Friday, May 22, 2009

Soal Jawab Tahiyat

Soal:
Bagaimana jika seorang solat seorang diri, kemudian bangun daripada sujud terus berdiri tanpa tahiyat awal?

Jawab:

1. Jika sudah bangun berdiri betul, maka teruskan sahaja membaca fatihah tanpa perlu duduk kembali. Haram lagi batal duduk kembali untuk tahiyat awal. Ditampung kelupaannya itu dengan sujud sahwi pada sebelum salam nanti.
2. Jika baru bangun sedikit sekira-kira belum sampai kadar rukuk atau separuh berdiri, boleh duduk kembali dan tidak perlu sujud sahwi.
3. Jika sudah bangun melampaui kadar rukuk atau separuh berdiri tetapi belum sampai tahap berdiri betul, boleh duduk kembali dan ditampung dengan sujud sahwi pada sebelum salam nanti.

Soal:
Bagaimana jika seorang mengikut imam, kemudian makmum bangun daripada sujud terus berdiri kerana terlupa sedangkan imam tahiyat awal?

Jawab:
Wajib bagi makmum duduk kembali mengikut imam duduk tahiyat awal dan tidak perlu sujud sahwi, biarpun sudah berdiri betul.

Soal:
Bagaimana jika seorang mengikut imam, kemudian imam bangun daripada sujud terus berdiri tanpa tahiyat awal?

Jawab:
Wajib bagi makmum berdiri mengikut imam dan tidak perlu makmum duduk tahiyat awal. Imam menampung kelupaannya dengan sujud sahwi dan wajib bagi makmum mengikut imam sujud sahwi. Jika imam tidak sujud sahwi, makmum sujud sahwi selepas salam imam, dan sebelum salam makmum.

Nota: Sujud sahwi sunat dilakukan oleh imam atau seorang yang solat seorang diri, samada dia lupa atau sengaja meninggalkan tahiyat awal tersebut.

11 comments:

  1. Bertanya anda tentang imam bila bangun terus tanpa tahiyat awal, maka apa kedudukannya bila diingatkan makmum dengan lafaz subhanaAllah?

    Dijawab, maka imam itu sama seperti kedudukan orang yang solat seorang diri, jika sudah berdiri betul, maka tidak perlu duduk lagi, makmum mengikut imam berdiri juga.

    Jika belum berdiri betul, maka duduk kembali dan makmum turut sama duduknya. Sekiranya belum berdiri melebihi kadar rukuk, tidak perlu sujud sahwi sebelum salam. Sekiranya sudah melebihi kadar rukuk, maka perlu kepada sujud sahw sebelum salam.

    Sekian.

    ReplyDelete
  2. salam.ustaz..jika kita masbuk.adakah disunantkan juga membaca tahiyyat akhir atau hanya membaca sampai selawat nabi s.a.w shj ketika imam di tahiyyat akhir?

    ReplyDelete
  3. salam.ustaz..saya ada terbaca sebuah buku mgenai kesalahan di dlm solat.buku itu mengatakan ramai orang mbuat kesalahan ketika mbaca selawat nabi dan selawt ibrahim secara campuradukkan kedua2 selawat itu.contohnya, Allahummasolliala muhammad wa ala aali Muhammad kama sollaitaala ibrahim......(akhir).tetapi menurut buku itu yg sebetulnya di baca Allahummasolliala Muhammad wa ala aali Muhammad dan terus kpd wabarik ala Muhammad wa ala ali Muhammad..slps itu baru membaca selawat ibrahim...(hingga akhir).bukannya di baca diselangi antara kedua selawat itu.jd betulkah kata2 buku itu, ustaz?

    ReplyDelete
  4. Ikut sepertimana biasa, insyaAllah selamat. Itulah yang diajar oleh tok-tok guru mengikut kitab-kitab terdahulu yang muktabar.

    ReplyDelete
  5. Tentang masbuk itu, maka disunatkan juga membaca tahiyat akhir sebagai mengikut imam. Tetapi jika tak sempurna pun tidak mengapa, kerana bila salamnya imam, kena bersegera bangun.

    ReplyDelete
  6. Asalamualaikum ustaz..sy nak tanya..saya menjadi imam pada solat magrib bersama rakan2 sekerja..sewaktu tahiyat awal saya tidak melakukannya lalu terus bangun dan melakukan rakaat yg ketiga pada masa itu saya teringat yg saya terlupa tahiyat awal kemudian saya teruskan solat ...sebelum salam sy sujud semula untuk sujud sahwi tetapi sy lupa cara bacaannya..dan saya tidak sujud untuk kali kedua kerana terlupa cara2 sujud sahwi..lalu sy terus duduk tahiyat akhir dan memberi salam...
    Selepas solat itu sy bertanya pada rakan2 sy..mereka menjawab mereka juga tidak tahu sah atau tidak...dan saya mula was2 ...jadi saya solat magrib dan menjadi imam semula
    Apakah sy berdosa menjadi imam dan kene menanggung dosa makmum
    Sekian..
    (Serba salah)

    ReplyDelete
  7. waalaikumussalam

    Sebaiknya anda tidak sujud sahwi jika tidak mengetahui tentang ilmunya. Kerana sujud sahwi itu hanya sunat dan meninggalkan ia tidak mencederakan atau mempengaruhi sah solat. Tinggal lagi ia bertindak sebagai penampal atau penampung kekurangan kita meninggalkan tahiyat awal tadi.
    Anda dan rakan-rakan sudah mengulangi solat dan itu sudah memadai. Jikapun tersalah tadi dalam solat pertama anda, itu dimaafkan kerana tidak tahu atau atas kelupaan. Ia bukan perkara yang disengajakan atau tujuan bermain-main dan ini boleh membatalkan solat. Dianjurkan untuk terus menuntut ilmu dan harapnya sebagai imam tidak lupa dalam perkara2 sebegini.

    ReplyDelete
  8. Asalamualaikum ustaz..soalan saya, bagaiman jika seseorang individu itu tidak mampu duduk tahiyat akhir dengan sempurna mengikut sunnah nabi mahupun hadis yg diriwayatkn..oleh kerana faktor fizikal sbg contoh berbadan gemuk yg menyebabkan sukar untuk duduk diatas kaki kiri sambil menegakkan kaki kanan dan jari kaki dilipat mengarah kiblat..dan apa cara yang seadanya bagi membolehkan golongan ini menunaikan solat dgn lebih selesa atau yg lebih penting sekali solatnya sah..mohon pencerahan dari pihak ustaz

    ReplyDelete
  9. Bolehlah buat mengikut keselesaan musolli (org yg solat) dan yang penting adalah duduk dalam menghadap kiblat. Apajua kekurangan dimaafkan Tuhan kerana Tuhan lebih tahu kepayahan kita melakukannya. Lebih-lebih lagi perkara yang disebut itu hanyalah sunat sahaja.

    ReplyDelete
  10. Assalamu'alaikum..ustaz...bagaimana jika imam terlupa tahiyat awal dan kita juga lupa dan kita ikut imam bangun pastu kita baru teringat. Kemudian, di akhir solat imam x sujud sahwi dan kita tidak sujud sahwi jdi sah ke solat kita?

    ReplyDelete
  11. Waalaikumussalam

    Jika imam terlupa duduk tahiyat awal maka kita sbg makmum mengingatkan imam. Kecuali imam sdh berdiri betul, maka makmum tdk perlu menegur lagi kerana imam sdh tdk boleh kembali duduk. Imam disunatkan sujud sahwi utk menampung kelupaannya tahiyat awal. Dan jika imam lupa sujud sahwi sekalipun, maka bolehlah makmum sujud sahwi krn di waktu imam sdh memberi salam, terpisah hubungan makmum dan imam. Namun jk makmum terlupa juga utk sujud sahwi, maka tdklah itu mempengaruhi solat dan solat tetap sah.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.