Tuesday, December 05, 2006

Niat Dalam Solat

Solat, baik fardhu mahupun sunat, niatnya adalah dalam takbiratul ihram. Ini bagi mengesahkan yang solat itu benar-benar menjadi ibadah. Niat adalah termasuk dalam rukun, dan kesempunaan niat adalah bila adanya perkara seperti berikut:
  1. Menentukan ibadah yang dilakukan dengan menyatakan: solat
  2. Menentukan fardhu atau sunat dengan menyatakan: fardhu (jika solat fardhu)
  3. Menentukan waktu solat dengan menyatakan: subuh (atau waktu solat yang sepatutnya)

Perlu diingatkan takbiratul ihram itu ialah menyebut Allahu Akbar. Dan dalam masa kita menyebutnya itu, nyatakan dalam hati 3 perkara tersebut. Bila berlaku sebegitu, barulah kita dikira berniat dan barulah sempurna niat itu. Ada tambahan yang ke-4 iaitu dalam menyatakan menjadi makmum jika kita solat berjemaah. Bagi imam tidak menyatakannya pun tidak mengapa tetapi hilanglah kesempurnaan atau kelebihan berjemaah baginya. Syarat makmum untuk mengikut imam mesti menyatakan niatnya dalam takbiratul ihram. Tetapi tidak untuk imam kerana ada pilihan. Seeloknya dinyatakan dalam takbiratul ihram. Tetapi jika tidak dinyatakan, boleh sahaja dinyatakan bila-bila masa selagi dia masih dalam solat.

Itu sebabnya bila kita hendak berjemaah, boleh sahaja kita mengikut orang yang solat sendirian dengan terus takbiratul ihram dan niat solat mengikut imam. Tidak mengapa jika kita tidak memberi isyarat kepadanya selepas takbiratul ihram itu. Ini kerana bagi imam itu, jika dia tahu yang dia diikuti oleh orang lain, boleh baginya berniat untuk menjadi imam biarpun waktu itu dia dalam rakaat kedua atau ketiga. Sedangkan tadi, dalam takbiratul ihramnya dia sekadar berniat solat sendirian.

Kalau seseorang berniat sebelum takbiratul ihram, itu tidak dikira niat. Itu adalah azam atau cita-cita. Jika tidak berniat atau terlupa niat dalam takbiratul ihram, maka batallah solat itu kerana meninggalkan satu rukun solat. Bila kita menyebut “usalli....lillahitaala” sewaktu kita berdiri dalam hendak mengerjakan solat, itu baru dikira lafaz. Lafaz itu sekadar membantu kita untuk berniat waktu takbiratul ihram.

Kita bercakap tadi dari sudut rukun solat, dalam nak menjaga solat agar sempurna rukun solat kita. Namun, dalam kaedah tasauf, niat kita sebelum, semasa dan selepas solat itu hendaklah sentiasa diniatkan kerana Allah. Tidak boleh solat itu kerana nak tunjuk kepada orang, atau nak bermegah atau ada kepentingan lain selain Tuhan. Kalau niat itu menyimpang daripada kerana Tuhan, sia-sialah ibadah kita. Tuhan tak terima ibadah kita dan kita sudah termasuk dalam golongan yang syirik kepada Tuhan tanpa kita sedar. Ini disebut syirik khafi.

5 comments:

  1. assalammuallaikum. apabila kita mengangkat kedua belah tangan sambil berniat solat dengan sempurna, dan sesudah habis berniat baru kita mengucap takbir Allahuakbar.adakah niat tersebut sah

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam.

    Ada satu artikel dengan tajuk yang sama di blog ini bertarikh 14 Disember 2007 dikira boleh juga menjawab persoalan saudara Azhar.

    Beberapa penyataan daripada kitab berasaskan fiqh Mazhab Syafie tentang hal niat:

    "Takbiratul ihram wajib diiringi dengan niat solat."

    Dalam Umdatus Salik:
    "Niat itu mesti bersamaan dengan ucapan takbiratul ihram...seorang itu memasukkan niat daripada mula bertakbiratul ihram hingga kepada akhirnya."

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum saudara editor.

    saya ada sedikit kemusykilan tentang niat dalam solat. seperti yang sedia maklum kita hendaklah berniat seperti yang saudara cakapkan di dalam artikel saudara. akhir2 ini saya ada mendengar daripada rakan bahawa niat dalam solat adalah suatu bidaah dan tiada di dalam hadis Rasulullah. bolehkah saudara editor memberi sedikit penjelasan tentang perkara ini kerana saya agak keliru. sekian terima kasih

    ReplyDelete
  4. Menjawab persoalan Sdr Zuhairi:

    Tidak pula saya dengar tentang ada yang mengatakan niat dalam solat itu sebagai bidaah. Kalau adapun sesetengah yang mendakwa diri mereka salafi menyatakan lafaz niat itu sebagai bidaah atau tiada dalam syariat. Seperti menyebut Usolli itu tiada diamalkan Rasulullah. Lafaz Usolli itu telah dimuktamadkan oleh ulamak mazhab Syafie sebagai sunat. Dikiaskan dengan lafaz Rasulullah sewaktu beliau mengerjakan ibadah haji, beliau menyebut, "sahaja aku mengerjakan umrah dan haji." Maka digunakan juga untuk solat dengan tujuan membantu hati untuk berniat.
    Kitab Fathul Muin, Syeikh Zainuddin Al-Malbari menyatakan, "sunnat melafazkan niat sebelum takbir agar dengan melafazkannya dapat membantu hati dan keluar daripada perselisihan bagi pihak yang mewajibkan." Perkara yang sama dinukilkan oleh Imam Ramli dalam Nihayah Muhtaj.

    ReplyDelete
  5. Lagi tentang kepentingan niat dalam ibadah, adalah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah seperti berikut:

    1. "Setiap amalan itu bermula dengan niat dan setiap orang akan mendapat balasan mengikut apa yang diniatnya.". (HR Bukhari, Muslim)

    2. "Tidak ada amalan bagi orang yang tidak memiliki niat". (HR Baihaqi) - maksudnya tidak sah amalan bagi orang yang tidak berniat.

    3. "Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalan." (HR Thabrani) - maksudnya niat melakukan amal lebih bermakna daripada amalan tanpa niat.

    Imam Suyuthi memaparkan dalam kitabnya Asbahu Wa An-Nazair, tentang kepentingan niat:

    "Tujuan utama niat ialah untuk membezakan antara ibadah dengan adat dan membezakan antara satu ibadah dengan ibadah yang lain. Contohnya wudhuk dan mandi mempunyai beberapa kemungkinan seperti membersih dan menyegarkan badan ataupun ibadah."

    Berkata beliau lagi, "Tidak disyariatkan adanya niat dalam ibadah yang bukan merupakan adat atau tidak mempunyai persamaaan dengan yang lainnya. Contohnya beriman kepada Allah, makrifat khauf (takut), raja' (harap), membaca Al-Quran dan zikir. Semuanya ini berbeza bentuknya."

    Jelasnya kesemua ulamak-ulamak besar dalam Mazhab Syafie, telah membuat kesimpulan tentang keperluan niat sebagai syarat sah dalam ibadah seperti wudhuk, mandi wajib, solat, puasa, zakat dan haji. Maka tiadalah perlu kita diragukan dengan kenyataan orang yang mengatakan niat itu sebagai bidaah. Kalaupun melafaz Usolli itu bidaah seperti kata mereka, maka ulamak kita telah membahaskan bidaah itu ada 2 kategori satu bidaah hasanah, bidaah baik yang boleh kita ikut dan satu lagi bidaan dalalah, bidaah yang buruk, yang patut kita tinggalkan. Dan melafaz usolli itu adalah termasuk dalam bidaah hasanah. Ianyapun perkara sunat (melafaz usolli), tak buat pun tidak menjadi masalah. Hanya sanya niat itu adalah wajib tanpa ada keraguan ataupun pertikaian. Wallahua'lam.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.