Monday, December 25, 2006

Hukum Minuman Yang Dimasuki Semut

Soalan:
Bangkai semut yang masuk dalam minuman, apa hukumnya meminum air tersebut?

Jawapan:
Semut adalah binatang yang tidak mengalir darahnya. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun, masuk semut pada minuman itu, hukumnya ada 2 keadaan:

1) Semut masuk dalam keadaan sudah mati
Semut itu sudah menjadi bangkai tetapi jika masuk atas ikhtiar manusia, seperti memasukkan gula yang ada bangkai semut, maka air itu najis, tidak boleh diminum. Kalau masuk bukan ikhtiar manusia, contoh seperti ditiup angin selagi tidak mengubah sifat air, maka boleh diminum dengan syarat membuang dulu bangkai semut itu.

2) Semut masuk dalam keadaan hidup
Jika semut itu mati sendiri di dalam air, atas sebab ikhtiar manusia, maka air itu najis dan tidak boleh diminum. Ini boleh berlaku kerana air itu ditapis atau memasukkan gula yang ada semut, atau memasukkan air yang di dalam cawan mengandungi semut. Jika bukan dengan ikhtiar manusia, seperti ia masuk dengan sendirinya atau ditiup angin, maka tidak najis dan boleh diminum dengan syarat bangkai semut itu dibuang dahulu.

Wednesday, December 13, 2006

Bacaan Al-Fatihah

Membaca Al-Fatihah itu adalah satu rukun dalam solat. Meninggalkannya bermaksud meninggalkan rukun dan batallah solat. Inilah mengikut mazhab Syafie. Namun, ada mazhab lain berpandangan bila kita bersolat pada waktu yang dibenarkan menjahar suara (nyaring), iaitu subuh, maghrib dan isyak; 2 rakaat pertama itu tidak perlu membaca Al-Fatihah. Cukup sahaja kita mendengar bacaan Fatihah daripada Imam dan fatihah kita ditanggung imam. Sedangkan bagi Mazhab Syafie, 2 rakaat pertama itu perlu kita dengar dahulu bacaan Fatihah Imam tetapi selesai Imam habis membacanya, mestilah kita selesaikan bacaan fatihah kita pula.

Dalam Al-Fatihah, Bismillah..(hingga selesai) itu adalah termasuk daripada Al-Fatihah dan wajiblah membacanya. Meninggalkannya bererti cacatlah Al-Fatihah kita dan ternafilah rukun membaca Al-Fatihah tersebut. Dalam solat berjemaah, tidak boleh kita mengikut imam yang padanya tidak wajib membaca Bismillah, seperti yang kita sedia maklum ada mazhab selain Syafie yang tidak memberatkan bacaan Bismillah dalam Al-Fatihah.

Al-Fatihah ini termasuk Bismillah mengandungi 7 ayat maka sebaik-baiknya dibaca dalam 7 waqaf yakni 7 kali berhenti. Ini yang dianjurkan oleh Rasulullah dan pada tiap-tiap berhenti itu kita mengambil nafas baru. Bacaan untuk setiap ayat, hendaklah dilakukan secara muwalat atau berturut-turut, dan tidak bolehlah kita berhenti terlalu lama pada tempat waqaf itu. Juga, hendaklah kita betul-betul menjaga makhraj sebutan serta tajwidnya agar bacaan Fatihah kita sempurna. Jika kita solat sendirian atau menjadi makmum, bacalah ia dengan kadar suara yang kita boleh dengar sendiri, namun tidaklah terlalu kuat hingga menganggu ahli jemaah lain.

Perhatikan di waktu solat berjemaah, apabila kita masuk saf dan bertakbiratul ihram sebaik sahaja imam bertakbiratul ihram, maka kita mempunyai masa yang cukup untuk membaca Al-Fatihah. Jika imam kemudian rukuk dan kita belum selesai membaca Al-Fatihah, hendaklah kita selesaikan fatihah kita itu. Tempoh untuk kita menyelesaikannya adalah 3 rukun yang panjang (rukun perbuatan), iaitu rukuk, sujud pertama dan sujud kedua. Jika kita masih tidak sempat menyelesaikan Fatihah dalam tempoh tersebut; gugurlah rakaat kita itu bersama imam dan tidak dikira sebagai satu rakaat. Begitulah pada rakaat seterusnya

Jika kita masuk saf dan bertakbiratul ihram dalam keadaan jemaah sedang berlangsung, yakni imam sudah lama bertakbiratul ihram; maka kita dikira masbuq. Oleh itu, teruslah membaca al-fatihah sebaik sahaja bertakbiratul ihram. Tidak perlu dilengahkan dengan membaca doa iftitah lagi. Bacalah Al-Fatihah itu dan berhentilah serta-merta sebaik imam rukuk, biarpun tidak sempat kita menghabiskan Fatihah kita. Di waktu itu, kita kena turut rukuk dan fatihah kita ditanggung imam. Samalah juga jika sebaik bertakbiratul ihram, tiba-tiba kita dapati imam terus rukuk, maka tinggalkan al-fatihah itu, teruslah rukuk mengikut imam. Kita dikira mendapat rakaat jika kita dapat rukuk bersama-sama Imam sekira-kira tukmaninah (sekadar masa bacaan subhanaAllah). Pada rakaat seterusnya, hendaklah kita menyelesaikan Al-Fatihah kita itu biarpun terlewat daripada Imam tetapi kadarnya tidak melebihi 3 rukun panjang.

Jika kita selesai membaca Al-Fatihah, kemudian Imam rukuk, janganlah disengajakan melewat-lewatkan rukuk dengan diam atau membaca surah. Sedangkan syarat menjadi makmum itu adalah mengikut imam dan tidak boleh ketinggalan dengan sengaja oleh makmum daripada Imam melebihi 2 rukun perbuatan.

Walaupun sudah mengetahui hal-hal di atas, namun tidak cukup rasanya jika sekadar membaca tanpa diusahakan memahami bacaan Al-Fatihah tersebut. Faham apa yang kita baca itu boleh membantu kita mendapat khusyuk. Sedangkan, khusyuk itu adalah roh atau nyawa kepada solat. Solat tanpa khusyuk umpama solat yang tidak bernyawa atau dalam ertikata lain, solat bangkai.

Tuesday, December 05, 2006

Niat Dalam Solat

Solat, baik fardhu mahupun sunat, niatnya adalah dalam takbiratul ihram. Ini bagi mengesahkan yang solat itu benar-benar menjadi ibadah. Niat adalah termasuk dalam rukun, dan kesempunaan niat adalah bila adanya perkara seperti berikut:
  1. Menentukan ibadah yang dilakukan dengan menyatakan: solat
  2. Menentukan fardhu atau sunat dengan menyatakan: fardhu (jika solat fardhu)
  3. Menentukan waktu solat dengan menyatakan: subuh (atau waktu solat yang sepatutnya)

Perlu diingatkan takbiratul ihram itu ialah menyebut Allahu Akbar. Dan dalam masa kita menyebutnya itu, nyatakan dalam hati 3 perkara tersebut. Bila berlaku sebegitu, barulah kita dikira berniat dan barulah sempurna niat itu. Ada tambahan yang ke-4 iaitu dalam menyatakan menjadi makmum jika kita solat berjemaah. Bagi imam tidak menyatakannya pun tidak mengapa tetapi hilanglah kesempurnaan atau kelebihan berjemaah baginya. Syarat makmum untuk mengikut imam mesti menyatakan niatnya dalam takbiratul ihram. Tetapi tidak untuk imam kerana ada pilihan. Seeloknya dinyatakan dalam takbiratul ihram. Tetapi jika tidak dinyatakan, boleh sahaja dinyatakan bila-bila masa selagi dia masih dalam solat.

Itu sebabnya bila kita hendak berjemaah, boleh sahaja kita mengikut orang yang solat sendirian dengan terus takbiratul ihram dan niat solat mengikut imam. Tidak mengapa jika kita tidak memberi isyarat kepadanya selepas takbiratul ihram itu. Ini kerana bagi imam itu, jika dia tahu yang dia diikuti oleh orang lain, boleh baginya berniat untuk menjadi imam biarpun waktu itu dia dalam rakaat kedua atau ketiga. Sedangkan tadi, dalam takbiratul ihramnya dia sekadar berniat solat sendirian.

Kalau seseorang berniat sebelum takbiratul ihram, itu tidak dikira niat. Itu adalah azam atau cita-cita. Jika tidak berniat atau terlupa niat dalam takbiratul ihram, maka batallah solat itu kerana meninggalkan satu rukun solat. Bila kita menyebut “usalli....lillahitaala” sewaktu kita berdiri dalam hendak mengerjakan solat, itu baru dikira lafaz. Lafaz itu sekadar membantu kita untuk berniat waktu takbiratul ihram.

Kita bercakap tadi dari sudut rukun solat, dalam nak menjaga solat agar sempurna rukun solat kita. Namun, dalam kaedah tasauf, niat kita sebelum, semasa dan selepas solat itu hendaklah sentiasa diniatkan kerana Allah. Tidak boleh solat itu kerana nak tunjuk kepada orang, atau nak bermegah atau ada kepentingan lain selain Tuhan. Kalau niat itu menyimpang daripada kerana Tuhan, sia-sialah ibadah kita. Tuhan tak terima ibadah kita dan kita sudah termasuk dalam golongan yang syirik kepada Tuhan tanpa kita sedar. Ini disebut syirik khafi.

Thursday, November 30, 2006

Solat Sunat Rawatib

Solat sunat rawatib dianjurkan kepada kita melakukannya sebagai memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah. Malah solat sunat seumpamanya adalah berguna untuk menampung kekurangan yang ada dalam solat fardhu. Ada pada 5 tempat atau 10 rakaat solat sunat rawatib yang termasuk dalam solat sunat muakkad yakni sangat dituntut untuk dilakukan. Ia adalah solat sunat 2 rakaat subuh (sebelum subuh), 2 rakaat sebelum zohor, 2 rakaat selepas zohor, 2 rakaat selepas maghrib dan 2 rakaat selepas isyak.

Solat sunat Subuh atau dinamakan juga solat sunat fajar adalah solat sunat rawatib yang paling utama berbanding solat sunat rawatib yang lainnya. Adapun Rasulullah ada menyatakan keutamaan bersembahyang solat sunat subuh ini sepertimana dalam maksud hadisnya:

“2 rakaat solat sunat subuh itu lebih berharga daripada dunia dan seisinya.”

“Solat sunat subuh 2 rakaat itu mendapat pahala yang besar.”

Solat sunat ini dilakukan dalam waktu subuh sebelum solat fardhu subuh dengan diniatkan solat sunat subuh atau solat sunat sebelum subuh. Yang dianjurkan Nabi s.a.w. rakaat pertama selepas fatihah membaca Al-Kafirun dan rakaat kedua selepas fatihah, membaca Al-Ikhlas.

Namun boleh juga selepas fatihah, membaca selain daripada kedua-dua surah itu. Seperti yang dimaklumi oleh Imam Ghazali dalam kitabnya agar membaca surah Al-Insyirah dan Al-Fiil. Sesetengah ulamak membolehkan membaca kesemua surah tersebut dalam satu sembahyang sunat. Namun, boleh juga diselang-selikan. Sebagai contoh, satu hari dengan Al-Kafirun dan Al-Ikhlas, dan hari lain dengan Al-Insyirah dan Al-Fiil.

Solat sunat rawatib ini boleh sahaja dilakukan samada berdiri atau duduk. Kerana ada kelonggaran bagi solat selain solat fardhu untuk mendirikannya secara duduk. Namun tidaklah sama pahalanya dengan orang yang solat secara berdiri. Rasulullah menjelaskan, “pahala bagi orang yang solat duduk itu separuh daripada orang yang solat berdiri”.

Adalah makruh mendirikan solat sunat rawatib ini jika muazzin (bilal) sudah qamat atau bersedia untuk qamat. Haram mendirikannya, jika kita sudah kesempitan waktu untuk melakukan solat fardhu sekira-kira tidak mendapat satu rakaat dalam waktu. Dan menyalahi yang utama (khilaful aula) mendirikan solat sunat rawatib bagi orang yang ada tanggungan hutang solat fardhu. Lebih utama bagi orang tersebut mengqadha solatnya.

Friday, November 24, 2006

Penghalang Wajib Sembahyang

Berikut adalah penghalang wajibnya sembahyang atas mereka:

Anak kecil belum baligh
Kafir Asli
Gila
Pengsan
Mabuk
Haid
Nifas

1) Kalau salah satu penghalang itu terangkat atau hilang, sedang waktu sembahyang masih ada, sekadar cukup masa untuk mengangkat takbir, maka jatuh hukum wajib atasnya untuk sembahyang dalam waktu itu. Memandangkan waktu sangat sempit, maka wajib qadha.

2) Hukum asal untuk sembahyang dalam waktu ialah siapa yang mendapat satu rakaat sembahyangnya dalam waktu, maka sembahyang di anggap sembahyang tunai. Jika tidak mendapat satu rakaat di dalam waktu, sembahyangnya dikira sebagai qadha.

3) Kalau penghalang tadi tidak terangkat atau tidak hilang sekadar waktu cukup takbir, maka tidak wajib qadha.

4) Ketetapan qadha berbeza kalau penghalang hilang sekadar waktu cukup takbir pada solat yang boleh dijamakkan seperti hujung asar atau hujung isyak, maka wajib qadha solat yang sebelumnya iaitu, solat zohor atau solat maghrib.

5) Orang yang murtad, sembahyangnya tidak sah, tapi selama murtadnya wajib qadha sembahyang bila sudah bertaubat.

6) Bagi orang yang gila, kemudian murtad, maka dia wajib qadha sembahyangnya kerana gila itu hanya satu rukhsah sahaja.

7) Berbeza bagi orang yang haid, kemudian murtad, maka dia tidak wajib qadha sembahyangnya kerana pada haid itu sendiri ada larangan sembahyang.

8) Orang kafir asli yang masuk Islam, tidak wajib qadha sembahyangnya sejak daripada baligh. Dikira wajib atasnya sembahyang bermula waktu dia masuk Islam. Ini mengambil ketetapan yang bilamana penghalang tidak terangkat dalam waktu sembahyang, maka luput baginya sembahyang itu tanpa wajib qadha.

9) Orang mabuk yang disengajakan, wajib sembahyang bila sembuh, dan wajib juga mengadha sembahyang yang ditinggalkannya selama dia mabuk.

Friday, November 17, 2006

Keraguan Dalam Berwudhuk

Erti ragu menurut Imam Nawawi, “Adalah perlu diketahui menurut aliran mazhab Syafie, dalam masalah air, hadas dan sebagainya ialah rasa takut atau keliru antara ada sesuatu dengan tidak adanya”. Dalam erti kata lain, ragu ialah syak, antara ya atau tidak, mengenai sesuatu hal.

1) Pada usul fekah, keraguan itu hendaklah dihilangkan.

2) Orang yang sedang berwudhuk, asasnya jika ragu pada hal yang diwajibkan, wajib mengulang, dan jika ragu pada hal yang disunatkan, maka sunat mengulang.

3) Orang yang sedang berwudhuk, kemudian datang ragu dalam melakukan basuhan fardhu sebelumnya, maka wajib mengulang wudhuknya.

4) Orang yang sedang berwudhuk ragu terhadap bilangan basuhan atau kerataan basuhan, sunat mengulangnya.

5) Adapun ragu yang datang setelah sempurna atau selesai wudhuknya, maka tiadalah ia mempengaruhi dan tidak perlu kepada pengulangan. Ini termasuk jika ragu dalam berniat.

6) Tidak masuk sebagai yang dimaksudkan dengan ragu apabila telah yakin meninggalkan sesuatu yang fardhu. Yakin sebegini membawa kepada pengulangan wudhuk.

:: Hal-hal seperti ini telah dirujuk kepada Kitab Fathul Muin (Zainuddin Al-Malbari) & Asbahu Wa An-Nazair (Imam Sayuthi).