Thursday, December 27, 2007

Persoalan Ziarah Kubur

Timbul persoalan anda tentang ziarah kubur, hukumnya bagaimana?

Saya menjawab, bahawa ziarah kubur itu sunat bagi lelaki. Tiada sunat bagi perempuan dan dihukumkan makruh.

Anda berkata, jika makruh maka tiadalah bagi perempuan itu ziarah kubur.

Saya menjawab, dibolehkan ziarah oleh perempuan itu akan kubur nabi-nabi, sahabat dan wali-wali Allah. Yang itu sebagai mengambil berkat dan mendapat manfaat yang besar.

Anda berkata, bagaimana yang menghukumkan haram?

Saya menjawab, jadi haram bila perempuan itu pergi ke kubur dan meratap serta meraung. Juga jadi haram, dengan perginya perempuan itu boleh membawa fitnah. Bagaimana fitnah itu? Iaitu bila wajahnya yang cantik itu boleh menarik pandangan kaum lelaki. Juga, bilamana perginya dengan berhias, bercantik-cantik serta memakai bau-bauan.

Anda berkata, ada yang mengatakan haram berjalan di kuburan?

Saya menjawab, tidak begitu. Yang sebenarnya jadi haram, bila melepaskan hajat yakni buang air kecil atau besar di atas kuburan. Bahkan jadi haram, dengan sembahyang di atas kubur itu. Sekadar berjalan-jalan memijak atas kuburan tidaklah haram, tetapi makruh yang mendekati haram. Termasuk juga duduk-duduk atas kubur itu makruh.

Anda bertanya, apa yang baik-baik diperbuat oleh mereka yang menziarahi kuburan?

Saya menjawab, banyak yang baik-baik boleh dilakukan. Bila masuk di kawasan kuburan, sunat memberi salam kepada ahli kuburan. Kemudian, di atas kuburan itu, letakkan pelepah tamar atau seumpamanya dan jiruslah air. Kesemua itu memberi manfaat kepada si mati. Tersebut dalam banyak kitab yang bermazhabkan Syafie, sunat membaca apa-apa ayat daripada Al-Quran di kubur dan niatkanlah pahalanya kepada ahli kubur itu. Malah, aku bawakan di sini hadis, yang mana Rasulullah menyebut, “sesiapa masuk ke kubur lalu membaca surah Al-Ikhlas 11x dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati, maka diberi pahala sebanyak bilangan pahala orang yang mati tersebut.” Juga, berdoalah di kubur itu untuk si mati, moga-moga ada manfaatnya kepada si mati.

Anda bertanya lagi, apakah ada hari tertentu yang dikhususkan menziarahi kuburan?

Saya menjawab, tiada hari tertentu yang dikhususkan untuknya. Tinggal lagi sebaik-baik hari itu ialah hari Jumaat. Juga hari-hari pada bulan Ramadhan, hari raya Aidil Fitri dan hari raya Aidil Adha.

Sekian.

Friday, December 14, 2007

Niat dalam Solat

Inilah ringkasan bicara tentang niat dalam solat fardhu:

1. Dilafazkan dahulu niat itu sebelum takbiratul ihram sebagai membantu melakukan niat. Lafaz niat adalah dalam bahasa Arab. Hukum lafaz niat ini adalah sunat.

2. Waktu berniat adalah mengiringi takbiratulihram, dalam tempoh waktu mengucapkan "Allahu Akbar". Tidak boleh sebelumnya, atau sesudahnya. Dinyatakan dalam hati, niat sama sepertimana yang telah dilafazkan sebelumnya tadi. Tinggal lagi, lafaz itu ucapan lidah, dan niat itu ucapan hati. Hukum niat adalah wajib.

3. Perlu dinyatakan dalam niat itu, qasad mengerjakan solat yang biasa disebut sebagai "usolli", kefardhuan solat iaitu fardhu dan waktu solat seperti subuh dan sebagainya mengikut waktu yang telah ditentukan. Jika solat berjemaah, maka dinyatakan menjadi imam atau mengikut imam. Sebaik-baiknya ditambah dalam niat itu bilangan rakaat dan "lillahi taala".

Tuesday, December 04, 2007

Memberi salam mengakhiri solat

Memberi salam itu dengan ucapan "Assalamualaikum" dan sebaik-baiknya ditambah dengan "warahmatullah". Tiada dengan "wabarakatuh". Diucapkan "Assalamualaikum" itu dengan wajah menghadap ke kiblat kemudian mengucapkan "warahmatullah" sambil memalingkan wajah ke sebelah kanan, sekira-kira pipi kanan itu boleh dilihat oleh orang di belakangnya. Niatkan memberi salam itu untuk mukminin, mukminat, muslimin dan muslimat serta para malaikat yang di sebelah kanan. Diucapkan pula "Assalamualaikum warahmatullah" sambil memalingkan wajah ke sebelah kiri, sekira-kira pipi kiri itu boleh dilihat oleh orang di belakangnya. Niatkan memberi salam itu untuk mukminin, mukminat, muslimin dan muslimat serta para malaikat yang di sebelah kiri pula.

Kemudian diambil tangan kanan dan disapukan ia daripada atas kepalanya dan membawa tangan tersebut menyapu keseluruhan muka. Sebaik-baiknya disertakan doa. (Rujuk doa menyapu muka dalam kitab-kitab fekah, contoh: munyatul musolli)

Dalam solat berjemaah, makruh makmum serentak mengiringi Imam dalam memberi salam malah boleh menghilangkan kelebihan berjemaah. Tetapi batal solat jika mendahului imam dalam memberi salam.

Sunnat bagi orang yang masbuk, untuk menyelesaikan baki rakaatnya, bangun selepas imam selesai memberi kedua-dua salam. Bangunnya itu hendaklah disegerakan dan tidaklah boleh dia sengaja duduk dengan kadar yang lama jika duduknya itu bukan dalam tasyahudnya yang sebenar. Bangunnya makmum itu hendaklah diucapkan takbir intiqalat jika dia bangun pada rakaat yang sepatutnya dia bangun daripada tasyahud awal. Jika tidak, tidak perlu baginya takbir intiqalat.

Monday, November 26, 2007

Bertanya anda tentang darah nifas

Bertanya anda tentang darah nifas itu?

Maka saya menjawab yang darah nifas itu darah yang keluar selepas bersalin anak. Yang darah itu mula keluar dalam tempoh 15 hari selepas bersalin. Jika mula keluarnya selepas 15 hari bersalin, tidaklah dikira darah itu darah nifas. Yang keluarnya darah itu mewajibkan seseorang wanita mandi selepas kering keluar darah tersebut. Kebiasaannya ia keluar sehingga 40 hari tetapi jika berterusan keluar, tempoh maksimumnya adalah 60 hari.

Bagaimana pula dengan janin yang keluar sebelum masanya dan belum menjadi manusia sepenuhnya?

Jika darah itu keluar selepas bersalin, tidak kira janin itu sudah terbentuk sepenuhnya atau belum, maka darah itu dikira nifas. Ditunggu sehingga selesai keluarnya, dan mewajibkan mandi.

Bagaimana bersalin kemudian tiada darah yang keluar?

Jika tiada darah keluar, masih mewajibkan mandi yang itu dinamakan mandi wiladah (selepas bersalin).

Bagaimana bersalin, dengan melahirkan melalui pembedahan?

Masih dikira nifas, jika ada darah keluar walau sedikit sebaik selesai bersalin itu. Jika tiada, masih mewajibkan mandi yang dinamakan mandi wiladah.

Apa hukumnya bagi darah yang keluar semasa bersalin atau sebelumnya?

Darah itu bukan dikatakan darah nifas tetapi darah fasid (rosak). Jika keluar sebelum bersalin, maka hendaklah dibersihkan. Kemudian dikekang pengeluarannya dengan kain atau seumpamanya dan dihukumkan seperti istihadah jua. Hendaklah wanita itu tetap bersembahyang jika dia mampu sembahyang. Jika tidak mampu kerana tiada tahan menahan kesakitan dan kesukaran yang amat, maka diqadha sembahyangnya setelah selesai tempoh nifasnya.

Wednesday, November 14, 2007

Makmum berdiri, Imam duduk

Bertanya anda kepada saya, bolehkah makmum solat berdiri mengikuti imam yang solat duduk?

Maka saya menjawab begini:
Sudah saya rujuk dalam beberapa kitab dalam bab solat berjemaah, tidaklah saya berjumpa hal yang mengatakan tidak boleh. Adalah sah solat makmum berdiri mengikut imam duduk yang kerana uzur. Malah boleh juga mengikut imam yang berbaring kerana uzur.

Saya menambah:
Hanya sanya menyalahi keutamaan, jika ada pilihan imam yang lain, yang dia itu boleh berdiri dan berkuasa serta dia itu faqih (berilmu), qari (baik pembacaannya) dan warak.

Ada pengecualian:
Menjadi tidak sah pengikutan tersebut jika imam itu berkuasa berdiri tetapi sengaja duduk tanpa ada alasan uzur yang membenarkan dia duduk.

Tuesday, October 30, 2007

Meninggalkan solat fardhu

Bagi orang yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja yakni tanpa uzur maka baginya:

1. Wajib bertaubat dan berazam untuk mengqadha solat tersebut.

2. Wajib menyegerakan qadha solat fardhu yang tertinggal.

3. Haram mengerjakan solat sunat selagi tidak selesai mengqadha solat fardhunya yang tertinggal.

Bagi orang yang meninggalkan solat fardhu dengan tidak sengaja atas alasan uzur syarie maka baginya:

1. Berazam untuk mengqadha solat tersebut

2. Sunat menyegerakan qadha solat fardhu yang tertinggal

3. Tidak mengapa dia mengerjakan solat sunat biarpun dia belum selesai mengqadha solat fardhunya. Yang terlebih baik dia mengutamakan qadha solat fardhunya yang tertinggal.

Tuesday, October 23, 2007

Memberhentikan puasa di siang hari

Untuk pengetahuan, niat puasa qadha atau nazar itu adalah sama seperti puasa fardhu Ramadhan, kenalah dilakukan pada malam hari sebelum terbit fajar subuh. Berbeza dengan puasa sunat, boleh dilakukan sebelum gelincir matahari (masuk waktu zohor) dengan syarat belum melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa.

Ini panduan kepada mereka yang sudah berniat puasa kemudian memberhentikan puasanya di siang hari:

1. Jika puasa qadha atau puasa nazar, maka haram memberhentikan puasa tanpa uzur. Tidak wajib kepada imsak (menahan diri) pada hari itu.

2. Jika puasa sunat, maka makruh memberhentikan puasa tanpa uzur. Tidak makruh jika uzur seperti sakit atau ada keperluan seperti meraikan tetamu.

Monday, October 08, 2007

Puasa Di Bulan Syawal

Dianjurkan untuk berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal setelah mengerjakan sebulan puasa Ramadhan. Tersebut dalam hadis, orang yang seperti ini mendapat pahala puasa sepanjang tahun. Berikut beberapa tips berpuasa di bulan Syawal:

1. Bagi mereka yang ada tertinggal puasa di bulan Ramadhan tanpa disengajakan atas alasan uzur syarie, maka sunat menyegerakan qadha puasanya. Keutamaan baginya berpuasa qadha daripada berpuasa sunat.

2. Bagi yang sengaja meninggalkan puasa Ramadhannya tanpa ada apa-apa alasan uzur syarie, maka wajib padanya menyegerakan qadha puasa. Tidak boleh baginya puasa sunat melainkan setelah selesai qadha tersebut.

3. Untuk yang mengqadha puasa di bulan Syawal, berniat qadha di malam hari sebelum terbit fajar. Tidak perlu menggabungkan niat puasa sunat dan puasa qadha biarpun ada pendapat yang membolehkannya. Orang yang berpuasa qadha di dalam bulan Syawal, dikira telah menyelesaikan tuntutan berpuasa sunat di bulan Syawal.

4. Kepada yang mampu, maka dibolehkan untuk mereka menyambung puasa sunat di bulan Syawal, setelah disempurnakan hari-hari puasa qadhanya.

5. Digalakkan berpuasa sunat itu bermula pada hari ke-2 bulan Syawal, dengan berturut-turut sehingga hari ke-7 bagi mencukupkan 6 hari. Namun, bagi mereka yang disibukkan dengan menziarahi keluarga, teman dan sanak-saudara, tidak mengapa jika diselang-selikan harinya. Atau dilewatkan mula berpuasanya kerana keutamaan itu pada menyambung silaturrahim dan menggembirakan mereka.

Sekian.

Wednesday, September 26, 2007

Solat Sunat Witir

Bertanya anda tentang solat witir. Maka dijawab: Solat witir itu sunat muakkad , dilakukan 1 atau 3 atau 5 rakaat dan terbanyaknya 11 rakaat. Dibuat 2 rakaat, 2 rakaat dengan 1 salam dan diakhiri dengan 1 rakaat. Yang terpilih dan dikira memenuhi tuntutan witir itu adalah dengan 3 rakaat berserta 2 salam. Dibuat selepas solat fardhu Isyak dan diselesaikan sebelum masuk waktu fardhu Subuh.

Bagaimana jika belum lagi solat Isyak waktu masuk Isyak dan berkehendakkan solat witir?
Maka tiadalah dibolehkan sedemikian, harus sahaja menyelesaikan solat Isyak dahulu.

Bagaimana jika kesempitan waktu dan disempurnakan 1 rakaat sahaja?
Jika dilakukan di akhir malam, menjelang subuh, dan mendapat waktu sekadar 1 rakaat sahaja, maka dilakukan 1 rakaat itu. Itu sudah memadai kerana kesempitan waktu. Namun, dikira menyalahi yang utama jika waktu masih lapang dan sekadar melakukan 1 rakaat.

Bagaimana waktu terbaiknya, adakah sebelum tidur atau selepas daripada tidur?
Jika dikhuatiri tidak dapat bangun di malam hari kerana keletihan, uzur atau seumpamanya, maka dilakukan sebelum tidur selepas solat fardhu Isyak. Sebaiknya adalah tidur dahulu dan dilakukan solat witir ini sebagai penutup segala solat sunat di malam hari. Telah diterangkan hadis, bahawa orang yang tidur dengan niat bangun mengerjakan solat di malam hari, kemudian tidak terbangun tanpa disengajakan, maka dikira sebagai dia tetap mendapat pahala solat malam tersebut.

Bagaimana jika disolatkan juga witir itu sebelum tidur, kemudian direzekikan bangun di malam hari, apakah witir itu memadai?
Bangunnya itu dengan dilakukan solat sunat tahajud seperti biasa. Memadai witir sebelum tidur tadi dan tidak perlu diulang semula. Hadis menerangkan bahawa tiada 2 witir dalam 1 malam.

Bolehkah dilakukan solat witir secara berjemaah?
Dilakukan solat witir itu secara sendiri-sendiri. Dalam bulan Ramadhan sebagai contoh, maka dilakukan solat terawih 8 rakaat berjemaah atau boleh sahaja meneruskan 20 rakaat berjemaah di masjid jika berkeupayaan. Berhenti setakat itu dan tidak digalakkan melakukan witir itu secara berjemaah sepertimana kebiasaan dilakukan di masjid atau surau kita. Solat witir dilakukan pada waktu sahur nanti sehabis solat sunat tahajud atau solat terawih yang berbaki jika belum dicukupkan 20 rakaat.

Apakah bacaan untuk solat witir itu?
Jika dilakukan 3 rakaat, maka bacaan surah selepas Fatihah, pada solat pertama yang 2 rakaat itu, rakaat pertamanya adalah surah Al-A’la (Sabihismarabikkalazi) dan rakaat keduanya adalah Surah Al-Kafirun (Qulya ayyuhal kafirun untuk rakaat kedua). Untuk solat kedua yang 1 rakaat, dibaca selepas Fatihah, bermula dengan Al-Ikhlas (Qulhuwallah), diikuti dengan Al-Falaq (Qulauzubirabbilfalaq) dan An-Nas (Qulauzubirabbinnas).

Apakah dalam witir itu boleh dilakukan qunut sepanjang masa?
Dianjurkan qunut itu adalah pada solat witir yang akhirnya 1 rakaat. Bagi Mazhab Syafie, dilakukan pada separuh akhir bulan Ramadhan. Pandangan mazhab lain pula ada yang membenarkan qunut tersebut dilakukan pada tiap-tiap malam.

Friday, September 14, 2007

Termasuk air sewaktu berpuasa

Sewaktu berpuasa, termasuk air itu bagaimana hukumnya?

1. Seorang yang berkumur-kumur untuk berwudhuk kemudian tertelan air dimaafkan dan puasanya tetap sah, dengan syarat kumur-kumur itu tidak berlebihan. Jika dia berkumur-kumur dengan banyaknya air atau lebih daripada 3 kali maka, walau tertelan air dengan tidak sengaja, dihukumkan batal puasa.

2. Seorang yang ada najis dalam mulutnya seperti darah, kemudian berkumur-kumur, walaupun berlebihan semata-mata hendak menghilangkan najis tersebut, maka jika tertelan air, maka dimaafkan dan puasanya tetap sah.

3. Seorang yang mandi junub, kemudian termasuk air dalam telinganya, maka dimaafkan dan puasanya tetap sah. Tidak dimaafkan jika dia mandi dengan menyelam.

4. Seorang yang mandi sunat atau mandi kebiasaan, maka tidak dimaafkan jika termasuk air ke dalam telinganya. Dikira batal puasanya.

Saturday, August 04, 2007

Puasa Sunat di Bulan Haram

Sabda Nabi s.a.w.:
“Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharam.”
(Muslim)

Keterangan:

Bulan Muharam termasuk dalam bulan Haram yang juga telah disebutkan dalam kitab fekah sebagai bulan-bulan yang menjadi keutamaan untuk kita berpuasa sunat selepas puasa yang difardhukan iaitu puasa Ramadhan. Bulan-bulan haram itu ialah bulan Muharam, Rejab, Zulhijjah dan Zulkaedah. Di dalam riwayat yang lain, Rasulullah menyatakan: Sehari berpuasa di bulan-bulan haram itu terlebih utama daripada 30 hari berpuasa di bulan selainnya.

Jika mahu memilih keutamaan, daripada hari-hari di bulan tersebut, maka pilihlah berpuasa pada setiap hari Isnin dan hari Khamis. Rasulullah menyatakan kesukaannya berpuasa pada hari-hari tersebut kerana ianya adalah hari di mana amalan dinaikkan oleh Malaikat kepada Tuhan. Dilarang oleh Rasulullah berpuasa pada hari Jumaat sahaja atau hari Sabtu sahaja kecuali dikampilkan dengan hari yang sebelumnya atau sesudahnya. Contoh, hari Khamis dan Jumaat. Atau hari Jumaat dan Sabtu.

Juga, jika kita mahu memilih keutamaan, maka berpuasalah pada 10 hari yang pertama daripada bulan-bulan tersebut. Namun, dikecualikan berpuasa pada hari ke-10 bulan Zulhijjah kerana bertepatan dengan Aidil Adha. Hari Aidil Adha adalah hari yang diharamkan kita berpuasa. Termasuk yang diharamkan ialah hari tasyrik iaitu 11, 12 & 13 Zulhijjah. Pada bulan-bulan lain daripada bulan haram, ada juga hari yang diharamkan berpuasa seperti hari Aidil Fitri iaitu 10 Syawal dan hari syak iaitu 30 Syaaban. Pendapat ulamak yang boleh dipegang tidak membenarkan juga puasa pada selepas separuh akhir bulan Syaaban bermula 16 Syaaban hingga ke akhirnya. Hanya sanya, dikecualikan kepada orang-orang yang sudah bermula puasa di bulan Syaaban itu sejak hari pertama Syaaban.

Ada pengkhususan hari pada bulan-bulan haram ini yang menjadi keutamaan berpuasa sepertimana disebutkan oleh Rasulullah. Dalam hadis, dikatakan berpuasa pada hari Asyura iaitu 10 Muharam itu menghapuskan dosa setahun yang lalu. Berpuasa pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah menghapuskan dosa 2 tahun iaitu tahun lalu dan tahun yang akan datang.

Walaupun bulan Syawal tidak termasuk dalam bulan haram, tetapi keutamaan tetap ada bagi orang yang berpuasa di bulan Syawal. Dikatakan oleh Rasulullah orang yang berpuasa fardhu di bulan Ramadhan, kemudian diiringi dengan 6 hari puasa sunat di bulan Syawal, maka orang tersebut mendapat pahala puasa setahun penuh.

Saturday, July 21, 2007

Membersihkan Najis

Rasulullah s.a.w bersabda:
Dan tuangkan di atas air kencingnya sebaldi air.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Syarah:
Ini adalah dalil membersihkan najis mutawasitah atau najis pertengahan. Disyaratkan menggunakan air. Biarpun najis itu sudah kering, dan kita tahu tempat itu ada najis padanya, maka tetap digunakan air. Dan angin yang mengeringkan najis itu belum cukup menjadikan tempat itu suci. Dihukumkan tidak najis sehinggalah kita ketahui adanya najis pada tempat itu.

Lebih tepat lagi, menghilangkan najis itu dengan menghilang ain (zat) najis itu. Lain halnya jika sudah kering atau tidak terdapat ainnya. Kalau kencing, maka dikeringkan dengan angin atau digunakan kain kering. Selepas hilangnya ain, diambil air dan dijirus pada tempat najis tersebut, dan diambil kain lain untuk dikeringkan tempat itu. Buat beberapa kali, atau cukup 3 kali sehingga hilang warna, bau dan rasanya. Memadai sekali jika diyakini sudah suci. Jikapun tidak hilang warna, bau dan rasa tetapi sudah diusahakan sedaya upaya, dianggap sudah melakukan sebaiknya dalam hal ini.

Dikatakan oleh Rasulullah dengan sebaldi air, dan air itu hendaklah air mutlak. Sepertimana disebutkan sebelum ini, jika tidak memadai sebaldi air, maka diambil sebaldi air lagi, dan ukuran sebaldi itu adalah sebaldi kecil mengikut ukuran kebiasaan. Dikatakan air mutlak itu bermakna bukan air mustakmal iaitu air yang telah digunakan untuk tujuan bersuci yang fardhu. Atau air yang sudah berubah warna, bau dan rasanya biarpun diambil daripada takungan yang melebihi sukatan 2 kolah.

Ditunjukkan cara di atas bilamana najis tersebut terkena lantai. Jika terkena baju, maka cukup bahagian baju yang terkena najis dilalukan air mutlak dan diperah. Baju tersebut sudah dikira suci dan boleh dibawa dalam sembahyang.

Dikecualikan daripada kaedah di atas, kencing kanak-kanak lelaki yang berumur 2 tahun ke bawah yang tidak makan atau minum selain susu ibunya. Maka kencingnya itu termasuk dalam kategori najis mukhafafah atau najis ringan. Cara menghilang najis sebegini cukup dengan merenjis-renjiskan air mutlak kepada kesan kencingnya.

Dihukumkan sama cara menghilangkan najis itu pada pada lain-lain najis, seperti tahi dan bangkai. Adapun jika ianya kering dan boleh dihilangkan tanpa meninggalkan kesan, cukup dengan menyingkirkan najis itu.

Saturday, June 23, 2007

Bersugi

Rasulullah s.a.w bersabda:
Jikalau tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka untuk bersugi pada setiap kali hendak bersembahyang.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Syarah:
Ini adalah hadis, yang memberitahu kita betapa Rasulullah memberatkan kita untuk mengosok gigi atau bersugi pada tiap kali hendak mengerjakan sembahyang fardhu. Dan dihukumkan ia sunat muakkad. Pendapat lain mengatakan meliputi solat-solat sunat yang juga. Ada benarnya pendapat ini kerana dikuatkan oleh satu hadis yang lain, di mana Rasulullah menyebut: “2 rakaat sembahyang dengan gosok gigi lebih baik daripada 70 rakaat sembahyang tanpa gosok gigi”.

Bagaimana kaedahnya bersugi ini?
Ia dilakukan sebelum berwudhuk iaitu sebelum membaca bismillah sewaktu membasuh tangan. Sepertimana ada pada waktu ketikanya Rasulullah menuntut dilakukan sugi itu pada setiap kali hendak berwudhuk. Berbeza pendapat setengah yang lain, bahawa bersugi itu sewaktu berkumur-kumur selepas membasuh tangan. Dilakukan ia dengan menggunakan kayu sugi. Memadai juga dengan menggunakan berus gigi dan ubat gigi, sepertimana yang diamalkan oleh kebanyakan kita hari ini. Apa kata tidak terdapat berus gigi mahupun kayu sugi? Tidaklah ditinggalkan bersugi itu malah dicarinya kain sebagai ganti. Jika tidak ada kain sekalipun, maka jari-jari kita sebagai ganti. Dan jika ditinggalkan bersugi itu, maka satu kerugian buat kita.

Bersugi itu pada umumnya memberi faedah membersihkan kotoran pada gigi dan menyegarkan bau mulut. Jika ada sisa terlekat pada gigi dan tidak memadai menghilangkannya dengan berus gigi, maka dicungkil sisa-sisa tersebut dengan alat pencungkil. Tidaklah meninggalkan sisa itu sehingga dibawa di dalam sembahyang, dibimbangi tertelan sisa yang memungkinkan batal sembahyang.

Makruh bersugi sewaktu sedang berpuasa, fardhu atau sunat, bilamana dilakukan selepas gelincir matahari atau lebih tepat lagi tatkala masuknya waktu zohor. Namun, saya lebih suka agar orang yang berubah bau mulutnya selepas bangun tidur untuk bersugi, biarpun waktu sudah mendekati maghrib. Bagi orang yang berpuasa, ambillah kaedah ihtiyat (berhati-hati) dalam bersugi agar tidak batal puasa sewaktu berkumur-kumur. Jelasnya, tertelan air sewaktu berkumur-kumur membatalkan puasa seseorang jika dilakukannya secara berlebih-lebihan. Biarpun dianggap hal itu berlaku secara tidak sengaja.

Thursday, May 17, 2007

Solat Di Awal Waktu

Ditanya oleh sahabat kepada Rasulullah, “apakah amalan yang paling utama?”
Dijawab oleh Rasulullah, “solat di awal waktu.” Dikatakan waktu solat itu terbahagi kepada 3: Iaitu awal, pertengahan dan akhir. Dan seutama solat yang dianjurkan oleh Rasulullah ialah solat di awal waktu.

Yang utama pada awal waktu pula adalah solat sekira-kira bila masuk waktunya dan diperuntukkan waktu untuk azan, solat sunat 2 rakaat dan iqamat. Dipandang baik seseorang terhadap solatnya apabila masuk waktu solat, dia sudah pun berada di atas tikar sembahyang. Kemudian daripadanya ialah orang yang bila masuk masuk waktu solat, dia sedang berwudhuk dan bersiap-siap untuk berada di tikar sembahyang. Kemudian daripada orang-orang tersebut ialah orang yang bila masuk waktu, dia pun tersedar lalu bersiap untuk wudhuk dan mengerjakan solat. Tersebut dalam hadis, orang yang sempat bertakbiratul ihram bersama imam pada rakaat pertama setiap kali solat, selama 40 hari berturut-turut, dia itu terhindar daripada penyakit nifaq. InsyaAllah, istiqamahnya itu akan melepaskan dia daripada api neraka.

Orang yang bila masuk waktu solat dan ada urusan yang tidak dapat tidak dielakkan dan dia mahu melewatkan solatnya, maka hendaklah dia memasang niat untuk mengerjakan solat tersebut. Dibimbangi dia meninggal atau uzur sebelum sempat mengerjakan solat sedang tidak ada dalam hatinya niat untuk melakukan solat.

Ada beberapa keadaan yang dibenarkan untuk seseorang itu melewatkan solatnya seperti berikut:

1. Solat Zohor, dikala waktu panas terik yang bersangatan. Sehinggakan panas terik itu menghalang orang untuk datang ke masjid mendirikan solat jemaah. Ditunggu hingga panas itu berkurangan lalu didirikan solat tersebut.

2. Solat Isyak, jika ada majlis ilmu atau majlis zikir maka dilewatkannya. Ataupun berkira-kira untuk tidur sebentar dan bangun semula mengerjakan solat Isyak berserta tahajjud. Namun sebahagian besar ulamak memilih keutamaan solat Isyak di awal waktu.

3. Apabila makanan sudah terhidang dan pada masa yang sama solat hendak didirikan, maka Rasulullah menganjurkan yang makanan itu diselesaikan dahulu. Kemudian baru bersolat.

4. Bila bertemu keadaan kehendak membuang air kecil dan air besar sebelum takbiratul ihram, maka didahulukan perkara mendatang itu sehingga selesai dan berwudhuk kembali. Jika sudah takbiratulihram, haramlah dia memutuskan solatnya kecuali kehendak itu jika tidak diselesaikan boleh mendatang mudharat, maka di waktu itu, bolehlah dia memberhentikan solatnya.

5. Seseorang dalam keadaan mengantuk yang bersangatan dilarang oleh Rasulullah untuk mendirikan solat. Dia boleh tidur sekejap sekira-kira hilang mengantuknya dan kemudian dirikan solat. Dibimbangi jika dia bersembahyang dalam keadaan mengantuk, dia tidak tahu apa yang dia ucapkan di dalam sembahyangnya.

6. Seseorang yang berada di dalam masjid yang masjid itu punya imam yang dilantik hendaklah menunggu imam itu datang mengimami solat. Kerana hak imam itu adalah pada imam yang dilantik. Menunggu itu adalah mengikut perkiraan bahawa imam itu akan datang dan tidaklah terlalu lama hingga luput awal waktu solat. Tidaklah boleh seorang imam itu menunggu jemaah yang ramai sehingga luput awal waktu solat kerana ada pendapat terpilih ialah berjemaah solat dengan beberapa orang di awal waktu lebih utama daripada banyak orang di akhir waktu.

7. Orang yang wajib baginya solat Jumaat dan tiada keuzuran pergi ke masjid, jika dia tidak menghadirinya, maka hendaklah dilewatkan solat zohornya. Ditunggu sehingga selesai solat Jumaat di kariahnya, barulah dia mendirikan solat Zohor.

8. Boleh melewatkan waktu solat sehingga masuk waktu solat yang satu lagi dan ini disebut jamak taakhir. Ia adalah keringanan atau rukhsah kepada orang musafir. Namun bagi orang yang hendak jamak taakhir, dia hendaklah meniatkan untuk mentaakhirkan solat pertamanya dalam waktu solat kedua pada waktu solat pertama. Contoh, bila masuk waktu zohor, maka meniatkan untuk solat zohor dalam waktu asar. Dibolehkan baginya untuk berniat tersebut selagi waktu zohor tetap ada.

Demikianlah serba sedikit tentang kupasan permasalahan solat di awal waktu, moga-moga ada manfaatnya untuk kita bersama.

Friday, April 20, 2007

Menghadap Kiblat

Dikatakan kiblat orang sembahyang itu ada tiga:

Pertama, matanya perlu melihat kepada tempat sujud. Dikekalkan seperti itu daripada mula takbiratulihram sehinggalah selesai bacaan tahiyat akhir. Termasuk juga sewaktu rukuk dan sujud. Adalah makruh sewaktu sedang sembahyang, menutup mata atau mata berpaling daripada tempat sujud. Dianjurkan tempat sujud atau sejadah itu bebas daripada hiasan gambar atau lukisan yang boleh memesongkan khusyuk di dalam sembahyang. Sebaiknya sejadah itu adalah kain kosong berwarna putih.

Kedua, anggota tubuh mestilah menghadap Baitullah. Tidak boleh tidak, kenalah sembahyang dengan seluruh anggota tubuh menghadap kiblat ini. Tidak sah bagi sembahyang fardhu seseorang yang tidak berbuat demikian dan wajib baginya qadha. Dikhususkan bagi anggota tubuh itu ialah bahagian dadanya. Jika dia sakit dan terpaksa sembahyang secara duduk atau berbaring maka yang penting bahagian dadanya dihadapkan kepada kiblat Baitullah ini. Ada rukhsah atau keringanan untuk tidak menghadap kiblat, bagi orang yang sembahyang sedang dia dalam ketakutan kerana sedang bertempur dalam peperangan. Dinamakan juga solat ini sebagai solat khauf. Solatnya adalah sah dan tidak perlu kepada pengulangan sewaktu aman. Keringanan diberikan juga kepada orang yang dalam musafir dan ingin melakukan solat sunat sedangkan kenderaannya sedang berjalan. Dia boleh sembahyang dengan menghadap ke arah mana kenderaannya berjalan.

Ketiga, hati menghadap Allah dengan penuh khusyuk. Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah, orang yang menyembah Allah itu dia menyembah seolah-olah dia melihat Tuhan, dan jikapun tidak dapat sedemikian, maka dirasakannya yang dia itu sedang diperhatikan oleh Tuhan.

Thursday, March 29, 2007

Lima Perkara Fitrah

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Lima perkara daripada fitrah: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menggunting misai.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Syarah:
Adalah menjadi tuntutan atas diri sendiri menyelesaikan hal-hal yang berkaitan diri sendiri dan antaranya ialah seperti yang dimaklumi oleh hadis di atas.

Berkhatan itu hukumnya wajib atau sunat?
Telah jelas dimuktamadkan yang hukum berkhatan bagi laki-laki itu adalah wajib. Dilakukan sebelum balighnya. Bagi wanita, maka berbeza pendapat ulamak Mazhab Syafie. Ada menghukumkan wajib dan ada menghukumkan sunat. Kalau kita mengambil yang ia wajib - itulah yang seharusnya dilakukan sebagai ihtiyat (berhati-hati) dan keluar daripada khilaf - maka hendaklah dilakukan sebelum baligh juga. Jika anak lelaki itu, selepas balighnya meninggal sebelum sempat dia dikhatankan, maka tidaklah perlu dikhataninya. Apa yang perlu dilakukan dalam mandinya itu ialah wajib bersihkan kotoran yang ada di dalam kulup mayat. Jika tidak dapat membersihkan atau terhalang daripada membersihkan, maka mandinya tidak sempurna. Tidak perlu disembahyangi dia. Ada pendapat boleh boleh disembahyangkan selepas ditayamumkan. Bagi anak-anak lelaki yang belum berkhatan, dihukumi membawa najis di sebalik kulit kulupnya dan tidaklah dia dibawa dalam sembahyang jemaah sebaris safnya dengan jemaah lelaki lain. Kerana itu boleh membawa kepada putus saf dan menghilangkan pahala berjemaah. Lebih berat lagi jika anak yang tidak berkhatan ini dipangku atau didokong dalam sembahyang, nescaya batallah sembahyang kita.

Friday, March 23, 2007

Mandi dan Persoalannya

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Adalah menjadi hak Allah atas setiap orang Islam, untuk mandi 1 hari dalam masa 7 hari dengan membasuh kepala serta tubuh badannya.
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Syarah:
Ini adalah tuntutan Allah ke atas setiap orang Islam untuk mandi dan membersihkan badan. Walaupun dianjurkan kepada kita untuk mandi setiap hari, namun, jikalaupun itu tidak berlaku, maka hendaklah kita mencari 1 hari dalam seminggu untuk mandi. Dan mandi itu hendaklah dengan membasuh kepala serta tubuh. Hadis ini sebenarnya lebih merujuk kepada mandi sunat hari Jumaat dan telah ditetapkan oleh ulamak fekah ianya sebagai tuntutan sunat muakkad. Ada lagi lain-lain mandi yang termasuk dalam sunat muakkad seperti mandi sunat 2 hari raya dan mandi selepas memandikan mayat.

Telah bersabda Rasulullah dalam waktu yang lain, bemaksud: “Apabila seseorang dari kamu ingin menghadiri solat Jumaat maka hendaklah mandi.” Mandi sunat hari Jumaat ini hendaklah dilakukan keadaannya sama seperti mandi wajib. Maksudnya meratakan tubuh dengan air secara menyeluruh dengan membasuh juga kepala. Biarpun tidaklah diniatkan mandi wajib dan tidaklah disunatkan untuk berwudhuk sebelumnya. Namun hendaklah diniatkan sunat mandi pada permulaan air itu sampai kepada tubuh. Dan waktu mandi itu adalah selepas terbit fajar. Yang lebih utama ialah pada waktu yang menghampiri solat Jumaat. Jika sudah mandi sebelum terbit fajar atau sebelum subuh, adalah tidak memadai. Maka dilakukan sekali lagi selepasnya atau sekira-kira masa yang lapang sebelum ke masjid untuk Jumaat.

Adakah sunat mandi Jumaat itu hanya untuk orang yang diwajibkan menghadiri solat Jumaat?
Tidak. Tuntutan sunat mandi Jumaat itu sebenarnya meliputi kepada semua orang termasuk yang tidak wajib menghadiri Jumaat seperti orang musafir dan wanita.

Bagaimana pula bila bertemu dua keadaan, mandi wajib dan mandi sunat?
Saya lebih suka mengatakan bahawa cukup dengan satu kali mandi iaitu mandi wajib dan itu sudah memenuhi tuntutan mandi sunat walaupun tidak sepenuhnya. Dan niat itu adalah niat mandi wajib, bukan mandi sunat. Walaupun ada pendapat yang membolehkan digabungkan kedua-dua niat mandi itu. Saya juga lebih suka dipilih salah satu mandi itu jika bertemu dua keadaan mandi sunat hari raya dan mandi sunat Jumaat. Adalah lebih baik jika ianya terpisah kerana mandi Jumaat boleh dilakukan sekira-kira masa sebelum masuk Jumaat. Sedangkan mandi wajib tadi hendaklah disegerakan mandinya kerana tuntutan solat subuh. Tidaklah ia tertakluk kepada masa dan boleh bila-bila masa dilakukan asalkan tidak menghalang keperluan sembahyang. Dan mandi sunat hari raya juga sama kedudukannya yang perlukan penyegeraan kerana tuntutan solat sunat hari raya itu seawal pagi hari. Juga, ia boleh dilakukan sejak selepas tengah malam.

Saturday, January 13, 2007

Masalah Wudhuk dan Mandi wajib

Sunat kepada wudhuk sebelum memulakan mandi wajib. Diniatkan sunat wudhuk jika tiada menanggung hadas kecil, sebaliknya diniatkan menghilangkan hadas kecil jika ada hadas berlaku. Selepas mandi, tidak perlu kepada wudhuk lagi kerana sebelum mandi kita sudahpun berwuduk. Namun, dalam proses mandi wajib itu tidak boleh berlaku sesuatu yang membatalkan wudhuk.

Timbul persoalan bagaimana keadaan jika tidak berwudhuk sebelum atau sesudahnya, maka menurut Imam Syafie dalam kitabnya Al-Umm, memadailah dengan mandi wajib tadi untuk membolehkan solat. Sebab mandi wajib itu sudah dikira terangkum wudhuk di dalamnya dengan syarat tidaklah ada perkara yang membatalkan wudhuk dilakukan semasa mandi wajib itu. Jika berlaku, teruskan mandi tetapi kenalah berwudhuk untuk melakukan solat.

Monday, January 01, 2007

Zikrullah Dalam Keadaan Suci

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Aku tidak suka menyebut nama Allah melainkan dalam keadaan suci.”
(HR Ahmad)

Asal hadis ini ialah bila seorang sahabat memberi salam kepada Rasulullah sewaktu beliau sedang qadha hajat (buang air). Beliau menangguhkan menjawab salam tersebut sehinggalah beliau selesai beristinjak dan bersuci. Beliau tidak menjawab salam tersebut kerana beliau tidak suka menyebut nama Allah dalam keadaan yang tidak suci. Di sini, Rasulullah memberi ilmu kepada sahabat tersebut termasuk untuk kita juga tentang anjuran menyebut nama Allah dalam keadaan suci daripada hadas.

Daripada hadis ini, keluar beberapa cabang ilmu untuk pemanfaatan kita bersama:

Tidak dianjurkan memberi salam kepada orang yang sedang qadha hajat. Jikapun ada yang memberi salam, maka boleh menangguhkan menjawab salam sehingga selesai beristinjak dan bersuci.

Sunat berwudhuk bila membaca Al-Quran, dengan mushaf atau tanpa mushaf. Dikatakan sunat kerana tidak wajib pada wudhuk dalam membaca Al-Quran. Hanyasanya wudhuk itu menjadi wajib bila perlu membawa atau menyentuh mushaf.

Sunat berwudhuk bila azan dan iqamah. Apabila terbatal wudhuk di tengah azan atau iqamat, maka tidaklah sepatutnya berhenti tetapi diteruskan sehingga selesai, kemudian mengulangi wudhuk. Bagi yang ingin memulai azan dan padanya tiada wudhuk, maka keutamaan diberikan kepada yang ada wudhuk.

Sunat mengekalkan wudhuk apabila selesai solat kerana memenuhi tuntutan zikir dan doa sebaik selesai mengerjakan solat.

Sunat berwudhuk apabila menyertai majlis doa dan tahlil.

Sunat juga berwudhuk apabila mengajar atau belajar ilmu agama yang di dalamnya sudah tentu ada zikir, doa dan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan.

Bagi orang yang haid, tidak sah berwudhuk kerana haidnya tetapi boleh mengamalkan apa sahaja zikir untuk mengingati Allah. Sekalipun dia membaca apa-apa ayat daripada Al-Quran, dengan diniatkan sebagai zikir.

Sebarang keperluan yang ada kaitan dengan zikrullah maka sunat dikerjakan dalam keadaan suci.