Saturday, July 25, 2015

Larangan Berpuasa Sewaktu Suami Di Sisi

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Janganlah seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya ada di sisi kecuali dengan keizinannya" (HR Bukhari, Muslim)

"Tidak dibolehkan berpuasa bagi seorang wanita sewaktu suaminya ada di sisi kecuali dengan keizinannya, selain puasa Ramadhan" (HR Abu Daud)

Keterangan:

1. Imam Nawawi menyatakan larangan ini bersifat haram dan sebab pengharaman tersebut kerana suami memiliki hak untuk bersenang-senang bersama dengan isterinya. Maka, tidak boleh hak tersebut terhalang atas kerana puasa si isteri.  

2. Imam Nawawi menjelaskan lagi, yang dimaksudkan puasa tersebut adalah puasa sunat yang tidak terikat dengan waktu atau puasa wajib (qadha atau nazar) yang masih boleh dilewatkan menunaikannya.

3. Tidak perlu kepada keizinan dalam puasa sunat yang terikat dengan waktu khusus seperti puasa Asyura dan puasa Arafah.

4. Disebutkan perlu juga minta izin dalam puasa qadha muwassa' yakni yang masih luas waktunya. Iaitu yang masih panjang waktunya untuk mengqadha sebelum datang Ramadhan yang akan datang. Sebagai contoh mengqadha puasa di bulan Syawal atau Zulhijjah, dikira sebagai muwassa' sedangkan jarak masa ke Ramadhan akan datang masih panjang lagi bagi isteri untuk mengqadhanya.

5. Minta izin itu ialah apabila suami ada di sisi, tetapi jika suami bermusafir di luar kawasan, maka tiada perlu lagi kepada keizinannya dalam hal ini. Sekiranya suami kembali ke rumah daripada musafir dan kebetulan berpuasa pada siang hari itu, maka bolehlah meneruskan dengan izinnya atau membatalkan sahaja puasa tersebut.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.