Monday, December 25, 2006

Hukum Minuman Yang Dimasuki Semut

Soalan:
Bangkai semut yang masuk dalam minuman, apa hukumnya meminum air tersebut?

Jawapan:
Semut adalah binatang yang tidak mengalir darahnya. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun, masuk semut pada minuman itu, hukumnya ada 2 keadaan:

1) Semut masuk dalam keadaan sudah mati
Semut itu sudah menjadi bangkai tetapi jika masuk atas ikhtiar manusia, seperti memasukkan gula yang ada bangkai semut, maka air itu najis, tidak boleh diminum. Kalau masuk bukan ikhtiar manusia, contoh seperti ditiup angin selagi tidak mengubah sifat air, maka boleh diminum dengan syarat membuang dulu bangkai semut itu.

2) Semut masuk dalam keadaan hidup
Jika semut itu mati sendiri di dalam air, atas sebab ikhtiar manusia, maka air itu najis dan tidak boleh diminum. Ini boleh berlaku kerana air itu ditapis atau memasukkan gula yang ada semut, atau memasukkan air yang di dalam cawan mengandungi semut. Jika bukan dengan ikhtiar manusia, seperti ia masuk dengan sendirinya atau ditiup angin, maka tidak najis dan boleh diminum dengan syarat bangkai semut itu dibuang dahulu.

Wednesday, December 13, 2006

Bacaan Al-Fatihah

Membaca Al-Fatihah itu adalah satu rukun dalam solat. Meninggalkannya bermaksud meninggalkan rukun dan batallah solat. Inilah mengikut mazhab Syafie. Namun, ada mazhab lain berpandangan bila kita bersolat pada waktu yang dibenarkan menjahar suara (nyaring), iaitu subuh, maghrib dan isyak; 2 rakaat pertama itu tidak perlu membaca Al-Fatihah. Cukup sahaja kita mendengar bacaan Fatihah daripada Imam dan fatihah kita ditanggung imam. Sedangkan bagi Mazhab Syafie, 2 rakaat pertama itu perlu kita dengar dahulu bacaan Fatihah Imam tetapi selesai Imam habis membacanya, mestilah kita selesaikan bacaan fatihah kita pula.

Dalam Al-Fatihah, Bismillah..(hingga selesai) itu adalah termasuk daripada Al-Fatihah dan wajiblah membacanya. Meninggalkannya bererti cacatlah Al-Fatihah kita dan ternafilah rukun membaca Al-Fatihah tersebut. Dalam solat berjemaah, tidak boleh kita mengikut imam yang padanya tidak wajib membaca Bismillah, seperti yang kita sedia maklum ada mazhab selain Syafie yang tidak memberatkan bacaan Bismillah dalam Al-Fatihah.

Al-Fatihah ini termasuk Bismillah mengandungi 7 ayat maka sebaik-baiknya dibaca dalam 7 waqaf yakni 7 kali berhenti. Ini yang dianjurkan oleh Rasulullah dan pada tiap-tiap berhenti itu kita mengambil nafas baru. Bacaan untuk setiap ayat, hendaklah dilakukan secara muwalat atau berturut-turut, dan tidak bolehlah kita berhenti terlalu lama pada tempat waqaf itu. Juga, hendaklah kita betul-betul menjaga makhraj sebutan serta tajwidnya agar bacaan Fatihah kita sempurna. Jika kita solat sendirian atau menjadi makmum, bacalah ia dengan kadar suara yang kita boleh dengar sendiri, namun tidaklah terlalu kuat hingga menganggu ahli jemaah lain.

Perhatikan di waktu solat berjemaah, apabila kita masuk saf dan bertakbiratul ihram sebaik sahaja imam bertakbiratul ihram, maka kita mempunyai masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah. Jika imam kemudian rukuk dan kita belum selesai membaca Al-Fatihah, hendaklah kita selesaikan fatihah kita itu. Tempoh untuk kita menyelesaikannya adalah 3 rukun yang panjang (rukun perbuatan), iaitu rukuk, sujud pertama dan sujud kedua. Jika kita masih tidak sempat menyelesaikan Fatihah dalam tempoh tersebut; gugurlah rakaat kita itu bersama imam dan tidak dikira sebagai satu rakaat. Begitulah pada rakaat seterusnya

Jika kita masuk saf dan bertakbiratul ihram dalam keadaan jemaah sedang berlangsung, yakni imam sudah lama bertakbiratul ihram; maka kita dikira masbuq. Oleh itu, teruslah membaca al-fatihah sebaik sahaja bertakbiratul ihram. Tidak perlu dilengahkan dengan membaca doa iftitah lagi. Bacalah Al-Fatihah itu dan berhentilah serta-merta sebaik imam rukuk, biarpun tidak sempat kita menghabiskan Fatihah kita. Di waktu itu, kita kena turut rukuk dan fatihah kita ditanggung imam. Samalah juga jika sebaik bertakbiratul ihram, tiba-tiba kita dapati imam terus rukuk, maka tinggalkan al-fatihah itu, teruslah rukuk mengikut imam. Kita dikira mendapat rakaat jika kita dapat rukuk bersama-sama Imam sekira-kira tukmaninah (sekadar masa bacaan subhanaAllah). Pada rakaat seterusnya, hendaklah kita menyelesaikan Al-Fatihah kita itu biarpun terlewat daripada Imam tetapi kadarnya tidak melebihi 3 rukun panjang.

Jika kita selesai membaca Al-Fatihah, kemudian Imam rukuk, janganlah disengajakan melewat-lewatkan rukuk dengan diam atau membaca surah. Sedangkan syarat menjadi makmum itu adalah mengikut imam dan tidak boleh ketinggalan dengan sengaja oleh makmum daripada Imam melebihi 2 rukun perbuatan.

Walaupun sudah mengetahui hal-hal di atas, namun tidak cukup rasanya jika sekadar membaca tanpa diusahakan memahami bacaan Al-Fatihah tersebut. Faham apa yang kita baca itu boleh membantu kita mendapat khusyuk. Sedangkan, khusyuk itu adalah roh atau nyawa kepada solat. Solat tanpa khusyuk umpama solat yang tidak bernyawa atau dalam ertikata lain, solat bangkai.

Tuesday, December 05, 2006

Niat Dalam Solat

Solat, baik fardhu mahupun sunat, niatnya adalah dalam takbiratul ihram. Ini bagi mengesahkan yang solat itu benar-benar menjadi ibadah. Niat adalah termasuk dalam rukun, dan kesempunaan niat adalah bila adanya perkara seperti berikut:
  1. Menentukan ibadah yang dilakukan dengan menyatakan: solat
  2. Menentukan fardhu atau sunat dengan menyatakan: fardhu (jika solat fardhu)
  3. Menentukan waktu solat dengan menyatakan: subuh (atau waktu solat yang sepatutnya)

Perlu diingatkan takbiratul ihram itu ialah menyebut Allahu Akbar. Dan dalam masa kita menyebutnya itu, nyatakan dalam hati 3 perkara tersebut. Bila berlaku sebegitu, barulah kita dikira berniat dan barulah sempurna niat itu. Ada tambahan yang ke-4 iaitu dalam menyatakan menjadi makmum jika kita solat berjemaah. Bagi imam tidak menyatakannya pun tidak mengapa tetapi hilanglah kesempurnaan atau kelebihan berjemaah baginya. Syarat makmum untuk mengikut imam mesti menyatakan niatnya dalam takbiratul ihram. Tetapi tidak untuk imam kerana ada pilihan. Seeloknya dinyatakan dalam takbiratul ihram. Tetapi jika tidak dinyatakan, boleh sahaja dinyatakan bila-bila masa selagi dia masih dalam solat.

Itu sebabnya bila kita hendak berjemaah, boleh sahaja kita mengikut orang yang solat sendirian dengan terus takbiratul ihram dan niat solat mengikut imam. Tidak mengapa jika kita tidak memberi isyarat kepadanya selepas takbiratul ihram itu. Ini kerana bagi imam itu, jika dia tahu yang dia diikuti oleh orang lain, boleh baginya berniat untuk menjadi imam biarpun waktu itu dia dalam rakaat kedua atau ketiga. Sedangkan tadi, dalam takbiratul ihramnya dia sekadar berniat solat sendirian.

Kalau seseorang berniat sebelum takbiratul ihram, itu tidak dikira niat. Itu adalah azam atau cita-cita. Jika tidak berniat atau terlupa niat dalam takbiratul ihram, maka batallah solat itu kerana meninggalkan satu rukun solat. Bila kita menyebut “usalli....lillahitaala” sewaktu kita berdiri dalam hendak mengerjakan solat, itu baru dikira lafaz. Lafaz itu sekadar membantu kita untuk berniat waktu takbiratul ihram.

Kita bercakap tadi dari sudut rukun solat, dalam nak menjaga solat agar sempurna rukun solat kita. Namun, dalam kaedah tasauf, niat kita sebelum, semasa dan selepas solat itu hendaklah sentiasa diniatkan kerana Allah. Tidak boleh solat itu kerana nak tunjuk kepada orang, atau nak bermegah atau ada kepentingan lain selain Tuhan. Kalau niat itu menyimpang daripada kerana Tuhan, sia-sialah ibadah kita. Tuhan tak terima ibadah kita dan kita sudah termasuk dalam golongan yang syirik kepada Tuhan tanpa kita sedar. Ini disebut syirik khafi.