selepas daripada itu tiada lagi waktu Maghrib. Namun tidak bererti menandakan sudah masuk Isyak. Kerana Isyak itu hanya masuk bila hilang cahaya atau mega merah di kaki langit.  Jika dikaitkan dengan waktu di Malaysia sekarang, jika masuk Maghrib 7.00 malam, maka selesai Maghrib itu ialah pada jam 7.20 malam. Dan bagi yang berpuasa itu pada jam 7.30 malam. Iaitu dalam anggaran kiraan masa 20 minit sahaja bagi yang tidak berpuasa dan 30 minit sahaja bagi yang berpuasa.

Persoalan:
Bagaimana pula dengan pendapat dari Imam Syafie juga yang menyatakan waktu Maghrib berakhir bila hilang cahaya mega merah di kaki langit, tanda masuknya waktu Isyak?

Ulamak membenarkan kita berpegang pada pendapat lama Imam Syafie ini dan inilah yang menjadi amalan kebanyakan daripada umat Islam yang bermazhab Syafie hari ini. Sedangkan yang dibincangkan di atas adalah pendapat yang diperbaharui Imam Syafie di akhir hayat beliau. Sebaiknya sebagai jalan keluar dan mengambil manfaat solat di awal waktu, maka jika berkelapangan dan tiada keuzuran, maka sebaiknya mengambil kita akan pendapat baru ini. Bersegera solat Maghrib di awal waktu, iaitu dalam 20 minit pertama waktunya dan tidak melengah-lengahkan melebihi daripada waktu tersebut. Sebaliknya jika ada keuzuran atau ada halangan yang mendatang, maka berpeganglah pada pendapat lama ini yang membolehkan kita solat Maghrib selagi tidak masuk waktu Isyak.

Thursday, January 16, 2014

Bilakah Boleh Solat Duduk (2) ?

Pertanyaan dari seseorang, yang dia itu mengalami kesakitan yang tidak membolehkan dia sujud di dalam sembahyang. Apa yang dia mampu lakukan hanya berdiri dan rukuk. Jadi bagaimana sepatutnya kaedah sembahyangnya dalam keadaan seperti ini?:

Jawabannya merujuk kepada catatan di dalam Kitab Sabilal Muhtadin:
"Jikalau dia boleh rukuk, tidak sujud, hendaklah dia tunduk dua kali, sekali
untuk rukuk dan sekali untuk sujudnya. Jika dia kuasa melebihkan tunduk
daripada had sempurna rukuk wajiblah dia melebihkan tunduk bagi sujud kerana
membezakan rukuk dan sujud." (Syeikh Arsyad Banjari)

Apa yang difahami daripada catatan tersebut, jelas bagi yang tidak boleh sujud, dia itu melakukan rukuk kedua selepas i'tidal, dengan qasad (niat) itulah sujud pertama baginya. Dan rukuk ini dilebihkan sedikit tunduknya daripada kebiasaan rukuk. Itu pun jika dia mampu melakukan yang demikian. Jika tidak mampu, lakukan gerakan rukuk yang seperti kebiasaan sahaja. Duduk antara dua sujudnya adalah dengan berdiri, diqasadkan itulah duduk antara dua sujudnya. Kemudian dia sujud lagi kali kedua sama seperti sujud pertama dengan gerakan rukuk. Begitulah pada rakaat seterusnya. 

Maka di sini dibetulkan kembali kesilapan pada penyataan membolehkan duduk atas kerusi dalam menggantikan sujud dan duduk antara dua sujud baginya yang uzur pada sujud. Sama sekali tidaklah seperti itu sepertimana dicatatkan oleh Syeikh Arsyad Banjari dalam kitabnya yang tersebut. Kecuali, jika memang lemah, tiada upaya dia untuk terus berdiri atas kesakitan atau keuzurannya, maka dalam hal ini diperbolehkanlah untuk duduk atas kerusi bagi ganti berdiri untuk menyempurnakan baki sembahyang seterusnya.

Wallahua'lam.