Tuesday, January 06, 2015

Syarat Sah Bacaan Al-Fatihah

Tentang syarat sah bacaan Al-Fatihah ini, antaranya ialah sepertimana yang disebutkan dalam kitab Minhaj At-Thalibin, oleh Imam Nawawi seperti berikut:

"Wajib susunannya dan muawalatnya. Maka jika diselangi dengan zikir, ia memutuskan. Maka jika zikir itu berkaitan dengan sembahyang seperti ucapan aminnya akan bacaan Imamnya dan mengingatkan bacaan Imam, maka tidak memutuskan, pada yang paling sahih. Memutus oleh diam yang lama. Seperti ini yang sedikit, jika diqasadkan dengan memutuskan bacaan, pada yang paling sahih."

Keterangan:

1. Wajib mengikut tertib susunan ayat demi ayat bacaan Al-Fatihah sepertimana dalam Al-Quran.

2. Muwalat itu bererti berturut-turut atau berterusan membaca ayat-ayatnya tanpa dipisahkan dengan diam yang lama atau zikir yang tidak diberi keuzuran.

3. Ya, sebaiknya pada setiap ayat itu tidak dibaca dengan sambung tetapi diwaqafkan dengan diam seketika. Hanya diam yang dibenarkan antara ayat-ayat tersebut ialah sekadar diam untuk mengambil nafas. Atau diam kerana terlupa, atau untuk mengingatkan ayat yang seterusnya. Bukan diam yang lama dengan disengajakan. Juga bukan diam yang sebentar, tetapi diniatkan untuk memutuskan bacaan.

4. Zikir yang dibenarkan untuk diselangi dalam bacaan Al-Fatihah ialah yang ada kaitan dengan sembahyang seperti mengaminkan bacaan Al-Fatihah Imam. Ataupun mengingatkan bacaan Imam tatkala Imam terdiam kerana terlupa. Tidak boleh jika Imam masih boleh meneruskan bacaan dan kita mengingatkan, maka ianya memutuskan bacaan Fatihah kita. Dan sewaktu mengingatkan itu diniatkan sebagai zikir

5. Zikir yang tidak diberi keuzuran untuk diselangi dalam bacaan Al-Fatihah ialah seperti mengucap "Alhamdulillah" sewaktu bersin, mengucap "SubhanaAllah", atau mengingatkan bacaan selain Imam.

Wallahua'lam.

Rujukan:
- Minhaj At-Thalibin
- Sabilal Muhtadin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.